Dalam ayat pertama Kolose 2, Paulus menulis kepada jemaah di Kolose, “supaya kamu tahu, betapa beratnya perjuangan yang kulakukan untuk kamu” (Terjemahan Baru). Perkataan “perjuangan” adalah gambaran yang tepat bagi pelayanan pastoral. Ia menggambarkan sifat panggilan ini yang penuh kesungguhan, dan ia pasti menyentuh hati semua orang yang telah ditetapkan oleh Tuhan untuk tugas tersebut.
Dalam Kolose 1:24–2:5—bahagian Paulus menyampaikan kesaksiannya tentang perjuangan pastoral—rasul itu mengajak orang percaya di Kolose untuk meneliti bentuk pelayanannya, matlamatnya, dan kebahagian yang diperolehnya melalui pelayanan tersebut. Di tengah-tengah kehadiran guru-guru palsu, Paulus meletakkan piawai rohani agar kita dapat menilai kesahihan sesuatu pelayanan sambil bertanya, “Siapakah sebenarnya yang telah diutus oleh Tuhan kepada kita?” Dengan kata lain, siapakah yang patut menjadi pastor, bagaimanakah rupa pelayanan mereka, dan apakah hasil yang sepatutnya mereka harapkan melalui pelayanan itu?
Dalam ayat-ayat ini, para pastor dapat belajar daripada Paulus tentang pola yang harus diikuti, tujuan yang harus dicapai, dan kebahagian yang akan dialami oleh mereka jika mahu menyertai perjuangan Paulus demi Tuhan dan gereja-Nya. Dalam bahagian pertama daripada dua artikel ini, kita akan belajar tentang pola perjuangan Paulus. Dalam bahagian kedua, kita akan menggali pelajaran daripada tujuan dan kebahagiannya.
Pola Perjuangan: Apa yang Diberikan Tuhan
Walaupun terdapat perbezaan yang jelas antara para rasul dalam generasi pertama gereja dan para pastor pada masa kini, terdapat juga persamaan yang ketara, terutamanya dalam hal menjaga jemaah Tuhan. Pola penderitaan Paulus demi orang percaya di Kolose menjadi contoh bagi kita. Dalam Kolose 1:24–28, Paulus menunjukkan suatu pola bagi pelayanan yang sah apabila dia menerangkan panggilan yang diberikan oleh Tuhan, pesanan yang diberikan oleh Tuhan, dan cara kerja yang ditetapkan oleh Tuhan:
Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan Kristus, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah. Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya — iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya. Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu dalam kalangan orang bukan orang Israel, iaitu Kristus dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan. Kristuslah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Yesus Kristus.
Panggilan yang Diberikan oleh Tuhan
Bagaimana seseorang menjadi seorang pastor? Paulus memberikan jawapannya sendiri, menjelaskan hubungannya dengan gereja: “Aku menjadi pelayan menurut amanah daripada Tuhan yang telah diberikan kepadaku.” Kita tidak menyertai secara sukarela pelayanan pastoral. Kita tidak memilihnya sebagai satu daripada banyak pilihan. Ia diberikan oleh Tuhan, dari tempat yang tinggi. Dan hal ini ditunjukkan sepanjang sejarah Alkitab, daripada panggilan hamba-hamba Tuhan dalam Perjanjian Lama sehingga kepada para nabi, kemudian para rasul. Tuhanlah yang mengambil inisiatif dalam mengangkat para pastor di gereja-Nya.
Sesiapa yang belajar untuk menjadi seorang pastor harus melakukannya dengan keyakinan bahawa Tuhan yang telah menempatkan mereka dalam panggilan itu.
Ini jelas dalam kehidupan Paulus, ketika cahaya dan suara dari langit di Jalan Damsyik memanggilnya menjadi rasul. Memang benar kita tidak lagi hidup dalam zaman para rasul (seperti istilah yang kita faham), seperti Paulus, yang menyaksikan Kristus yang bangkit dan menerima petunjuk khusus daripada Tuhan. Namun, kita masih boleh mengatakan kepada sesiapa yang merasakan panggilan untuk melayani: jika anda mampu mengelak daripada pelayanan pastoral, maka elakkanlah!
