Teologi Ringkas Tentang Perkahwinan

H. Norman Wright, seorang kaunselor perkahwinan dan keluarga bertauliah, pernah menceritakan satu situasi yang dibawa kepadanya oleh seorang lelaki semasa dalam pelayanannya:

“Seorang wanita baru datang bekerja di pejabat kami. Kami mula berkenalan dan bercakap setiap hari sambil minum kopi. Lama-kelamaan, dia mula berkongsi masalah dalam perkahwinannya, dan kami mendapati bahawa kami berdua sedang menjauh daripada pasangan kami masing-masing. Malah, kami mendapati bahawa komunikasi antara kami lebih baik berbanding dengan pasangan sendiri. Kami mencari alasan untuk bersama—kami berkongsi minat dan hobi yang serupa. Saya tidak mempunyai niat tersembunyi—tiada rancangan jahat tetapi saya menikmati masa bersama sebagai rakan.

Kami berjumpa setiap hari untuk beberapa ketika dan sekali seminggu kami akan makan tengah hari bersama-sama. Lama-kelamaan, saya mula membandingkan Elaine dengan isteri saya. Saya melihat banyak kebaikan dalam diri Elaine. Semakin saya membandingkan, semakin banyak kekurangan yang saya nampak pada isteri saya. Kemudian suatu hari, saya tersedar: Saya telah jatuh cinta dengan wanita lain. Saya! Tidak! Saya seorang lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Saya pengerusi lembaga gereja kami. Perkara ini berlaku pada orang lain—kenapa saya! Mengapakah saya telah membiarkan diri saya terjebak dalam kekusutan ini? Saya berasa keliru. Kerja saya terjejas—hubungan saya terjejas. Saya cuba menghentikan penglibatan saya. Ada minggu saya jarang berjumpa dengan Elaine. Ada minggu saya berjumpa dengannya setiap hari. Saya terpaksa!

Minggu lalu, ia berlaku. Kami melakukan hubungan intim. Saya rasa begitu hancur sekarang! Apa yang harus saya lakukan? 1

Kisah seperti ini menunjukkan betapa pentingnya kewaspadaan dalam membina perkahwinan yang kukuh. Apabila perkahwinan retak, hakikatnya ia biasanya bukan disebabkan oleh suatu peristiwa ganjil yang melanda pasangan itu seperti dibaling sesuatu yang berat secara tiba-tiba. Itu mungkin berlaku, tetapi dalam kebanyakan kes, apabila “bumbung runtuh” dalam perkahwinan, ia berlaku kerana pasangan gagal menangani kebocoran perlahan-lahan yang berlaku di “loteng” rumah tangga mereka.

Adalah mustahak kita menghadapi isu perkahwinan dengan realistik, sambil memupuk hubungan dengan pasangan mengikut cara yang maksudkan oleh Tuhan. Salah satu cara terbaik untuk melakukannya ialah memastikan kita memahami asas teologi perkahwinan dengan kukuh. Tanpa mengira status perkahwinan seseorang, umat Tuhan tidak boleh mengabaikan hikmat-Nya mengenai perkara ini.

Perkahwinan Adalah Rancangan Tuhan

Pada mulanya, Tuhan menentukan bahawa perkahwinan harus menjadi sebahagian daripada reka bentuk-Nya. Perkahwinan berasal daripada Tuhan. Dalam budaya yang sarat dengan kekeliruan mengenai perkahwinan, kebenaran ini perlu dinyatakan dengan jelas. Manusia tidak mencipta perkahwinan; jika sebaliknya, maka perkahwinan boleh diubah sesuka hati, dibatalkan semata-mata untuk keselesaan salah seorang atau kedua-dua pasangan. Hanya apabila kita merujuk pada firman Tuhan dan mentakrifkan perkahwinan mengikut piawaian-Nya, kita dapat mula memahami maksud sebenar menunaikan tujuan perkahwinan.

Apabila “bumbung runtuh” dalam perkahwinan, ia berlaku kerana pasangan gagal menangani kebocoran perlahan-lahan yang berlaku di “loteng” rumah tangga mereka.

