Pengajaran dalam Kepimpinan Gereja: Menetapkan Visi

Kita semua pernah menerima berita buruk. Ia boleh menjadi sesuatu yang tragis, sering menimbulkan perasaan putus asa, bimbang, atau terbeban. Hal ini juga berlaku kepada Nehemia, yang hidup dalam pembuangan di negeri asing jauh dari Yerusalem. Sesungguhnya, kitab Nehemia yang ditulis dalam bentuk penceritaan orang pertama, tentang usaha tokoh yang menjadi judul kitab itu sendiri untuk membina semula tembok Yerusalem selepas orang Yahudi pulang dari pembuangan di Babel, dibuka dengan maklumat yang mengejutkan ini:

Nehemia anak Hakhalya meriwayatkan: Pada bulan Kislew tahun kedua puluh, ketika aku berada di kubu kota Susan, datanglah Hanani, salah seorang saudaraku, bersama-sama beberapa orang dari Yehuda. Aku bertanya kepada mereka tentang orang Yahudi yang berjaya bolos, yang terselamat setelah pembuangan mereka, dan tentang Yerusalem. Kata mereka kepadaku, “Saki-baki orang yang masih tinggal di wilayah sana, yang terselamat setelah pembuangan berada dalam kesusahan besar dan dalam keadaan tercela. Apatah lagi, tembok Yerusalem telah dirobohkan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dijilat api.” (Nehemia 1:1-3)

Pada tahun 722 SM, Asyur telah menyerang Kerajaan Utara Israel. Tidak sampai dua abad kemudian, pada tahun 586 SM, Kerajaan Selatan Yehuda pula dibuang disebabkan penyembahan berhala mereka. Yerusalem telah dijarah, dan umat Tuhan telah dibawa ke dalam penawanan tentera Kasdim (2 Raja-Raja 25:8–13). Kemudian, pada tahun 539 SM, Kores dan bangsa Parsi mengambil alih tampuk kepimpinan dunia, menggulingkan Babel. Dengan pemeliharaan Tuhan yang luar biasa, Tuhan telah menggerakkan hati Kores untuk membenarkan sebilangan orang Yahudi kembali ke Yerusalem dan membina semula kota mereka (Ezra 1:1–11)—namun projek itu tergendala tidak lama selepas ia bermula (Ezra 4:23).

Berita tentang penentangan inilah yang diterima oleh Nehemia dalam bab 1. Siapakah yang akan memimpin umat Tuhan melalui ujian ini? Bagaimanakah mereka akan mengatasi penentangan tersebut dan memulakan pekerjaan itu semula? Mereka memerlukan seseorang yang dapat membawa kebenaran Tuhan untuk diaplikasikan dalam situasi mereka. Mereka memerlukan visi dan seorang pemimpin yang bervisi. Dan pemimpin itu ialah Nehemia.

Seperti umat Tuhan pada zaman dahulu, gereja-gereja kita pada hari ini juga berhadapan dengan banyak cabaran. Kita memerlukan pemimpin yang akan membawa firman Tuhan untuk diaplikasikan dalam situasi kita, memimpin kita kepada pelayanan yang setia (Ibrani 10:24–25). Secara ringkasnya, gereja kita memerlukan visi—dan para pemimpin masa kini boleh mengenal pasti suatu pola untuk membina visi seperti itu melalui reaksi Nehemia, tindak balasnya, dan tindakannya terhadap kehancuran di Yerusalem.

Reaksi Nehemia: Rasa Terbeban yang Wajar

Sebaik sahaja mendengar perkataan itu, duduklah aku lantas menangis dan berkabung selama beberapa hari...(Nehemia 1:4)

Reaksi Nehemia terhadap berita bahawa tembok Yerusalem telah runtuh memberikan teladan kepada kita. Dalam reaksinya, kita dapat melihat betapa mendalamnya pengabdian dan belas kasihannya. Keprihatinannya bukan tertumpu pada bangunan atau tembok fizikal yang telah musnah; sebaliknya, ia tertumpu pada makna di sebalik tembok tersebut. Setelah menerima berita buruk itu, Nehemia sangat sedih—dan memang wajar, kerana kemuliaan Tuhan seolah-olah telah dihina di lereng bukit Yehuda. Bangsa-bangsa asing memandang Israel, umat pilihan Tuhan, sambil mengejek, “Di mana Tuhanmu sekarang?” (Lihat Mazmur 137:3.)

Para pemimpin membawa kebenaran Tuhan untuk
diaplikasikan dalam situasi yang dihadapi oleh umat mereka.