Ini adalah nasihat yang pernah diberikan oleh Charles Spurgeon kepada pelajarnya:
Jika mana-mana pelajar di sini boleh berpuas hati dengan menjadi seorang penyunting surat khabar, atau pekedai runcit, atau petani, atau doktor, atau peguam, atau senator, atau raja, demi nama syurga dan dunia, biarlah dia pergi; dia bukanlah orang yang dipenuhi oleh Roh Tuhan sepenuhnya, kerana seseorang yang penuh dengan Tuhan pasti berasa sangat letih dengan apa saja usaha yang bukan menjadi kerinduan terdalam jiwanya. Sebaliknya, jika anda boleh berkata bahawa sekalipun diberikan segala kekayaan dari Timur dan Barat, anda tetap tidak sanggup dan tidak berani memilih apa-apa panggilan lain yang akan menjauhkan anda daripada menyebarkan Injil Yesus Kristus, maka percayalah—jika perkara-perkara lain juga memuaskan—anda memiliki tanda-tanda kerasulan itu.1
Kebanyakan orang tidak akan melihat cahaya atau mendengar suara dari langit, tetapi apabila seseorang mengetahui panggilan Tuhan untuk menginjil dan memimpin jemaah, panggilan itu akan jelas dan tidak dapat dielakkan. Paulus tidak melakukannya sekadar suka-suka. Dia dipenuhi dengan semangat untuk Tuhan Yesus Kristus. Seperti Yeremia, kita dapat menganggap Paulus mampu berkata:
Kalau aku berfikir, “Aku tidak mahu menyebut-nyebut Dia dan tidak mahu berbicara lagi atas nama-Nya,” maka dalam hatiku ada sesuatu seperti api yang menyala-nyala, terkurung dalam tulang-tulangku. Aku berlelah-lelah menahannya, tetapi aku tidak sanggup (Yeremia 20:9).
Pendidikan teologi sahaja tidak menjadikan seseorang sebagai gembala jemaah Tuhan. Pembelajaran itu penting dan membantu, tetapi tanpa pengutusan ilahi dan tangan Tuhan yang menyertai kehidupan seseorang, pelayanan itu akan tidak berkesan dan tidak bermakna dalam tugasan tersebut. Sesiapa yang belajar untuk menjadi seorang pastor harus melakukannya dengan keyakinan bahawa Tuhan yang telah menempatkan mereka dalam panggilan itu.
Sebaliknya, dalam Yeremia 23:21, Tuhan memberi amaran mengenai mereka yang mengambil peranan sebagai nabi tanpa diutus:
Aku tidak mengutus para nabi itu, tetapi mereka bergegas pergi. Aku tidak berfirman kepada mereka, tetapi mereka menyampaikan nubuat.
Seperti nabi-nabi zaman dahulu, nampaknya ada beberapa mimbar hari ini yang tidak “hidup” dalam penyampaian kebenaran. Mengapa? Kerana hanya Tuhan yang boleh menjadikan seorang pastor itu berkesan dalam berkhutbah.
Mesej yang Diberikan oleh Tuhan
Sudah tentu, keinginan untuk bercakap sahaja tidak cukup untuk menandakan seseorang sebagai pengkhutbah yang salih. Nabi-nabi pada zaman Yeremia dipenuhi dengan pelbagai kata-kata, namun Tuhan berkata tentang mereka: “Mereka menyampaikan penglihatan yang muncul dari hati mereka sendiri, bukan daripada TUHAN” (Yeremia 23:16). Seorang pastor seperti Paulus, sebaliknya, terikat oleh panggilannya kepada satu mesej tertentu: “untuk menyatakan firman Tuhan sepenuhnya.”
Pesanan Paulus adalah mesej yang diberikan oleh Tuhan. Ia adalah firman Tuhan—Injil Yesus Kristus, yang tercatat dalam Perjanjian Lama dan Baru. Firman ini adalah alat yang ditetapkan oleh Tuhan untuk menimbulkan iman dalam hati manusia, sebagaimana Paulus berkata dalam Roma 10:17: “Iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda Kristus.” Firman Tuhanlah yang membina orang menjadi Kristian yang teguh dan stabil.