Jika anda pernah menghadiri upacara perkahwinan Kristian, anda mungkin pernah mendengar pastor memulakan majlis dengan kata-kata seperti: “Kita berkumpul di sini di hadapan Tuhan dan jemaah untuk menyaksikan penyatuan lelaki dan wanita ini dalam perkahwinan.” Ini merupakan usaha pastor untuk mengiktirafkan asal-usul perkahwinan daripada Tuhan. Ia merupakan hubungan unik yang ditetapkan oleh Tuhan dan diberikan kepada manusia sebagai anugerah.

Kita menemui rancangan Tuhan mengenai perkahwinan dalam halaman-halaman awal Alkitab. Dalam Kejadian 2, setelah menciptakan Adam, Tuhan berkata, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya” (ayat 18). Kemudian Dia menciptakan seorang wanita, Hawa, sebagai pelengkap dan pasangan manusia bagi Adam. Sejak permulaan Alkitab, jelas bahawa lelaki dan wanita diciptakan untuk menjadi makhluk sosial dan seksual dalam konteks perkahwinan (ayat 21-25).

Perkahwinan Adalah Satu Perjanjian

Berdasarkan Kejadian 2, Yesus menegaskan semula reka bentuk Tuhan bagi perkahwinan dalam Perjanjian Baru. Dia memandang perkahwinan sebagai hubungan eksklusif antara seorang lelaki dan seorang wanita yang memasuki perjanjian seumur hidup (Matius 19:3-9).

Apabila kita mengatakan bahawa perkahwinan adalah perjanjian, ia bermakna ia bukan sekadar kontrak. Kontrak boleh dibatalkan oleh syarat tertentu atau mengikut kehendak salah satu pihak, perjanjian berbeza secara radikal. Perjanjian disertai dengan komitmen dan kesetiaan yang tidak bersyarat.

Perkahwinan adalah hubungan eksklusif antara seorang lelaki dan seorang wanita yang diikat oleh perjanjian seumur hidup.

Kita mempunyai perjanjian terdahulu daripada Tuhan sendiri, yang sering memulakan hubungan perjanjian dengan umat-Nya dalam Alkitab. Misalnya, dalam Kejadian 15, Tuhan membuat perjanjian dengan Abraham, dengan keseriusan perjanjian itu digambarkan melalui kematian dan kegelapan (ayat 12-21). Ini menunjukkan sifat perjanjian: ia harus dilaksanakan dengan serius, bukan secara ringan, dengan satu kesedaran akan akibat yang serius sekiranya perjanjian itu dilanggar.

Apabila kita memikirkan asal-usul perkahwinan menurut Tuhan, kita harus melihatnya sebagai perjanjian. Jay Adams, kaunselor alkitabiah yang sudah meninggal dunia, menjelaskan lebih lanjut tentang perjanjian yang ditetapkan oleh Tuhan ini:

Perkahwinan melibatkan persetujuan perjanjian untuk memenuhi semua keperluan pasangan anda untuk teman hidup (dalam semua aspek: seksual, sosial, rohani, dan lain-lain) sepanjang hayat anda. Ia adalah satu tindakan terakhir. Orang Kristian, tidak seperti dengan yang bukan Kristian hari ini memilih perkahwinan percubaan, kontrak perkahwinan tahunan yang boleh diperbaharui, dan seumpamanya, tidak perlu hidup setiap hari di bawah ancaman perceraian. Sifat perjanjian Ilahi ini memastikan bahawa perceraian bukanlah pilihan. 2

Dalam perkahwinan, seorang lelaki dan seorang wanita disatukan dengan cara yang tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana hubungan manusia yang lain. Ia benar-benar unik. Ia adalah ikatan yang tidak boleh ditinggalkan sesuka hati—komitmen yang melibatkan dimensi undang-undang, fizikal, emosi, dan rohani.

