Penemuan Semula Reformasi: Kasih Kurnia, Iman, Dan Yesus

Dalam bukunya The Madness of Crowds, Douglas Murray menyatakan bahawa “masyarakat di negara Barat yang makmur” hari ini hidup tanpa “penjelasan tentang tujuan kewujudan kita, dan tanpa cerita besar yang memberi makna kepada hidup.”1 Mereka tidak lagi mempunyai naratif agung yang membantu kita memahami kedudukan kita dalam perjalanan hidup dan dalam kisah dunia ini. Seperti dalam lagu kanak-kanak: “Semua kuda raja dan semua pegawai raja itu pun tidak dapat menyusun kembali Humpty seperti sediakala.” Budaya kita seperti Humpty—jatuh dari tembok dan kini berkecai di atas tanah.

Seorang Rahib Jerman dan Saya

Lebih dari lima ratus tahun dahulu, seorang rahib Augustinian dari Jerman mengalami krisis identiti yang melanda seluruh hidupnya. Pergelutannya bukan sahaja menggoncang dirinya, tetapi akhirnya membentuk sejarah dunia hingga ke hari ini.

Namanya, seperti yang anda mungkin sudah teka, ialah Martin Luther. Walaupun beliau seorang yang sangat beragama dan memiliki “cerita besar” yang jauh lebih teratur berbanding ramai orang hari ini, hatinya tetap gelisah. Tidak kira apa usaha yang dilakukannya, dia tidak pernah pasti sama ada dirinya diterima Tuhan atau tidak.

Apa sahaja yang dilakukan Luther tidak membawa ketenangan. Dia tidak mampu mencari cara untuk “memperoleh” kasih Tuhan. Dan sebenarnya, memang begitu hakikatnya. Kita memang tidak mampu mencari jalan kembali kepada Tuhan dengan usaha kita sendiri. Tuhanlah yang harus datang kepada kita dan melepaskan kita daripada belenggu dosa. Penyelamatan bukan ganjaran. Ia bukan pencapaian. Ia adalah kurnia Tuhan.

Penyelamatan bukan ganjaran. Ia bukan pencapaian. Ia adalah kurnia Tuhan.

Apabila Tuhan membuka mata Luther kepada kebenaran Alkitab tentang keselamatan oleh kasih kurnia melalui iman, beliau berkata, “Di sini aku merasakan seolah-olah aku dilahirkan semula sepenuhnya dan telah masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terbuka.”2 Bagi kita, kita mengatakan Luther “menemui semula” kebenaran Injil.
Tetapi sebenarnya, mungkin lebih tepat jika kita berkata bahawa Injillah yang “menemui” Luther semula. Selama berabad-abad sebelumnya, kebenaran ini tertimbus di bawah tradisi agama dan sama seperti ramai hari ini yang terperangkap dalam adat dan ritual, Luther tersasar daripada memahami kurnia Tuhan yang diberi secara percuma.

500 tahun kemudian, kita masih perlu mendengar gema Reformasi yang memulihkan Injil ini. Penemuan semula ini sering dirumuskan dalam lima sola: (1) hanya Kitab Suci, (2) hanya kasih kurnia, (3) hanya iman, (4) hanya Kristus, dan (5) hanya untuk kemuliaan Tuhan. Walaupun kelima-limanya sangat penting, kita akan fokus kepada tiga: kasih kurnia, Kristus, dan iman—untuk menolong kita meneliti identiti kita dengan mendalam serta jalur cerita kita yang berada di bawah kedaulatan Tuhan.

Kasih Kurnia Sahaja

Kita akan melihat terlebih dahulu tentang kasih kurnia semata-mata: hanya kasih kurnia, sola gratia.

Kisah keselamatan adalah suatu kisah di mana Tuhan mencari kita. Dalam Efesus 2, Paulus mengatakan bahawa sebelum Tuhan menyelamatkan kita, kita “mati kerana pelanggaran dan dosa,” hanyut mengikut arus dunia dan dikuasai oleh si jahat. Dalam keadaan mati rohani ini, kita tidak sedar bahawa kita dijadikan oleh Tuhan, untuk Tuhan, dan untuk hidup dalam hubungan dengan Tuhan.

Kita diciptakan oleh Tuhan, untuk Tuhan, dan untuk hidup dalam hubungan dengan Tuhan.

Jika kita tidak menyembah Tuhan mengikut tujuan kita diciptakan, kita akan mengisi kekosongan itu dengan sesuatu yang lain. Tetapi apa sahaja yang kita cuba selitkan dalam kekosongan tersebut tidak akan memuaskan.