Adakah mesej yang disampaikan berasal daripada manusia
atau firman Tuhan yang sebenar?
Paulus menggambarkan firman ini sebagai “rahsia yang tersembunyi dari zaman ke zaman dan dari generasi ke generasi, tetapi kini dinyatakan kepada orang kudus-Nya.” Dan “rahsia ini,” katanya, “adalah Kristus di dalam kamu, pengharapan akan kemuliaan.” Mereka yang menyeru nama Kristus telah ditempatkan dalam Dia. Kerana Kristus kini duduk di sebelah kanan Bapa, mereka turut mempunyai akses kepada Bapa melalui Kristus. Kerana Kristus telah menang atas maut dan kubur, mereka turut menikmati kemenangan-Nya. Dan kerana Kristus telah mengutus Roh Kudus-Nya kepada mereka, Dia juga benar-benar hidup di dalam diri mereka.
Inilah perbezaan utama antara seorang Kristian dan bukan Kristian. Ia bukanlah tentang amalan keagamaan, bukan kehadiran ke gereja, bukan tentang pemberian wang persembahan. Ia adalah hubungan peribadi yang hidup dengan Yesus. Apabila seseorang datang dengan pertaubatan dan dalam iman, berkata, “Tuhan, ketika Engkau mati di atas kayu salib, Engkau mati untukku; aku mengakui dosaku; aku memohon Engkau menjadi Penyelamatku,” maka orang itu akan tinggal dalam Kristus, dan Kristus akan tinggal dalam dirinya. Mana-mana pelayanan yang mengabaikan mesej ini adalah pelayanan yang akhirnya tidak akan berbuah.
Masalahnya ialah: adakah mesej seorang pengkhutbah dibuat berdasarkan idea manusia, atau menyampaikan kebenaran firman Tuhan yang sebenar? Terdapat jemaah di Kolose yang mengajar segala macam “falsafah dan tipu daya yang sia-sia” serta “menurut adat manusia” (Kolose 2:8). Sesiapa sahaja boleh mengajar perkara seperti itu. Tetapi apabila Tuhan memanggil seseorang, Dia memanggilnya untuk menyampaikan firman-Nya sendiri.
Pastor yang setia adalah mereka yang “menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya”—kitab demi kitab, baris demi baris, ayat demi ayat, bahkan perkataan demi perkataan. Firman Injil diberikan melalui Alkitab, dan setiap perkataan di dalamnya “diilhamkan oleh Allah , dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik” (2 Timotius 3:16-17). Pengkhutbah mesti bijak memilih, kerana mereka tidak dapat mengajar seluruh firman Tuhan sekaligus; tetapi mereka tidak boleh bersikap eksklusif, mengabaikan sebahagian Alkitab semata-mata untuk menekankan bahagian lain yang mungkin lebih menarik.
Pastor harus mendalami firman Tuhan. Pendalaman firman Tuhan tidak berlaku melalui kajian Alkitab selama lima minit pada malam hari Sabtu. Bukan juga hasil daripada kajian Alkitab selama lima jam dalam seminggu. Ia terjadi melalui jam demi jam, hari demi hari, yang diluangkan untuk belajar dengan penuh doa sepanjang tahun, supaya mereka bersedia menyatakan “seluruh kehendak Allah” (Kisah Para Rasul 20:27).
Tugas ini hanya boleh dilakukan dengan takut akan Tuhan, menyedari bahawa “kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain” (Yakobus 3:1) dan mengingati hukuman berat yang menimpa guru-guru yang menyesatkan anak-anak Tuhan (Matius 18:6). Terdapat bahaya besar bagi gembala dan jemaah apabila firman Tuhan disampaikan sebagai sesuatu yang lain selain daripada kata-kata yang benar-benar diberikan oleh Tuhan. Kerana tanggungjawab ini adalah unik dan sangat sukar, yang tidak dapat dilaksanakan—dan tidak sepatutnya dicari—tanpa keyakinan akan panggilan Tuhan dan kebergantungan kepada penyediaan-Nya.
