Tanda-tanda Pelayanan yang Diberikan Oleh Tuhan, Bahagian Dua: Tujuan dan Kebahagiaan

Dalam Kolose 1:24–2:5 rasul Paulus mengajak orang percaya di Kolose untuk meneliti bentuk pelayanannya, matlamatnya, dan kebahagiaan yang diperolehnya melalui pelayanan tersebut. Di tengah-tengah kehadiran guru-guru palsu, Paulus menubuhkan piawai rohani agar kita dapat menilai kesahihan sesuatu pelayanan sambil bertanya, “Siapakah sebenarnya yang telah diutus oleh Tuhan kepada kita?” Dengan kata lain, siapakah yang patut menjadi pastor, bagaimanakah rupa pelayanan mereka, dan apakah hasil yang sepatutnya mereka harapkan melalui pelayanan itu?

Dalam bahagian pertama artikel ini, kita belajar daripada pola pergolakan Paulus. Sesiapa yang menceburi pelayanan pastoral harus melakukannya dengan keyakinan bahawa Tuhan yang memanggilnya ke sana, bukan kerana kehendak atau cita-citanya sendiri. Dia harus berkomitmen untuk mengajar firman Tuhan bukan mengajar cara pemikiran manusia, dan melakukannya melalui cara yang telah ditetapkan oleh Tuhan: berkhutbah. Pelayanan adalah panggilan yang diberikan oleh Tuhan untuk mengajar firman yang diberikan oleh Tuhan melalui kaedah yang ditetapkan oleh Tuhan.

Dalam bahagian kedua, kita akan terus belajar daripada tujuan yang dilihat Paulus dalam kerjanya dan kebahagiaan yang diperolehinya daripadanya.

Tujuan Perjuangan: Orang Percaya yang Matang

Kita dapat melihat tujuan Paulus dinyatakan dengan jelas dan diterangkan secara terperinci dalam Kolose 1:28–2:4:

Kristuslah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Yesus Kristus. Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.

Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku. Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan Kristus, yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan. Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah. (Kolose 1:28–2:4)

Jika pola pelayanan adalah panggilan Tuhan untuk menyampaikan firman yang diberikan oleh Tuhan, maka tujuannya adalah apa yang Tuhan ingin capai melalui firman itu (2 Timotius 3:17). Para pastor “berusaha, berjuang” untuk memberitakan Kristus supaya mereka “hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Yesus Kristus.”

Seorang pastor seharusnya berusaha dari lubuk hatinya supaya jemaahnya diperkuatkan, digerakkan, dan dibangkitkan.

Menariknya, Paulus meletakkan tindakan penyampaian—“menasihati” dan “mengajar”—yang bermakna, dia berbicara tentang tindakan yang berterusan dan menjadi kebiasaan. Dengan kata lain, kematangan bukan sesuatu yang berlaku serta-merta. Ia penting untuk mempunyai kesedaran tentang sejarah. Bilangan orang yang hadir di gereja pada setiap ibadahraya bukan ukuran kejayaan seseorang. Sebaliknya, pastor sepatutnya bertanya kepada diri sendiri sama ada orang yang berada di bawah jagaan mereka—walau berapa ramai sekalipun yang dikurniakan Tuhan—sedang menjadi semakin serupa dengan Kristus dari minggu ke minggu yang berikutnya.

Bagaimanakah bentuk kematangan seperti itu? Paulus mendedahkan perincian berkaitan dengan “orang Laodikia” dan orang lain yang belum pernah “bertemu muka” dengannya.

Pertama, Paulus berkata, dia berjuang supaya “hati mereka terhibur.” Seorang pastor seharusnya berusaha dari lubuk hatinya supaya jemaahnya diperkuatkan, digerakkan, dan dibangkitkan. Walaupun kadangkala perlu menasihati orang percaya dan berbicara dengan tegas, umat Tuhan tetap harus memahami bahawa firman Tuhan datang untuk menghiburkan kita.

Dalam Alkitab, “hati” merujuk kepada inti dan pusat diri manusia—diri kita yang paling dalam. Ia merupakan ukuran bagi perkataan dan tindakan kita (Matius 12:34; Lukas 6:45). Matlamat seorang pastor ialah mendekatkan hati umat Tuhan kepada hati Kristus. Tugas pelayanan pastoral bukan sekadar menyampaikan maklumat dari kepala pastor ke kepala jemaah, tetapi supaya Tuhan menetap dalam hati orang dan menarik mereka kepada hati Tuhan Yesus. Apabila umat Tuhan mendekati hati Kristus, mereka akan menemui kegembiraan dalam hadirat-Nya dan memperoleh penghiburan daripada janji-Nya, sambil mengingat bahawa mereka berada dalam Kristus dan Kristus berada dalam diri mereka.

