Lima Sebab Mengapa Kita Menderita

Mengapa Tuhan mencipta dunia di mana penderitaan wujud?

Soalan ini bukan hanya ditanyakan oleh ahli falsafah atau mereka yang meragui kebaikan Tuhan, tetapi seluruh lapisan manusia.

Perhatikan di sekeliling kita: semua orang menderita, dan setiap orang cuba memberi penjelasan mengapa hal tersebut berlaku. Ada yang mengatakan bahawa kesakitan hanyalah suatu ilusi. Ada pula yang menolak Tuhan, mendakwa bahawa penderitaan membuktikan Dia tidak wujud. Yang lain cuba menafsirkan semula siapa Tuhan itu, seolah-olah penderitaan membuktikan keterbatasan-Nya. Namun setiap penjelasan seperti ini, dengan caranya sendiri, tetap tidak memadai mahupun lengkap.

Syukurlah, Alkitab tidak meninggalkan kita tanpa jawapan. Berikut adalah lima sebab yang Alkitab berikan tentang mengapa kita menderita.

1. Penderitaan adalah sebahagian daripada menjadi manusia.

Dunia kita ini tidak sempurna. Kesan dosa membawa kepada penderitaan yang tidak dapat dielakkan. Kita terluka. Kita jatuh sakit. Kita mati.

Oleh itu, tidak semua penderitaan membawa makna kosmik di sebaliknya. Kita tidak perlu berfikir, “Saya pening kepala hari ini, apakah makna kekal di sebaliknya?” Kadang-kadang ia hanya realiti hidup di dunia yang dicemari bdosa ini. Jika kita terpijak cangkul dan ia melantun mengenai kepala kita, kita tidak perlu bertanya apakah pengajaran rohani Tuhan sedang ajarkan. Kita hanya perlu lebih berhati-hati lain kali!

Orang benar dan orang yang tidak benar sama-sama melihat matahari terbit dan terbenam. Mereka sama-sama merasai hujan. Dengan cara yang sama, mereka sama-sama mengalami penderitaan sebagai akibat kejatuhan manusia ke dalam dosa.

2. Tuhan memakai penderitaan untuk memperbetulkan kita.

Mazmur 119: 67 menurut terjemahan AVB menyatakan, “Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.” Apabila semuanya kelihatan berjalan lancar, kita mudah tersasar. Pada waktu seperti itu, kita sering memerlukan tekanan atau teguran Tuhan untuk membawa kita kembali kepada ketaatan.

Kitab Ibrani juga menggambarkan Tuhan sebagai seorang Bapa yang mengasihi, yang mendisiplin anak-anak-Nya supaya mereka kembali kepada jalan benar.1 Ada di antara pengalaman yang sakit dan menderita kita sebenarnya merupakan rancangan Tuhan yang indah dan penuh kasih untuk membawa kita kembali pada-Nya.Sepedih-pedihnya kesakitan dan rasa kekosongan yang menyertainya, menjadi berkat apabila kita percaya bahawa Tuhan menggunakannya untuk membetulkan pemikiran, sikap, dan tindakan kita.

3. Tuhan menggunakan penderitaan untuk membentuk kita.

Dalam Roma 5:3-4 berdasarkan terjemahan AVB, Paulus menulis; “Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan.”

Bagaimana seseorang menjadi penuh pengharapan? Bagaimana nenek-nenek kita memiliki pandangan mata yang begitu lembut? Bagaimana rakan-rakan kita belajar berempati terhadap kesakitan, patah hati, dan kegagalan orang lain? Bagaimana seseorang menjadi seperti itu? Seringkali, Tuhan yang membentuk karakter melalui penderitaan.

Ramai tokoh rohani yang kita kagumi pada hari ini tidak membesar menjadi seperti siapa mereka tanpa ujian hidup yang Tuhan pakai, bukan untuk menghukum, bukan juga semata-mata untuk membetulkan, tetapi untuk membentuk mereka.

4. Tuhan memakai penderitaan untuk kemuliaan-Nya.

Kehidupan Yusuf mungkin memberi gambaran paling jelas tentang kebenaran ini. Sejak zaman remajanya sehingga menjadi pemimpin di Mesir, kita melihat dia mengalami kecemburuan, pengkhianatan, diperjual, difitnah, dan dipenjarakan. Namun di penghujung hidupnya, dia mampu berkata kepada saudara-saudaranya yang dulu mengkhianatinya, “Memang dahulu kamu berniat melakukan kejahatan terhadapku, tetapi Allah memaksudkan perbuatan kamu untuk tujuan yang baik sehingga wujud apa yang terjadi sehingga hari ini, iaitu dengan terpeliharanya kelangsungan hidup ramai manusia.” (Kejadian‬ 50‬:20‬ AVB)‬‬‬‬‬

Yusuf belajar melihat pemeliharaan Tuhan sekalipun melalui niat jahat manusia. Melalui ketidakadilan dan dikurung untuk bertahun-tahun dalam penjara, dia menyedari kebenaran yang kelak diungkapkan oleh Paulus: “Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya.” (Roma‬ 8‬:28‬ AVB)‬‬‬‬‬

Apabila kita sendiri menghadapi penderitaan, tidak ada yang lebih menguatkan selain kesedaran semula doktrin pemeliharaan Tuhan, di mana Tuhan berdaulat, hadir, dan campur tangan dalam segala sesuatu untuk kebaikan kita dan kemuliaan-Nya.

5. Tujuan penderitaan boleh bersifat kosmik.

Kisah Ayub merupakan contoh paling mendalam bagi prinsip ini. Penderitaannya yang besar menjadi bukti di hadapan iblis dan para malaikat bahawa seseorang boleh mengasihi dan mempercayai Tuhan kerana siapa Dia, bukan hanya kerana berkat yang diterimanya.

Dengan cara yang sama, kadang-kadang Tuhan mengizinkan kehidupan kita ditandai oleh penderitaan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kasih kurnia, belas kasihan, dan kekuatan-Nya cukup bagi umat-Nya. Bahkan dalam penderitaan, kita belajar mempercayai Dia dengan lebih dalam.

Kita memiliki teologi penderitaan yang sangat lemah pada abad kedua puluh satu ini. Ramai “pengkhutbah selebriti” menekankan bahawa agama Kristian hanyalah tentang kesihatan, kekayaan, dan kejayaan. Namun hakikatnya, walaupun kita mungkin menikmati berkat melalui ketaatan, kita tidak dapat memanipulasi Tuhan yang berdaulat. Tuhan yang memberkati kita dengan matahari terbenam yang indah hari ini juga boleh mengizinkan kesedihan esok hari.

Persoalannya ialah, adakah kita bersedia mempercayai-Nya? Adakah kita akan tetap memuliakan-Nya? Adakah kita akan merendahkan diri di hadapan-Nya sebagai Bapa yang mengasihi kita?

1 Rujuk Ibrani 2:5-11.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Five Reasons Why We Suffer" oleh Alistair Begg.

返回博客