C. S. Lewis menggambarkannya begini: “Kita seperti makhluk yang berhati dua, menceburi diri dalam kemabukan dan perzinaan serta cita-cita sedangkan sukacita yang tidak terhingga ditawarkan kepada kita. Kita seperti kanak-kanak miskin yang mudah puas bermain lumpur, sedangkan Tuhan menawarkan untuk bercuti di tepi laut. Kita terlalu mudah berpuas hati dengan perkara yang sementara dan kosong.3 Kecuali kita mencari Tuhan—kecuali Tuhan mencari kita!—kita akan dibiarkan dengan kekosongan dan perasaan sia-sia dalam perjalanan yang tiada penghujungnya.

Selain sesat, kita juga memberontak. Paulus berkata bahawa “secara tabii”, kita adalah “anak-anak yang dimurkai” (Efesus 2:3 AVB). Hal ini tidak popular hari ini, tetapi Alkitab sangat jelas: reaksi Tuhan terhadap dosa adalah murka yang adil.

Namun berita Injil amat mengagumkan: murka Tuhan dan kasih Tuhan sentiasa berjalan seiring. Hal ini sebenarnya sesuatu yang kita sendiri mungkin pernah alami dalam hubungan kita dengan orang lain juga.Tidakkah anda sendiri berasa marah apabila melihat orang yang anda kasihi dengan sepenuh hati mencederakan diri mereka kerana kebodohan mereka? Bukankah seorang pakar bedah kanser berasa sangat marah terhadap kanser yang menyerang pesakit yang ingin diselamatkannya? Tidakkah anda marah apabila melihat ketidakadilan di dunia kita? Malah, jika anda tidak marah, mungkin itu kerana anda tidak cukup peduli.

Sebenarnya perkara yang lebih sukar untuk difahami bukanlah idea bahawa Tuhan murka, tetapi idea bahawa Tuhan tidak peduli. Mampukah anda percaya kepada Tuhan yang acuh tak acuh terhadap pemberontakan manusia, yang tidak menghiraukan dosa, yang berkata, “Buatlah apa saja yang kamu mahu. Semuanya akan baik akhirnya.”
Mungkin anda boleh perbaiki keadaanmu dengan sedikit lagi keagamaan.” Tidak! Tuhan telah menciptakan kita untuk Diri-Nya. Dan melalui kasih kurnia-Nya—semata-mata kerana kasih kurnia-Nya—Dia menyediakan jalan bagi kita untuk melepasi murka-Nya dan sekali lagi menerima perkenan serta berkat-Nya.

Kristus Sahaja

Kasih kurnia Tuhan tidak dapat dipisahkan daripada Kristus, kerana Kristus sendiri ialah sumber segala kasih kurnia dan belas kasihan Tuhan kepada kita. Dalam 2 Korintus 13:14 (AVB), Paulus berkata, “Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus, kasih Allah dan keakraban Roh Kudus menyertai kamu semua.” Kasih kurnia ini bukan suatu benda atau barang yang diagihkan oleh gereja—sedikit di sini dan sedikit di sana. Tidak. Satu-satunya cara kita mengenal kasih kurnia ialah di dalam dan melalui Yesus Kristus.

Sebab itu tidak menghairankan bahawa seruan besar Reformasi bukan hanya sola gratia tetapi juga solus Christus—dalam Kristus sahaja. Seperti kata Paulus dalam Roma 6:23 (AVB) “Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” Hanya dalam Yesus Kristus kita dapat mengenal kasih kurnia Tuhan yang sungguh menakjubkan.

Apabila seseorang menemui kasih kurnia, itu kerana mereka telah menemui Yesus. Apabila seseorang menemui Yesus, itu kerana mereka telah menemui kasih kurnia.

Apabila seseorang menemui kasih kurnia, itu kerana mereka telah menemui Yesus. Apabila seseorang menemui Yesus, itu kerana mereka telah menemui kasih kurnia. Dalam Perjanjian Baru, Yesus tidak memberikan arahan tentang bagaimana menjadikan diri kita orang Kristian: cuba lakukan ini, cuba lakukan itu, berhenti lakukan ini, berhenti lakukan itu. Itu jalur cerita agama. Sebaliknya, Yesus Kristus dengan penuh kasih telah memberikan seluruh diri-Nya di kayu salib (Efesus 5:2 AVB) supaya kita menerima hidup yang penuh dan kekal.