Kedua, Paulus berkata dia berjuang supaya mereka dapat “terjalin rapat dalam kasih.” “Kasih” ini bukan perasaan lemah-lembut semata-mata, tetapi kasih yang dibentuk oleh kebenaran. Kesatuan umat Kristian terdapat dalam penyatuan orang percaya dengan Kristus dan dalam penyerahan mereka kepada-Nya sebagai “Kepala kepada tubuh iaitu jemaah” (Kolose 1:18), yang mereka semua adalah sebahagian daripadanya. Jika komuniti umat Tuhan tidak ditandai dengan kasih, maka ia belum terbentuk menurut imej Kristus, kerana perintah yang berikan-Nya kepada kita ialah untuk mengasihi sebagaimana Dia mengasihi (Yohanes 15:9). Kaedah akan berubah, program bermula dan berakhir, tetapi “kasih tidak akan luput” (1 Korintus 13:8).

Orang percaya juga bersatu berdasarkan pemahaman mereka tentang kebenaran Tuhan dan kesediaan mereka untuk menyatakan kebenaran itu dengan kasih (Efesus 4:17). Apabila tali pinggang kebenaran ditanggalkan dalam senjata Tuhan (Efesus 6:14), kekacauan akan berlaku. Kasih dan kebenaran sentiasa bersatu. Oleh itu, adalah sangat penting bagi orang percaya untuk belajar menyampaikan kebenaran antara satu sama lain dengan lemah lembut, dan apabila menerima teguran, mereka menerimanya dengan rendah hati dan jujur. Kegagalan untuk berbuat demikian, lambat laun, akan menyebabkan keruntuhan kesatuan tubuh Kristus.

Ketiga, Paulus berkata dia berjuang supaya mereka dapat “mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa.” Rahsia ini, sekali lagi, ialah “Kristus, yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan.” Matlamat yang dikejar oleh seorang pastor ialah membawa jemaahnya kepada pemahaman Injil yang semakin bertambah.

Para pengkhutbah pada zaman kita sering tergoda untuk terlalu menekankan tentang tingkah laku: “Bagaimana Menjadi Ibu Bapa yang Baik,” “Bagaimana Menjadi Pasangan yang Baik,” dan sebagainya. Pastor seharusnya memberi nasihat mengenai perkara-perkara ini—tetapi ia tidak boleh menjadi fokus utama. Orang mungkin berasa mereka memerlukan kursus tentang bagaimana menjadi suami yang sempurna atau ibu yang betul, tetapi apa yang sebenarnya paling diperlukan mereka ialah memahami siapa Tuhan dan apa kedudukan manusia dalam hubungan dengan Tuhan. Apabila orang benar-benar memahami Injil, kemampuan mereka untuk menjadi ibu, isteri, rakan sekerja, atau apa sahaja, akan mula selari dengan kebenaran itu.

Kerana tujuan seorang pastor ialah
melihat umat Tuhan menjadi matang dalam Kristus,
maka kegembiraannya yang terbesar ialah
melihat kematangan itu diuji dan terbukti kukuh.

Pemahaman yang lengkap tentang Injil juga melindungi orang percaya daripada ajaran palsu—iaitu “supaya kamu tidak tertipu dengan hujah.” Jika jemaah tidak dibimbing dan diajar mengenai doktrin Alkitab, ia akan dipenuhi dengan orang yang mudah terpedaya oleh hujah lemah yang disampaikan dengan pantas dan meyakinkan. Orang yang matang bersedia menilai setiap pengajaran berdasarkan kebenaran kandungannya, bukan kerana tarikan cara penyampaiannya, kerana mereka telah mencapai pengetahuan penuh tentang Injil Yesus Kristus.

Kebahagian daripada Perjuangan: Ketertiban dan Keteguhan Iman

Setelah menyusun satu pola dan mengenal pasti tujuannya, Paulus akhirnya menyatakan kebahagiaan yang diperolehinya daripada pelayanannya: “Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam Kristus” (Kolose 2:5). Apabila jemaah di Kolose bertumbuh menjadi matang melalui penyampaian firman, dia berkata, “aku gembira melihat betapa tertibnya kamu dan betapa teguhnya iman kamu dalam Kristus.” Pastor yang dipanggil Tuhan, seperti Paulus, akan menemui kegembiraan dalam ketertiban dan keteguhan jemaahnya.

Sebuah Jemaah Yang Tertib

Ketertiban yang dirujuk oleh Paulus ialah seperti yang digambarkan dalam barisan tentera. Ia bertentangan dengan kekacauan. Segala yang diperintahkan oleh Tuhan harus dilakukan dengan cara yang sesuai dan tertib. Gereja seharusnya menjadi seperti satu batalion yang teratur, dengan setiap askar berada di tempat yang ditetapkan. Ia bukan sekadar perkhemahan santai; ketertiban mewakili komitmen mutlak dan tanpa mempertikaikan arahan yang telah ditetapkan. Kristus ialah Tuhan, dan umat-Nya terlibat dalam “perang berterusan dan tidak dapat diperdamaikan”1 untuk penyucian dalam dunia yang berdosa ini. Apabila orang percaya menyerah kepada kuasa Pegawai Komander dan mula mengikuti arahan-Nya, mereka akan memahami siapa musuh sebenar.

