4 Kunci yang Tidak Dijangka untuk Penyampaian Khutbah yang Berkesan

Tidaklah luar biasa bagi para pengkhutbah untuk berangan-angan tentang kejayaan dalam pelayanan pastoral. Setiap pastor ingin membawa perubahan dalam kerajaan Tuhan, dan adalah mudah bagi mereka membayangkan situasi pelayanan yang sempurna, yang membolehkan mereka benar-benar dipakai oleh-Nya. Benar, sangat mudah bagi sesiapa sahaja—sama ada pastor atau bukan—untuk berfikir bahawa wujudnya tempat kerja yang “sempurna”. Kita berfikir bahawa jika kita dapat berada di tempat itu, barulah kita benar-benar boleh melayani Tuhan dengan sebaik mungkin.

Satu Contoh yang Luar Biasa

Dalam Injil, Yohanes Pembaptis digambarkan sebagai seorang pengkhutbah luar biasa yang mengalami kejayaan luar biasa. Popularitinya sangat tinggi. Dalam Lukas 3:7 kita diberitahu, “orang ramai yang berkerumun untuk dibaptis olehnya,” dan dalam Matius 3:5 kita membaca bahawa “Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan” keluar untuk menemuinya. (Markus menyatakan perkara yang sama; lihat Markus 1:5.) Yohanes bukan sedang berkhutbah kepada segelintir penonton yang sekadar ingin tahu. Bukannya seorang atau dua orang berkata, “mungkin kita patut pergi dengar apa yang dikatakan oleh pengkhutbah baru ini.” Tidak, seluruh kawasan pedalaman datang berpusu-pusu untuk mendengarnya!

Gambaran ini sangat sesuai dengan apa yang diharapkan oleh kebanyakan pastor dalam pelayanan khutbah mereka. Namun dalam banyak cara, kaedah Yohanes sama sekali tidak seperti apa yang sering ditawarkan hari ini sebagai kunci untuk membina pelayanan khutbah yang berjaya dan kehadiran yang ramai. Dia bukan berada di kawasan pinggir bandar yang indah dengan banyak tempat letak kereta, yang boleh dilihat dari lebuh raya, dan mudah diakses. Dia juga bukan berada di lokasi yang strategik. Tidak, dia melayani di padang gurun Yordan, suatu tempat yang digambarkan oleh pengulas Alkitab R. C. H. Lenski sebagai “sebuah kawasan panas, tidak berpenghuni, belum dimajukan, dan jauh daripada segala bentuk peradaban.”1

Anda mungkin berasa bahawa konteks pelayanan anda kelihatan miskin, tetapi mungkin tidak setanding dengan keadaan Yohanes Pembaptis. Hanya sedikit yang pernah menghadapi situasi sebegitu. Ini menjadi peringatan bahawa sebenarnya tiada tempat yang sempurna untuk melayani Tuhan kecuali tempat yang ditetapkan oleh Tuhan untuk kita! Kita perlu meninggalkan idea untuk melayani di tempat atau jemaah yang sempurna. Tiada tempat atau jemaah seperti itu. Yang wujud hanyalah yang sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk kita. 

“Tiada tempat yang sempurna untuk melayani Tuhan kecuali
tempat yang ditetapkan oleh Tuhan untuk kita!”

Yohanes Pembaptis bukan sahaja memilih tempat yang menarik untuk berkhutbah, tetapi dia juga mempunyai makanan dan pakaian yang aneh. Kita diberitahu bahawa pakaiannya adalah “diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit,” dan “makanannya belalang dan madu gurun” (Matius 3:4). Dia tidak kelihatan dan bertindak seperti yang kebanyakan kita jangkakan daripada seorang pengkhutbah yang berjaya. Sudah tentu, dia tidak akan kelihatan memakai blazer biru tua dengan tali leher berbelang. Tidak, dia adalah seorang individu yang aneh. Dia menonjol—dan tidak semestinya dengan cara yang menarik!

Jadi, bagaimanakah kita menjelaskan populariti seorang lelaki yang aneh di tempat yang aneh ini? Dan apakah sebenarnya yang menjadikan khutbahnya begitu berkesan?