Malangnya, ramai orang Kristian menerima sesuatu yang kurang daripada maksud ilahi Tuhan terhadap perkahwinan. Satu kajian pada akhir abad ke-20 mendedahkan bahawa sehingga dua pertiga orang Kristian yang ditemu bual melihat perceraian sebagai “penyelesaian yang wajar bagi perkahwinan bermasalah.” 3 Hari ini, kita boleh menganggap angka itu telah meningkat. Walaupun kita boleh menjangka padangan sedemikian dalam kalangan bukan orang Kristian, ia menjadi sesuatu yang merosakkan apabila budaya sekular ini mula meresap ke dalam gereja. Tiada cara untuk mengelaknya: garam sedang kehilangan rasanya (Mat. 5:13).

Dalam perkahwinan, seorang lelaki dan seorang wanita disatukan dengan cara yang tidak dapat dibandingkan dengan hubungan antara manusia yang lain.

Sebagai perbandingan dengan mentaliti ini, kita harus menetapkan dalam fikiran bahawa perceraian bukanlah pilihan. Perkahwinan bukanlah suatu urusan perniagaan yang kita boleh sesuka hati menarik diri jika perkara tidak berjalan seperti yang dirancang. Ia adalah perjanjian. Dan sejak permulaan, perceraian bukanlah sebahagian daripada rancangan Tuhan (lihat Matius 19:8).

Namun, kita tahu bahawa perceraian wujud dalam dunia yang telah jatuh ini. Adakah Alkitab membenarkan perkara ini? Perhatikan nasihat pastor berikut:

Tuhan membenci perceraian (Maleakhi 2:16). … Apabila berada dalam posisi untuk mempengaruhi keputusan seseorang, kita tidak seharusnya cepat menasihati orang itu ke arah perceraian. Hanya apabila semua cara untuk berdamai telah dicuba, barulah kita boleh merujuk kepada pengecualian yang disediakan oleh Alkitab.

Dalam banyak kes orang bercerai dan berkahwin semula dengan mudah, menurut pandangan alkitabiah adalah perkahwinan yang baru itu sebenarnya dianggap sebagai perzinaan. Pengecualian adalah bagi mereka yang bercerai kerana pasangan mereka tidak setia dalam perkahwinan atau, seperti yang ditunjukkan oleh Paulus dalam 1 Korintus 7, kerana pasangan yang tidak beriman telah meninggalkan perkahwinan itu. 4

Selain pengecualian tersebut, perkahwinan adalah komitmen mutlak dan tanpa syarat terhadap mandat ilahi Tuhan: seorang lelaki, seorang wanita, “sehingga kematian memisahkan kita.”

Perkahwinan adalah Komitmen

Memegang teguh perjanjian perkahwinan memerlukan komitmen yang serius antara satu sama lain. Apabila seorang lelaki dan seorang wanita berada di altar pada hari perkahwinan mereka, mereka berikrar untuk saling mengasihi dan menghargai. Ikrar ini bukan bergantung pada perasaan; ia berkaitan dengan tindakan yang lahir daripada kehendak sedar. Malah, komitmen bersama itu menuntut tiada yang kurang daripada itu.

Menariknya, cinta romantik tidak pernah dijadikan asas perkahwinan dalam Alkitab. Apabila perkahwinan berasaskan gelora emosi dan tarikan fizikal, ia mudah terdedah kepada risiko kehancuran apabila perasaan itu pudar. Sebaliknya, apabila perkahwinan berasaskan persahabatan, teman hidup, dan kesedaran akan perjanjian yang kekal, peluang untuk membina perkahwinan yang kukuh meningkat dengan ketara. Ikrar untuk mengasihi pasangan bukan mengenai cinta romantik, tetapi mengenai komitmen serius berdasarkan perjanjian kepada pasangan itu.

Ikrar perkahwinan bukan mengenai perasaan; ia mengenai tindakan yang lahir daripada kehendak sedar.