Kaedah yang Ditetapkan Tuhan
Setelah kepastian panggilan dan kebergantungan kepada Tuhan diteguhkan, barulah kaedah boleh dipertimbangkan. Misalnya Paulus, dia mempunyai banyak peranan; dan salah satu yang paling penting ialah dia seorang pengkhutbah. “Dialah yang kami ajarkan,” katanya tentang Kristus, “menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana.” Sebagai pengkhutbah, mereka menyampaikan mesej yang diberikan oleh Tuhan melalui kaedah yang ditetapkan oleh Tuhan, kerana melalui khutbahlah orang mendengar firman Kristus (Roma 10:14,17).
Alkitab mempunyai banyak perkara untuk dikatakan tentang penyampaian firman Tuhan—namun kita hidup dalam zaman yang membuat orang lebih tertarik kepada klip-klip pendek. Ramai yang lebih suka mendapatkan makanan rohani mereka melalui klip video tiga puluh saat yang diiringi lagu terkini dan diselitkan dengan tanda pagar (hashtag) media sosial yang sedang tular. Lalu orang berkata, “Bagaimana kamu boleh membina gereja hanya berasaskan ceramah selama setengah jam? Tidakkah kamu rasa kamu patut masukkan sedikit drama, buat lampu berkelip-kelip, dan jadikannya lebih menyeronokkan? Lagipun, minggu bekerja pun sudah cukup membosankan!”
Walaupun dorongan seperti itu mungkin difahami dalam dunia kita yang mudah terganggu, namun akhirnya ia mesti ditolak. Para pastor yang diutus Tuhan berkhutbah, dan mereka berkhutbah kerana mereka perintahkan oleh Tuhan untuk berbuat demikian. Itu saja, ringkas dan jelas.
Perhatikan Korintus, salah satu kota yang dilayani oleh Paulus. Kota itu dikuasai oleh Kuil Aphrodite dan kegiatan pemujaan yang melibatkan pelacuran. Tempat itu dipenuhi dengan ramai orang yang terikat dengan kelakuan seks yang tidak bermoral, diperintah oleh pemimpin yang terbuka dengan gaya hidup seks bebas dan homoseksual, serta dipenuhi dengan orang ramai yang berminat pada perkara-perkara dramatik dan mengagumkan. Seperti ramai orang Yunani yang lain, mereka “asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru” (Kisah Para Rasul 17:21. Tetapi ketika Paulus pergi ke sana, apa yang dilakukannya? Seperti yang katakannya sendiri dalam 1 Korintus 2:1–3, dia tidak menyesuaikan pelayanannya dengan apa yang menarik minat orang Korintus: “Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan. Sebabnya sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Yesus Kristus semata-mata, khususnya tentang kematian-Nya di kayu salib.”
Perbezaan utama antara seorang Kristian dan bukan Kristian
bukanlah tentang amalan keagamaan atau kehadiran ke gereja.
Ia adalah hubungan peribadi yang hidup dengan Yesus.
Mengapa? Kerana “Yesus Kristus semata-mata, khususnya tentang kematian-Nya di kayu salib” adalah jawapan bagi yang terikat dengan ketagihan. Itulah satu-satunya jawapan bagi ahli perniagaan yang angkuh dan terlalu yakin dengan dirinya sendiri. Ia jawapan bagi orang miskin dan memerlukan. Ia jawapan bagi keluarga yang retak dan budaya yang hancur. Perunding berkata, “Buat sesuatu yang dramatik.” Peminat berita berkata, “Buat sesuatu yang bersifat politik.” Tetapi Tuhan berkata: “Beritakanlah firman Allah...Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran” (2 Timotius 4:2). Firman Kristuslah yang menyelamatkan—“bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya?” (Roma 10:14)
Dalam setiap zaman, apabila seorang pastor menerima panggilan Tuhan untuk menyampaikan mesej Tuhan, kaedah yang diberikan Tuhan kepadanya ialah berani menyatakannya dengan kesederhanaan.
Teruskan membaca dalam "Tanda-tanda Pelayanan yang Diberikan Oleh Tuhan, Bahagian Dua."
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “The Marks of a God-Given Ministry” oleh Alistair Begg.
1. C. H. Spurgeon, “The Call to the Ministry,” in Lectures to My Students (1875–94; repr., Edinburgh: Banner of Truth, 2011), 24–25.