1. Kewibawaan Ilahi

Pengaruh Yohanes Pembaptis sebagai pengkhutbah tidak dapat dijelaskan oleh pakaian yang dipakainya atau tempat pelayanannya. Khutbahnya memberi kesan kerana mesejnya. Dalam Lukas 3:2 kita membaca bahawa “firman Allah datang kepada Yohanes anak Zakharia.” Dia yang menggambarkan dirinya sebagai “satu suara yang berseru di gurun” (Yohanes 1:23, penekanan ditambah) terima firman itu, yang seterusnya memberikan makna dan tujuan kepada suara itu sendiri.

Apakah yang memberi makna kepada suara anda sebagai seorang pengkhutbah? Ia berlaku apabila firman Tuhan telah datang kepada anda. Ia berlaku apabila anda menjadi saluran bagi mesej-Nya. Yohanes Pembaptis tidak akan disebut dalam sejarah Alkitab sekiranya bukan kerana firman Tuhan datang kepadanya. Dan apabila firman itu datang kepadanya, barulah dia pergi menyampaikan firman itu.

Salah satu sebab mengapa banyak khutbah tidak berkesan ialah kerana sesetengah individu seolah-olah pergi berkhutbah tanpa benar-benar menerima firman seperti Yohanes—tanpa pernah merasakan panggilan atau merasakan firman Tuhan disampaikan secara berkesan melalui diri mereka kepada orang lain. Kita semua boleh berkata sesuatu, tetapi terdapat perbezaan yang amat besar antara sekadar berkata sesuatu dengan benar-benar mempunyai sesuatu untuk disampaikan.

Yesus berkata tentang Yohanes Pembaptis, “Tentang orang itulah telah tersurat...” (Matius 11:10). Dengan kata lain, “Jika kamu tertanya-tanya siapakah dia, kembalilah dan bacalah Perjanjian Lama, dan kamu akan membaca bahawa ada seorang yang ditetapkan untuk “Sediakanlah jalan untuk TUHAN” (Yesaya 40:3). Jika kamu tertanya-tanya siapakah dia, bacalah Alkitabmu, dan kamu akan mendapati bahawa dia memiliki kewibawaan ilahi.” 

Apabila pemimpin agama pada masa itu akhirnya datang ke padang gurun untuk mendengar Yohanes berkhutbah, dia bangun dan mencabar mereka: “Kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak?” (Matius 3:7). Secara jujurnya, dia tidak mempunyai asas untuk mengatakan perkara sedemikian kecuali melalui kewibawaan ilahi. Dia adalah hamba Tuhan, berada di tempat Tuhan, dengan firman Tuhan. Itulah satu-satunya asas bagi kewibawaan anda sebagai pengkhutbah. Sebarang usaha untuk mencipta kewibawaan melalui personaliti, konteks pelayanan, atau perkara lain pasti akan hancur menjadi debu.  

2. Integriti Peribadi

Dalam Kisah Para Rasul 20:28–30, Rasul Paulus menasihati para tua-tua di Efesus bahawa akan muncul guru-guru yang menarik jemaah untuk mengikuti mereka sendiri; mereka akan cuba menjadikan jemaah sebagai pengikut mereka. Adakah Yohanes Pembaptis melakukan perkara ini? Tidak—tetapi pengikutnya pernah tergoda dengan pemikiran ini! Mereka menyedari bahawa orang ramai datang kepada Yesus, dan mereka mula cemburu (Yohanes 3:25–26). Namun, Yohanes menjawab dengan berkata, “Dia semakin utama dan aku semakin kecil” (Yohanes 3:30). Dengan kata lain, “Ini bukan tentang aku; ini tentang Dia!” Mungkin sebab ramai di antara kita kurang berkesan daripada yang sepatutnya adalah kerana terlalu banyak yang kita lakukan berkisar tentang “aku” dan terlalu sedikit yang berkisar tentang Tuhan.

Mungkin sebab ramai di antara kita kurang berkesan daripada yang sepatutnya
adalah kerana terlalu banyak yang kita lakukan berkisar
tentang “aku” dan terlalu sedikit yang berkisar tentang Tuhan.