Dua perkara berlaku selepas itu. Pertama, mereka tidak bertelagah sesama sendiri. Askar mungkin cenderung bertengkar, tetapi tiada seorang pun yang berpaling daripada rakan seperjuangan apabila berhadapan dengan serangan musuh. Setiap kali orang percaya bertelagah antara satu sama lain, ia menandakan gereja telah kehilangan fokus terhadap musuh sebenar. Namun, adalah satu kegembiraan bagi seorang pastor apabila melihat jemaahnya berbaris di bawah panji Kristus dan bersama-sama berjuang menentang dosa dan Iblis.

Kedua, orang percaya membentuk ikatan persaudaraan. Berapa kerap kita melihat bekas tentera yang terus bertemu dan meluah dengan rakan seperjuangan mereka? Bukan kerana mereka pernah belajar di sekolah yang sama, mempunyai minat yang sama dalam hidup, atau jenis personaliti yang sama, tetapi kerana mereka berjuang bersama di bawah panji yang sama dan menentang musuh yang sama. Apabila orang percaya menyerah kepada Pegawai Komander mereka dan berjuang bersama, mereka akan mengalami persahabatan yang belum pernah dialami oleh mereka sebelum ini. Para pastor akan berasa sangat gembira melihat kasih sayang yang bertumbuh dalam persaudaraan ini.

Sebuah Benteng Kukuh

Apabila Paulus menggambarkan “imanmu yang kukuh” yang dikaguminya dalam kalangan jemaah di Kolose, gambaran itu ialah seperti sebuah benteng yang teguh, berbentuk segi empat yang tidak boleh dipecahkan, berdiri kukuh dan tidak tergoyahkan menghadapi serangan musuh. Kerana tujuan seorang pastor ialah melihat umat Tuhan menjadi matang dalam Kristus, maka kegembiraannya yang terbesar ialah melihat kematangan itu diuji dan terbukti kukuh.

Bukan kekuatan usaha kita, tetapi kekuatan yang diberikan oleh Tuhan yang memampukan hamba-hamba Tuhan untuk terus maju.

Inilah sebabnya mengapa pastor seharusnya kerap berdoa untuk orang yang berada di bawah jagaan mereka, seperti yang sering dilakukan Paulus dalam surat-suratnya. Apa pun yang berlaku, hasrat mereka seharusnya agar jemaah terus mengasihi dan melayani Tuhan Yesus. Ke mana sahaja mereka pergi, apa pun pengaruh yang diterima oleh mereka, walaupun pastor itu sendiri mungkin berdosa, harapannya ialah dengan rahmat Tuhan, mereka akan terus berjuang sehingga hari Tuhan tiba dan bergembira bersama-sama dengannya dalam hadirat Kristus. Salah satu kegembiraan terbesar dalam pelayanan pastoral ialah melihat anak-anak rohani kita berjalan dalam kebenaran (3 Yohanes 4).

Kuasa untuk Berjuang: Kuasa Tuhan Sendiri

Paulus menggambarkan kemajuannya menuju matlamat ini sebagai satu perjuangan kerana ia memang satu perjuangan. Ia satu perjuangan untuk terus berdoa. Ia satu perjuangan untuk kekal positif. Ia satu perjuangan untuk terus maju walaupun menghadapi kegagalan dan kekecewaan—apabila orang yang anda sangka akan menjadi peneraju dalam pasukan anda berhenti terlibat, apabila orang yang anda sangka boleh diharapkan berpaling dan meninggalkan hidup anda. Bagaimanakah seseorang boleh berharap untuk menyelesaikan tugas sedemikian?

Paulus memberikan jawapannya dalam ayat terakhir bab 1: Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku” (Kolose 1:29). Pelayanan pastoral adalah satu perjuangan, tetapi orang yang dipanggil oleh Tuhan mampu berjuang dengan tenaga yang diberikan oleh Tuhan. Pada akhirnya, bukan kekuatan usaha kita, tetapi kekuatan yang diberikan oleh Tuhan yang memampukan hamba-hamba Tuhan untuk terus maju. Apabila anda merenungkan teladan yang diberikan oleh Paulus dalam ayat-ayat ini, ingatlah: “Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya” (Filipi 2:13).

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “The Marks of a God-Given Ministry” oleh Alistair Begg.

Bacakan bahagian pertama Tanda-tanda Pelayanan yang Diberikan Oleh Tuhan, Bahagian Pertama. 

1. The Westminster Confession of Faith 13.2.

返回博客