Adakah kita turut berkongsi beban Nehemia terhadap keadaan rohani gereja-gereja kita? John Stott, ketika mengulas Kisah Para Rasul 17, menulis: “Yesus meratapi kota Yerusalem yang tidak mahu bertaubat. Paulus sangat berdukacita melihat kota Atena yang penuh dengan penyembahan berhala. Adakah kita pernah rasa marah oleh kota-kota dunia masa kini yang juga dipenuhi penyembahan berhala?”1

Hanya Roh Tuhan yang mampu membangkitkan reaksi sedemikian dalam diri kita. Ia bukan respons semula jadi; ia adalah respons yang berasal daripada Tuhan sendiri. Dan beban seperti inilah yang membezakan seseorang yang bervisi daripada yang lain, seperti yang terjadi pada Nehemia. Adakah kita benar-benar memahami realiti zaman kita kini? Dan apabila kita melihat realitinya, adakah kita telah meratapi keadaan itu di hadapan Tuhan dengan sewajarnya?

Tindak Balas Nehemia: Mengandalkan Tuhan Melalui Doa

...Aku berpuasa dan berdoa di hadapan Allah semesta langit. (Nehemia 1:4)

Reaksi Nehemia adalah satu bentuk pengabdian dan belas kasihan. Namun tindak balas susulannya juga sangat mengajar kita: ketika hatinya terbeban hingga ke tahap berputus asa, Nehemia segera datang kepada Tuhan dalam doa. Jika Yerusalem ingin dibangunkan semula, pintu gerbangnya dipulihkan dan kemuliaan Tuhan dinyatakan, itu hanya akan berlaku melalui campur tangan Tuhan. Nehemia menyedari kebergantungan bangsa Yahudi, mengetahui bahawa “melainkan TUHAN mendirikan rumah, sia-sialah tenaga orang yang membinanya” (Mazmur 127:1).

Sebarang percubaan untuk menjelaskan pengaruh visi Nehemia yang gagal mengiktiraf kepentingan doa sebagai perkara utama tidak akan menjadi lengkap. Cyril J. Barber membuat satu perbandingan antara kehidupan doa Nehemia dan diri kita: “Mereka yang bergantung kepada diri sendiri tidak berdoa, mereka hanya bercakap dengan diri mereka sendiri. Mereka yang berpuas hati tidak akan berdoa, mereka tidak menyedari keperluan mereka. Mereka yang berasa diri mereka benar tidak dapat berdoa, mereka tiada asas untuk mendekati Tuhan.”2 Sememangnya, Nehemia bukanlah seorang yang bergantung kepada diri sendiri atau yang berpuas hati, dan bukan juga seorang yang berasa dirinya benar. Dia bergantung kepada Tuhan. Dan jika kita ingin melakukan perkara besar untuk Tuhan, kita juga mesti menjadi lelaki dan wanita yang hidup dalam doa.

Selepas menyedari bahawa dia akan segera menghadap raja dan memohon izin untuk pergi ke Yerusalem, Nehemia berdoa kepada Tuhan secara khusus. Perhatikan permintaannya dalam ayat 11: “Berikanlah kejayaan kepada hamba-Mu hari ini.” Sesetengah daripada kita mungkin melihat perkataan kejayaan sebagai sesuatu yang tidak wajar dalam kosa kata seorang Kristian. Kita melihatnya seakan-akan berpusatkan diri sendiri atau berpusatkan manusia. Namun kejayaan yang diminta oleh Nehemia adalah kejayaan yang membawa kepada kemuliaan Tuhan. Permintaannya bukan tertumpu pada kejayaannya sendiri tetapi pada pekerjaan Tuhan.

Jika kita ingin melakukan perkara besar untuk Tuhan, kita mesti berdoa.

Dalam usaha kita menetapkan visi, inilah jenis kejayaan yang harus kita doakan. Kita harus belajar datang kepada Tuhan dengan berani, memohon agar Dia memberkati rancangan kita selagi rancangan itu memuliakan Dia. Kita boleh—dan sepatutnya—menuntut dengan iman akan janji-janji Tuhan melalui doa.

Nehemia Bertindak

Maka pada bulan Nisan dalam tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta, aku mengangkat air anggur yang tersaji di hadapan baginda dan menyampaikannya kepada raja...Aku pun menjadi sangat takut.
(Nehemia 2:1-2)

Terbeban, berdoa, dan kini bertindak. Nehemia memiliki perspektif yang berpusat pada Tuhan mengenai Yerusalem, dan mendorongnya untuk mengambil inisiatif. Daripada reaksi dan tindak balasnya dalam bab 1, kita dapat melihat tiga prinsip hikmah tentang kepimpinan yang bervisi daripada tindakan Nehemia dalam bab 2.

Kepimpinan yang Bervisi itu Bersifat Biasa

Inisiatif Nehemia menuntut pengorbanan. Ketika dia berdiri di hadapan raja, kita diberitahu bahawa Nehemia “sangat takut.” Dia tidak menyembunyikan kelemahannya; sebaliknya dia mengakuinya. Prinsip untuk pemimpin masa kini jelas: pemimpin mesti telus, menunjukkan bahawa mereka juga manusia biasa kepada mereka yang dipimpin.

Doa melibatkan tuntutan iman terhadap janji-janji Tuhan.