Iman Sahaja

Kita diselamatkan oleh kasih kurnia sahaja, melalui Kristus sahaja, dan akhirnya melalui iman sahaja—sola fide. Kasih kurnia percuma melalui Yesus Kristus tidak memberi manfaat kepada kita jika kita tidak menerimanya. Kasih kurnia merupakan sumber. Kristus ialah anugerah. Iman ialah saluran. Seperti kata Paulus, “Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman...”(Efesus 2:8 AVB).

Namun kita harus perhatikan bahawa ini bukan satu transaksi seolah-olah Tuhan menyumbangkan kasih kurnia, dan kita pula menyumbangkan iman daripada usaha kita sendiri. Iman bukan sumbangan kita. Iman ialah respons kita. Paulus berkata lagi bahawa iman itu sendiri “ ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah” (Efesus‬ 2‬:8‬ AVB).‬‬‬‬‬

Tambahan pula, penyelamatan bukan semata-mata pencapaian minda, seolah-olah kita berkata, “Aha! Saya sudah faham semuanya, dan sekarang saya boleh menerima Kristus seperti apa yang dikatakan-Nya.

Sudah tentu, penyelidikan intelektual itu perlu, dan Alkitab serta iman Kristian menggalakkannya. Tetapi akhirnya, iman ialah anugerah. Begitu juga usaha kita untuk “menjadi orang lebih baik.” Iman “bukan hasil usaha supaya tiada orang dapat memegahkan diri” (Efesus 2:9 AVB). Iman selamanya merupakan anugerah.

Sifat iman ialah bersandar sepenuhnya kepada apa yang telah Tuhan lakukan untuk orang berdosa melalui Yesus Kristus. Iman melihat kepada luar diri, bukan ke dalam diri, untuk mencari harapan dan makna. Iman mendapati bahawa kisah yang kita tulis untuk diri kita dan yang dunia bentuk dalam diri kita sangat tidak mencukupi.
Iman melarikan diri daripada naratif palsu yang berakhir dengan kehampaan dan keputusasaan, lalu menyerahkan diri kepada Kristus untuk harapan, tujuan, dan tentu sekali penyelamatan daripada pemberontakan kita terhadap Tuhan Yang Kudus. Nyanyian kidung lama menggambarkannya dengan baik:

Tiada lain kupegang,
Hanya salib dan iman,
Dalam kehampaanku,
Kudambakan rahmat-Mu.
Tanpa Dikau, Tuhanku,
Takkan hidup jiwaku.4

Sebuah Kisah Baharu

Siapa atau apakah yang anda percayai hari ini? Lebih khusus lagi, siapa atau apakah yang anda harapkan untuk memberi anda harapan dalam hidup dan keberanian menghadapi kematian? Mungkin, seperti Martin Luther, anda melihat kepada pencapaian sendiri iaitu apa yang anda boleh bawa kepada Tuhan dan apa yang anda boleh lakukan untuk-Nya. Tetapi seperti yang Luther sendiri temui, jalur kisah itu tidak akan memuaskan. Kita tidak mampu menjadi cukup baik atau melakukan kebaikan yang cukup untuk memperoleh perkenan Tuhan Yang Maha Kuasa.

Namun ada kisah yang lebih baik. Ia ialah kisah kasih kurnia sahaja, melalui iman sahaja, dalam Kristus sahaja. Seperti mana-mana kisah yang baik, ada drama dan turun naiknya sekurang-kurangnya dari perspektif kita yang terbatas. Tetapi salah satu perkara paling indah tentang kisah ini ialah walaupun kisahnya masih berjalan, kita sudah tahu penghujungnya. Seperti cerita dongeng yang paling memikat, cerita ini jauh lebih baik kerana ia benar, di mana semua yang menerima kisah ini melalui iman akan hidup bahagia selama-lamanya.

Kristus satu-satunya Juruselamat, kerana hanya Kristus yang layak untuk menyelamatkan. Itulah kisahnya—benar, indah, dan baik. Bagaimana anda akan menikmatinya dan menghayatinya?

1. Douglas Murray, introduction to The Madness of Crowds: Gender, Race, and Identity (London: Bloomsbury Continuum, 2019), 1.

2. Martin Luther, “Preface to the Complete Edition of Luther’s Latin Writings,” in Martin Luther: Selections from His Writings, ed. John Dillenberger (New York: Anchor, 1962), 11.

3. C. S. Lewis, “The Weight of Glory,” in The Weight of Glory: And Other Addresses (1949; repr., New York: HarperOne, 2001), 26. Paraphrased.

4. Augustus Toplady, “Rock of Ages, Cleft for Me” (1776).

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Grace, Faith, Jesus" oleh Alistair Begg.

返回博客