Oleh itu, pentingnya peranan ikrar dalam perkahwinan. Ikrar ini merumuskan komitmen yang terlibat, menyediakan tembok pelindung yang diperlukan apabila angin dan ombak melanda rumah tangga. Setiap hari, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab berterusan untuk hidup setia pada ikrar mereka. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak berikrar daripada membuat ikrar tetapi gagal menunaikannya (Pengkhutbah 5:5).

Satu Soalan untuk Setiap Perkahwinan

Sebelum pasangan memasuki perjanjian perkahwinan, kebanyakan pastor akan menanyakan satu soalan tentang tujuan. Soalan ini dirancang supaya direnungkan dengan teliti, agar mereka tidak memasuki perjanjian itu dengan kejahilan. Sama ada pasangan itu baru atau sudah lama berkahwin, orang Kristian sebaiknya meneliti perkahwinan mereka dengan tujuan untuk menghormati Kristus dan pasangan masing-masing.

Soalan berbunyi demikian: “Adakah anda akan mengasihi, menghormati, dan menjaga pasangan anda?”

Adalah penting untuk kita memahami maksud “mengasihi” dalam konteks ini. Jika kita melihat kasih mengikut budaya pop—sebagai “emosi sekunder,” seperti yang pernah disebut Tina Turner—maka kita akan sentiasa ingin menyerah kalah. Namun, jika kita memahami kasih menurut Alkitab, yang dinyatakan melalui tindakan yang menunaikan ikrar, kita akan dibebaskan daripada naik turun emosi yang membelenggu begitu banyak hubungan.

Cinta romantik tidak pernah dijadikan asas perkahwinan dalam Alkitab.

Ramai pasangan, apabila ditanya sama ada mereka akan saling mengasihi, terkejut. Mereka menjawab, “Kamu berguraukah? Sudah tentu! Mengapa saya tidak akan mengasihi orang ini?” Mereka tidak dapat membayangkan bahawa kasih mereka terhadap pasangan akan menjadi dingin. Namun, kasih yang dimaksudkan oleh pastor disertai dengan penghormatan dan penjagaan. Di sinilah idealisme bertemu dengan realisme. Bagi seorang suami, menghormati isteri bermaksud meletakkan isteri sebagai keutamaan, mempertimbangkan kepentingannya sebelum kepentingan sendiri, dan merasakan kegembiraan terbesar apabila melihat isterinya bahagia dalam perkahwinan, mencapai segala rancangan yang disediakan oleh Tuhan baginya. Bagi seorang isteri pula, ia bermaksud mengutama dan menumpukan perhatian kepada suami (tetapi dalam ketaatan kepada Tuhan) dalam semua yang dilakukannya.

Apabila seorang lelaki dan wanita komited untuk saling menghormati dengan cara ini, ia menyelamatkan mereka daripada pemikiran moden “menjadi diri sendiri.” Sebaliknya, ia membebaskan mereka untuk menemui dimensi mulia dalam “berdua menjadi satu” (Matius 19:5).

Rancangan Tuhan bagi perkahwinan adalah perjanjian seorang lelaki dan seorang wanita—tiada yang lain. Dalam Alkitab, kita diberikan corak perkahwinan yang begitu radikal dalam implikasinya sehingga ia menjadi salah satu gambaran terbesar Injil bagi dunia yang menyaksikan. Dengan tunduk pada rancangan bijak Tuhan, suami dan isteri dapat berjalan bersama dalam perkahwinan—melalui susah dan senang, jatuh dan bangun, kegagalan dan kejayaan.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Marriage: A Covenant, Not a Contract" oleh Alistair Begg.

1.  H. Norman Wright, Seasons of a Marriage (Ventura, CA: Regal, 1982), 121–22.

2. Jay E. Adams, Solving Marriage Problems: Biblical Solutions for Christian Counselors (Grand Rapids: Zondervan, 1983), 24.

3. George Barna and William Paul Mackay, Vital Signs: Emerging Social Trends and the Future of American Christianity (Westchester, IL: Crossway, 1984), 13.

4. Alistair Begg, Lasting Love: How to Avoid Marital Failure (Chicago: Moody, 1997), 89–90.

返回博客