Jika kita tidak berhati-hati, apabila kita berdepan dengan ketakutan dan kelemahan dalam kepimpinan, sikap kita boleh menjadi seperti seorang Farisi moden. Kita boleh melihat keadaan Nehemia dan berfikir, “Oh, saya rasa saya tidak akan takut. Jika saya di tempatnya, saya pasti berani!” Tetapi jika kita berfikiran seperti ini, kita sedang menipu diri sendiri, dan merampas peluang untuk kuasa Tuhan dinyatakan melalui kelemahan kita dan orang-orang dibawah pimpinan kita (2 Korintus 12:9).

Pemimpin yang efektif adalah orang biasa dengan kurnia luar biasa daripada Tuhan, yang diberikan untuk memimpin dalam menghadapi cabaran biasa mahupun luar biasa. Mereka tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Kepimpinan yang Bervisi Itu Bersifat Strategik

Ketika dia berdiri di hadapan raja, Nehemia berada pada saat emas dalam hidupnya. Selepas berbulan-bulan berdoa, kini dia mendapat perhatian penuh raja. “Apakah yang ingin kamu minta?” tanya raja (Nehemia 2:4).

Jelas bahawa Nehemia telah memikirkan permintaannya terlebih dahulu. Dia meminta izin pulang ke Yehuda (ayat 5) serta surat-surat untuk laluan selamat dan untuk mendapatkan bahan binaan sepanjang perjalanan (ayat 7–8). Nehemia berpandangan jauh, menyusun rancangannya untuk membina semula kota itu. Dan apakah hasilnya? “Raja mengabulkan permintaanku,” Kata Nehemia, “kerana tangan Allahku yang baik menaungi aku” (ayat 8). Tuhan bekerja melalui doa dan perancangan Nehemia.

Ketika kita memimpin orang lain, kita perlu berfikir bukan sahaja berdasarkan Alkitab tetapi juga dengan perancangan yang bijak. Jika kita tidak berhati-hati, kita boleh menjadi terlampau condong ke satu pihak atau sebaliknya: Di satu pihak, menolak metodologi dan perancangan yang berguna atas nama kemurnian doktrin; di pihak lain, mengutamakan perancangan strategik melebihi hikmah Alkitab, sehingga menghasilkan pendekatan pragmatik yang tidak selaras dengan Alkitab.

Berdoa dan merancang—Nehemia menunjukkan kedua-duanya penting dalam kepimpinannya. 

Kepimpinan yang Bervisi Itu Diberikan Tuhan

Jika kita ingin menetapkan visi dalam konteks gereja dan kepimpinan kita, ia mesti ditanam terlebih dahulu dalam hati kita oleh Roh Tuhan melalui firman-Nya. Visi Nehemia untuk membina semula kota itu bukanlah hasil imaginasi semata-mata; ia adalah sesuatu yang didoakan. Tuhan menaruhkannya dalam hati Nehemia (Neh. 2:12). Nehemia berhubung dengan Tuhan dan komunitinya, bersedia memimpin mereka untuk melakukan pekerjaan Tuhan.

Kita perlu berfikir bukan sahaja berdasarkan Alkitab
tetapi juga dengan perancangan yang bijak.

Sebagai pemimpin masa kini, kita tidak perlu meneka visi apa yang diberikan oleh Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Alkitab telah menyatakan kehendak-Nya: “Berwaspadalah,” Paulus mengajar Timotius, “tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas” (2 Timotius 4:5). Dengan kata lain, dalam hati setiap pemimpin mesti ada kerinduan yang mendalam terhadap Tuhan dan kemuliaan-Nya, terhadap mereka yang dipimpin, dan terhadap jiwa-jiwa yang belum mengenal Dia.

Mengikuti Pola Nehemia

Bermula daripada beban, kepada doa, kemudian kepada tindakan—beginilah pola kepimpinan Nehemia yang bervisi. Ketika kita merenungkan konteks pelayanan kita sendiri, adakah terdapat visi dalam hati kita? Adakah wujud perasaan ingin membuka jalan yang boleh diikuti oleh orang lain?

Kita boleh bermula dengan beban: terhadap keadaan gereja, terhadap dosa dunia ini, dan terhadap kegagalan kita sendiri. Dan daripada kesedihan itu, kita mungkin terdorong untuk datang sujud dalam doa: “Tuhan, tidakkah Engkau mahu mengoyakkan langit lalu turun? Tidakkah Engkau mahu melakukan sekali lagi apa yang telah Engkau lakukan dahulu?” (rujuk Yesaya 64:1; Habakuk 3:2.) Akhirnya, kita boleh bertindak, dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak mampu melaksanakan tujuan Tuhan dengan diri kita sendiri—namun seperti Nehemia, kita melangkah maju dalam iman, percaya bahawa tangan Tuhan yang baik akan mendahului kita (Nehemia 2:9).

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “Establishing a Vision” oleh Alistair Begg.

1. John R. W. Stott, The Message of Acts: The Spirit, the Church, and the World, The Bible Speaks Today (Downers Grove, IL: IVP Academic, 1990), 291.

2. Cyril J. Barber, Nehemiah and the Dynamics of Effective Leadership (Neptune, NJ: Loizeaux Bros., 1976), 22–23.


返回博客