Kita juga dapat melihat integriti Yohanes Pembaptis dalam kesediaannya untuk menegur dosa sebagaimana ia sebenarnya. Dalam Markus 6:17–18, Yohanes bersikap terus terang ketika berdepan dengan Herodes: Herodes telah memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat, dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya. Yohanes pernah menegur perbuatan Herodes itu, “Mengambil isteri saudaramu sebagai isterimu adalah haram.” Jelas tiada kemungkinan bagi Yohanes untuk memiliki sebuah gereja besar yang selesa berhampiran istana! Dia bukanlah ingin menjadi paderi bagi kumpulan terdekat Herodes, tetapi dia harus berkata apa yang perlu dikatakannya. Dia tidak peduli tentang pengiktirafan manusia, termasuk mereka yang paling berkuasa dan berpengaruh pada zamannya. Dia komited kepada kebenaran Tuhan. Inilah gambaran sebenar seorang yang mempunyai integriti peribadi.

3. Kerendahan Hati Sejati

Yohanes Pembaptis juga seorang yang tidak menonjolkan diri sendiri. Anda tidak boleh mengatakan bahawa dia seorang pengecut; sebaliknya, dia sangat berani. Tetapi dia tidak berkhutbah untuk membesar-besarkan dirinya sendiri, dan dia tidak cuba mengumpul pengikut peribadi. “Tetapi,” anda mungkin berkata, “dia memang ada pengikut peribadi.” Ya, memang ada—kerana Tuhan memilih untuk menggunakan dia sebagai pengkhutbah yang berkesan. Dia adalah hamba Tuhan dengan firman Tuhan pada zamannya. Oleh itu, dia bangkit dan menjalankan pelayanannya dengan keberanian yang bersifat ilahi, integriti yang sejati, dan kerendahan hati yang nyata.

Kerendahan hati yang tidak mementingkan diri sendiri adalah salah satu
kunci untuk pelayanan khutbah yang berkesan.

Saya rasa jika kita berada di sekitar Yohanes Pembaptis, kita hampir dapat merasai kerendahan hatinya. Kita membaca tentang seorang lelaki yang apabila membina pengikut yang ramai, mengarahkan murid-muridnya kepada Tuhan Yesus. Yohanes memahami peranannya: mempersiapkan jalan dan kemudian menyerahkan laluan itu kepada Yesus (atau: tidak menjadi penghalang bagi jalan itu). Kerendahan hati yang tidak mementingkan diri sendiri adalah salah satu kunci untuk pelayanan khutbah yang berkesan.

4. Kesederhanaan yang Membantu

Akhirnya, mesej Yohanes sangat jelas dan mudah difahami. Tiada sesiapa yang ragu-ragu apabila mendengar khutbahnya, kerana kata-katanya sangat mudah dan jelas. Bahkan ketika dia menegur dosa dalam kehidupan Herodes, dia tidak mempersulit mesejnya dengan kata-kata yang sukar difahami atau mengelak daripada isu sebenar. Dia tidak memberinya esei atau kritikan panjang mengenai analisis psikologi tentang kesan penyelewengan perkahwinan terhadap mental seorang raja. Sebaliknya, dia bercakap dengan terus dan jelas, menentang dosa dan menyeru orang untuk bertaubat.

Billy Graham ialah seorang anak petani dengan hanya satu ijazah teologi, tetapi dia berkhutbah tentang Injil kepada orang ramai di seluruh dunia. Tuhan bekerja melalui dirinya kerana dia ialah seorang lelaki yang memahami kewibawaan Alkitab dan sentiasa kembali kepada ungkapan “Alkitab berkata…” Penyampaiannya mudah dan jelas.

Semoga doa kita adalah agar Tuhan membantu kita meneladani pelayanan individu-individu seperti Yohanes Pembaptis. Lokasi, makanan, dan pakaiannya mungkin luar biasa, tetapi yang paling banyak dapat kita pelajari ialah daripada kewibawaan, integriti, kerendahan hati, dan kesederhanaannya.

Wahai pastor, jerih lelah anda dalam Tuhan tidaklah sia-sia. Tuhan kita menggunakan orang-orang yang aneh di tempat-tempat yang aneh untuk melakukan perkara-perkara yang luar biasa. Ikut jejak langkah seseorang seperti Yohanes Pembaptis, dan anda pasti akan dianggap berjaya oleh satu-satunya yang penting: Dia yang sendiri telah diumumkan oleh Yohanes sebagai “Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!” (Yohanes 1:29).

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “The Preacher: John the Baptist” oleh Alistair Begg.

1. R. C. H. Lenski, The Interpretation of St. Luke’s Gospel: 1–11, Commentary on the New Testament (1946; repr., Minneapolis: Augsburg Fortress, 2008), 176.

返回博客