Memahami Peranan Para Tua-Tua dalam Gereja Tempatan

Pada akhir surat pertamanya, setelah membincangkan perkara seperti kekudusan, ketundukan, dan penderitaan, rasul Petrus mengalihkan perhatiannya kepada penggembalaan dalam gereja tempatan. Dia menulis,

Kepada tua-tua jemaah dalam kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan Kristus dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: Jagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka — bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal. Demikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana, “Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati. (1 Petrus 5:1-5).

Petikan ini jelas bahawa Perjanjian Baru memberi nilai yang sangat tinggi kepada kepimpinan gereja. Ini kerana terdapat beberapa perkara yang lebih penting kepada kehidupan rohani sesebuah gereja selain daripada mereka yang memimpinnya. Tinjauan ringkas terhadap sejarah gereja menunjukkan satu pola yang konsisten bahawa sesebuah gereja tidak, dan tidak akan dapat maju melebihi tahap kemajuan rohani para pemimpinnya. Atas sebab ini, Paulus berkata kepada Timotius dalam surat pertamanya, “Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik” (1 Timotius 3:1). Kepimpinan rohani adalah sesuatu yang berat.

Terdapat beberapa perkara yang lebih penting kepada
kehidupan rohani sesebuah gereja selain daripada kepimpinannya.

Kita dapat melihat pandangan Perjanjian Baru yang tinggi terhadap kepimpinan gereja terungkap pada zaman awal gereja. Ketika Injil menembusi komuniti di seluruh dunia yang dikenali, orang-orang yang menjadi percaya membentuk gereja-gereja tempatan. Dan apa yang ditekankan oleh para rasul kepada gereja-gereja ini? Mereka diminta untuk melantik para tua-tua untuk memimpin (Kisah Para rasul 14:21–23; Titus 1:5). Pemimpin-pemimpin ini adalah orang-orang yang tergolong dalam komuniti gereja dan dipercayai untuk memastikan firman Tuhan diajarkan dan diterapkan, Anak Tuhan dihormati, serta umat Tuhan dikuatkan.

Nasihat Petrus mengenai kepimpinan gereja seharusnya diterapkan dalam konteks komuniti gereja tempatan. Dan persoalan “Bagaimanakah gereja harus berfungsi?” bukan sekadar perkara untuk menjadi spekulasi manusia; jawapannya terdapat dalam Alkitab. Berkaitan kepimpinan gereja, Petrus khususnya mahu kita memikirkannya dari perspektif kepimpinan yang bersifat pastoral, bertanggungjawab, majmuk, dan rohani.

Kepimpinan Pastoral

Kepimpinan gereja bersifat pastoral dapat dibuktikan melalui istilah-istilah yang digunakan oleh Petrus dalam ayat 1–2. Dengan menggunakan tiga perkataan Yunani secara bergantian, dia menetapkan sifat kepimpinan pastoral.

Pertama ialah perkataan “para tua-tua” dalam ayat 1. Perkataan Yunani untuk “para tua-tua” ialah presbuteroi, yang memberi kita perkataan bahasa Inggeris presbyter (seorang pemimpin rohani) atau presbyterian (sistem gereja berasaskan para tua-tua). Istilah ini menunjukkan kematangan rohani, yang bermaksud seorang pemimpin gereja, tanpa mengira umur, mesti menunjukkan bahawa dia telah mencapai kematangan rohani yang tinggi dalam kehidupan Kristian. Seterusnya, apabila Petrus menasihati para tua-tua untuk “jaga,” kata kerja yang digunakan boleh diterjemahkan sebagai “menggembala.” Dengan itu, perintah ini menjadikan peranan pastor bukan sekadar mengurus pentadbiran, tetapi termasuk menjaga umat Tuhan—“jemaah Tuhan.” Petrus seterusnya menggambarkan peranan itu sebagai “melakukan pengawasan,” atau episcopoi (asal perkataan bahasa Inggeris episcopal atau keuskupan), satu perkataan yang berkaitan dengan tadbir urus.

Bagaimanakah kita harus memahami pelbagai gelaran dan penerangan ini? Secara asasnya, para tua-tua menyampaikan firman Tuhan kepada umat Tuhan (Ibrani 13:7). Mereka memimpin gereja dalam pelayanan firman/khutbah, menunjukkan diri mereka sebagai “berkebolehan mengajar” (1 Timotius 3:2). Para tua-tua memimpin dan memberi makanan rohani kepada jemaah, dengan kesedaran bahawa “Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah” (Matius 4:4; lihat juga Ulangan 8:3).

