Dalam 2 Korintus 4:1–6, kita dapati Paulus membuat beberapa pernyataan penting mengenai pelayanan Injil—pernyataan yang tetap menjadi dorongan bagi para pastor masa kini dalam tugas utama mereka:
'Oleh itu, dengan belas kasihan Allah, kami mempunyai amanah pelayanan ini. Maka kami tidak tawar hati. Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah. Akan tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami menyerahkan diri untuk dinilai oleh hati nurani semua orang di hadapan Allah. Namun demikian, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang akan binasa. Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan Kristus yang merupakan gambaran Allah. Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus. Allah telah berfirman, “Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap.” Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus.
“Kami menyebarkan Yesus Kristus sebagai Tuhan.”
Dalam tulisan terdahulu, kami menekankan penegasan Paulus bahawa para pemberita Injil mesti menghindari godaan untuk memberitakan diri sendiri. Tetapi, apakah yang sepatutnya kita beritakan? Rasul Paulus memberikan jawapan yang jelas dan tegas: “Kami...menyebarkan…Yesus Kristus sebagai Tuhan.”
Yesus telah mengisytiharkan, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6). Jemaah, sahabat-sahabat, dan sesama kita biasanya bersetuju dengan kita pada tahap itu—sehingga, kita membaca keseluruhan ayat itu: “Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.” Budaya moden kita tidak mampu menerima kesimpulan ini. (Ajaran Kristian yang tidak jelas mudah diterima oleh orang ramai, tetapi Kristian yang ajarannya jelas akan sentiasa tidak popular.)
Sebagai pemberita Injil, kita dipanggil untuk menyebarkan Yesus Kristus sebagai Tuhan, dengan “diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus.” Dalam konteks pluralisme yang kita hadapi sekarang, hanya itulah yang akan memberikan kelebihan kepada pelayanan kita. Ketika para rasul menyebarkan Injil, terdapat campur tangan ilahi, hembusan kuasa luar biasa, suatu kuasa misteri seperti tiupan angin pada awal pagi yang menyegarkan. Mereka tidak sekadar berkata, “Ini adalah catatan sejarah”; terdapat suatu perasaan bahawa Tuhan hadir bersama mereka. Tidakkah anda juga merindui hal itu? Saya tahu saya merinduinya.
Dalam tafsirannya tentang 2 Korintus, John Calvin menulis: “Semakin keras hati manusia untuk menghina ajaran Kristus, semakin tekun para pelayan Tuhan perlu menegaskannya dan semakin kuat usaha mereka untuk memeliharanya sepenuhnya, dan lebih daripada itu, dengan ketabahan menangkis serangan Iblis.”1 Dengan kata lain, semakin keadaan zaman menjadi lebih mencabar, penyampaian kita perlu semakin jelas dan meyakinkan. Apabila umat kita seakan-akan tuli dan hambar, kita tidak boleh mengikut arus semangat zaman, sebaliknya kita harus lebih berkomitmen untuk menyampaikan Alkitab dan kuasa Roh, sambil percaya bahawa Tuhan membawa kehidupan daripada kematian melalui cara ini.
Untuk menutup siri ini, mari kita perhatikan satu ilustrasi daripada kehidupan seorang pemberita Injil yang boleh diteladani: D. L. Moody.
Pada abad ke-19, mungkin tiada pengkhutbah lain di seluruh dunia yang lebih ditolak oleh masyarakat negara saya, Scotland, selain Moody. Seorang penulis biografi pada zamannya pernah mencatatkan:
“Sesiapa yang mahu meneguhkan sebuah jemaah dalam kalangan orang Scotland perlu mendekati mereka dengan membawa minyak yang berasal daripada tempat suci; dan disampaikan melalui saluran yang dianggap betul serta mengikut tradisi. Dia mesti seorang yang berpelajaran tinggi, memiliki kelayakan daripada sebuah kolej, dan yang paling penting, datang dengan sokongan serta pengesahan daripada sekumpulan tokoh teologi yang terkenal.”2
Semua ciri ini tidak dimiliki oleh Moody. Namun, ketika dia dan Ira Sankey menamatkan lawatan penginjilan mereka di Edinburgh pada tahun 1873, mesyuarat perpisahan (menurut biografer) terpaksa diadakan di lereng berumput besar Arthur’s Seat, “kerana tiada bangunan yang memadai untuk menampung jemaah yang ramai.”3
Mengapa terdapatnya begitu ramai orang? Adakah kerana Moody seorang lelaki istimewa? Adakah kerana beliau mengkhutbahkan Injil yang disesuaikan dengan tuntutan zamannya? Tidak. Ia kerana Injil yang beliau khutbahkan menegaskan Yesus sebagai Tuhan.
Ia adalah cerita yang indah. Semoga Tuhan menjadikan kita orang yang bersemangat untuk menceritakannya.