Para tua-tua hidup di bawah tekanan berterusan kerana mereka tahu suatu hari nanti
mereka akan berdiri di hadapan Gembala Agung, memberi pertanggungjawaban
tentang bagaimana mereka memimpin jemaah-Nya.

Selepas menggambarkan sifat mereka, Petrus kemudian menghuraikan bagaimana para tua-tua harus menjalankan pengawasan mereka. Dia menggunakan tiga frasa: “bukan secara terpaksa tetapi dengan rela”; “bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati”; dan “bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka.” Memandangkan piawaian alkitabiah begitu tinggi, adalah penting bagi para pemimpin menerima tugas pastor dengan rendah hati, sambil memeriksa hati mereka berdasarkan kriteria yang disenaraikan oleh Petrus.

Kepimpinan yang Bertanggungjawab

Kepimpinan bukan sahaja bersifat pastoral; ia juga bersifat bertanggungjawab. Para tua-tua yang memandang serius panggilan Tuhan untuknya hidup di bawah tekanan berterusan kerana mengetahui bahawa “Gembala Agung” akan datang pada suatu hari nanti, bukan sahaja menganugerahkan “mahkota kemuliaan yang kekal,” tetapi juga memberikan pertanggungjawaban kepada Tuhan tentang bagaimana dia telah memimpin (Ibrani 13:17). Alkitab mengajar bahawa kita memang saling bertanggungjawab antara satu sama lain (Efesus 5:21); namun itu bukan yang dimaksudkan oleh Petrus di sini. Maksud Petrus ialah para tua-tua bertanggungjawab kepada Kristus.

Yang penting, Perjanjian Baru memperkenalkan satu struktur pertanggungjawaban yang bukan bersifat demokrasi dan autokrasi, tetapi bersifat teokrasi. Maksudnya, Tuhan menyalurkan pemerintahan-Nya melalui Anak-Nya, Gembala Agung, melalui Alkitab. Inilah sebabnya Paulus, dengan pemikiran tentang kepimpinan gereja, menulis,

Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Kristus Yesus, dan daripada Sostenes, saudara kita, Kepada jemaah Allah di Korintus, yang telah disucikan dalam Kristus Yesus, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada nama Tuhan kita Yesus Kristus, Tuhan mereka dan Tuhan kita juga. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera. Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu kasih kurnia dalam Kristus Yesus. (1 Korintus 1:1-4)

Hamba-hamba umat Tuhan harus didapati setia, kata Paulus—tidak semestinya berjaya mengikut piawaian dunia! Dan Kristuslah yang akan memberikan penilaian itu: “Yang berhak mengadili aku hanya Tuhan sendiri.” Para pemimpin bertanggungjawab kepada Kristus.

Siapakah yang akan memberi pertanggungjawaban? Mereka yang diberikan tanggungjawab kepimpinan dalam gereja. Adakah kita memahami kepentingan meletakkan orang tertentu dalam jawatan kepimpinan di gereja?

Di dalam gereja, Tuhan menyalurkan pemerintahan-Nya melalui Anak-Nya,
Gembala Agung, melalui Alkitab.

Jika anda seorang pastor, implikasinya pada hari ini amat menyedarkan. Kata-kata yang disampaikan dari mimbar: anda akan memberi pertanggungjawaban. Setiap nasihat secara peribadi: anda akan memberi pertanggungjawaban. Setiap kesempatan untuk meremehkan firman Tuhan: anda akan memberi pertanggungjawaban.

Kepimpinan yang Bersifat Majmuk

Satu lagi ciri kepimpinan gereja menurut Perjanjian Baru ialah bersifat majmuk. Lagipun, Petrus menasihati para “tua-tua”—bentuk jamak, bukan tunggal. Kristus, Gembala Agung, telah menetapkan untuk melantik para tua-tua bawahan sebagai pemimpin bagi jemaah-Nya melalui firman-Nya. Jadi, ini adalah jemaah-Nya, dan firman-Nya yang digunakan untuk membetulkan, menasihati, menguatkan, dan sebagainya dalam gereja.

Kerana kepimpinan para tua-tua bersifat majmuk, syarat-syarat jawatan adalah syarat bersama. Tiada piawaian yang berbeza untuk satu tugas pastoral dan piawaian lain untuk tugas yang lain. Sebaliknya, keistimewaan dan tanggungjawab—kejayaan dan cabaran yang menjadi sebahagian daripada kepimpinan—dikongsi bersama oleh mereka yang telah ditentukan oleh Tuhan untuk memimpin.

Namun, walaupun tidak sepatutnya ada perbezaan piawaian, mungkin terdapat perbezaan fungsi. Dengan kata lain, selalu ada pemimpin dalam kalangan pemimpin. Kita dapat melihat ini dalam pola kepimpinan Yesus. Dia memanggil Dua Belas murid-Nya dan melantik tiga pemimpin daripada mereka: Petrus, Yakobus, dan Yohanes, yang merupakan kumpulan terdekat Yesus, sekiranya boleh dikatakan begitu. Paulus juga membezakan pemimpin gereja berdasarkan fungsi mereka: “Tua-tua yang melaksanakan kewajipannya dengan sempurna layak menerima penghormatan tinggi”—dan inilah perbezaannya—“terutamanya yang giat menyampaikan firman dan ajaran” (1 Timotius 5:17).

Kita harus sedar akan godaan unik yang wujud ketika menyampaikan firman Tuhan. Para pengkhutbah memegang kedudukan yang boleh membina atau meruntuhkan dalam skala yang besar (Amsal 18:21). Apakah yang dapat melindungi seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk berkhutbah daripada menjadi sombong, mendominasi, dan zalim? Kepimpinan yang bersifat majmuk. Pembetulan ini sudah tertanam dalam struktur asas kepemimpinan tua-tua dalam Perjanjian Baru. Adalah tanggungjawab bersama para tua-tua untuk saling melindungi antara satu sama lain sambil menjaga, memimpin, dan mengasihi jemaah dengan sebaik-baiknya.

Kepimpinan Rohani

Kepimpinan gereja, akhirnya, bersifat rohani. Petrus mengakui sifat rohani yang wujud dalam kepimpinan apabila dia menyebut bahawa seorang tua-tua adalah “turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata” dan menantikan “menerima mahkota kemuliaan yang kekal.” Ini adalah realiti rohani bagi satu peranan rohani.

Perintah Alkitab untuk ‘taat’ dan ‘tunduk’ kepada pemimpin
seseorang memang sukar tetapi jelas.

Apakah peranan, jika ada, yang sepatutnya dimainkan oleh jemaah dalam kehidupan rohani gereja? Ibrani 13 membantu kita. Menulis kepada ahli gereja, penulis menekankan fungsi mereka:

Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka. Yesus Kristus tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya. Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu. (Ibrani 13:7-8,17)

“Ingatlah.” “Teladani.” “Taati.” “Patuh.” Perintah-perintah ini menyimpulkan tanggungjawab rohani jemaah terhadap pemimpin mereka.

Konsep ketaatan dan ketundukan memang sukar, tetapi jelas. Kita mungkin tertanya-tanya sama ada terdapat situasi yang perintah ini tidak dapat diaplikasikan. Adakah kita mesti sentiasa tunduk kepada pemimpin kita? Alkitab juga jelas mengenai perkara ini. Pemimpin ialah mereka yang menyampaikan firman Tuhan (Ibrani 13:7). Sudah tentu, jika kepimpinan gereja menyimpang daripada autoriti dan peraturan firman Tuhan, maka kepimpinan mereka tidak layak menerima ketaatan atau ketundukan. Namun, selagi mereka tetap dikawal dan dipimpin oleh Alkitab, mereka patut diberi penghormatan yang sewajarnya.

Jika kepimpinan gereja menyimpang daripada autoriti dan peraturan firman Tuhan,
maka kepimpinan mereka tidak layak menerima ketaatan atau ketundukan.

Sesungguhnya, gereja secara keseluruhan sepatutnya hidup di bawah pemerintahan Tuhan dan firman-Nya. Pastor abad ke lapan belas, John Newton, sering mengingatkan jemaahnya dengan kata-kata berikut, yang masih relevan sehingga hari ini:

Saya menganggapnya sebagai kehormatan dan kegembiraan saya dapat berkhutbah kepada orang yang merdeka, yang memiliki Alkitab. Kepada Alkitab anda saya merujuk. Saya memohon, saya menegaskan agar anda tidak menerima apa-apa dengan hanya berdasarkan kata-kata saya, melainkan dengan hanya apa yang dapat dibuktikan melalui firman Tuhan; dan ukurlah setiap pengkhutbah dan setiap khutbah yang anda dengar dengan piawaian yang sama.1

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “Leaders in the Local Church” oleh Alistair Begg.

1. John Newton, “Of a Living and a Dead Faith,” in The Works of John Newton (1820; repr., Edinburgh: Banner of Truth, 1985), 2:558.

返回博客