Daripada semua pilihan hidup yang akan kita hadapi di dunia ini, keputusan sama ada untuk berkahwin atau tidak, dan dengan siapa kita akan berkahwin adalah antara yang paling penting. Jika kita benar-benar ingin menjadi terang di dunia yang gelap ini, dan mencerminkan Kristus dalam setiap aspek kehidupan, bolehkah kita mengatakan bahawa salah satu caranya ialah dengan menerima dan menghargai kehidupan sebagai orang bujang? Untuk menjawab soalan ini dengan tepat, kita perlu memberi perhatian yang teliti terhadap ajaran Alkitab tentang keadaan hidup membujang.
Tidak dapat dinafikan, topik ini sangat relevan dan bagi ramai orang, sarat dengan emosi serta menyentuh hal peribadi yang mendalam. Oleh itu, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan secara umum seolah-olah jawapan kepada persoalan tentang perkahwinan dan kehidupan bujang adalah sama untuk semua orang. Namun begitu, apabila kecenderungan ramai orang ialah menganggap perkahwinan sebagai “pilihan semula jadi” bagi kehidupan orang Kristian, adalah bijak untuk kita meneliti hujah mengejutkan yang dikemukakan oleh Alkitab tentang seseorang memilih untuk tidak berkahwin supaya perhatiannya dapat tertumpu pada “hal-hal Tuhan” dan bukan kepada “hal-hal duniawi” (1 Korintus 7:34).
Kedudukan Yang Tepat Bagi Keluarga
Apabila Paulus membincangkan tentang kehidupan bujang dalam 1 Korintus 7, dia meletakkannya dalam rangka yang jauh lebih besar daripada sekadar pemenuhan hubungan seseorang. Kebenaran kekal mengawal responsnya terhadap hal-hal praktikal. “Dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap,” katanya (ayat 31)—dan oleh itu, segala keterikatan kita kepada dunia mesti ringan. Kita harus terlibat dalam dunia, tetapi tidak hanyut di dalamnya. Iman Kristian yang hidup mengubah cara kita melihat semua aspek kehidupan, dari kebahagiaan sementara dan harta benda kepada kematian dan perspektif kekekalan—termasuklah persoalan sama ada seseorang patut berkahwin atau tidak.
Dalam konteks yang lebih luas, Paulus berkata: “Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri” (1 Korintus 7:29). Apakah maksudnya? Paulus jelas tidak bercanggah dengan ajarannya sebelum itu, yang menegaskan betapa pentingnya suami dan isteri berusaha memenuhi kewajipan masing-masing (ayat 3–5). Penekanannya di sini ialah: Perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, dengan segala tuntutan dan kelebihannya, tidak mengurangkan kewajipan orang percaya terhadap Tuhan dan pekerjaan-Nya. Paulus tidak mahu kita menggunakan tanggungjawab keluarga sebagai alasan untuk menjadi lalai dalam pelayanan kepada Tuhan Yesus.
Ajaran ini mencabar senarai keutamaan masa kini yang sering kita dengar dan selesa dengannya. Selalunya senarainya berbunyi begini: “Tuhan, Keluarga, Pelayanan, Pekerjaan, Masa Lapang.” Tetapi apakah maksud sebenar meletakkan Tuhan di tempat pertama? Ia kedengaran baik apabila kita bercakap tentang menjadi “berpusatkan keluarga,” sama ada sebagai individu atau gereja—sehinggalah kita sedar bahawa pusat kehidupan kita yang sebenar seharusnya adalah Tuhan sendiri, dan hanya Dia. Kita perlu memahami dan mengaplikasikan kata-kata Yesus yang secara jujur, menggoncang banyak keselesaan kita: “Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku” (Lukas 14:26).
Sudah tentu, baik Yesus mahupun Paulus tidak mengajar kita mengabaikan kewajipan keluarga. Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa perspektif kekekalan akan mengubah cara dan masa kita meluangkan waktu bersama. Seperti yang katakan oleh Calvin:
Segala perkara yang memperkayakan kehidupan sementara ini ialah kurnia yang kudus daripada Tuhan, tetapi kita merosakkannya dengan penyalahgunaan kita. Jika kita ingin tahu sebabnya, ia kerana kita sentiasa berada dalam delusi bahawa kita akan hidup selamanya di dunia ini. Akibatnya, perkara yang sepatutnya membantu kita dalam perjalanan hidup menjadi rantai yang mengikat kita. 1
Peluang Dalam Kehidupan Bujang
Kerinduan Paulus ialah melihat lelaki dan wanita menyerahkan diri sepenuhnya kepada pelayanan Tuhan tanpa gangguan—dan kehidupan bujang menyediakan peluang unik dalam hal ini. Jika anda belum berkahwin, kata Paulus, mungkin kehidupan bujang itu sendiri memberi banyak manfaat yang baik.
Bukan kerana kehidupan bujang itu jalan yang “lebih rohani,” tetapi, melihat pada kelebihannya yang pratikal, ia mungkin lebih wajar dan lebih fleksibel dalam hal-hal rohani.
Ada kesukaran tertentu dan tersendiri dalam perkahwinan, baik dalam hidup mahupun kematian; dan walaupun anak-anak membawa kegembiraan, mereka juga boleh menjadikan penderitaan (seperti penyakit berat atau kematian pasangan) lebih sakit. Seperti tulisan Bishop Lightfoot, “Seorang lelaki yang berani boleh menjadi penakut apabila memikirkan isterinya yang bakal menjadi balu dan anak-anak yang akan menjadi anak yatim.”2 Individu yang berkahwin mempunyai dua kebimbangan yang tidak dapat dielakkan: bagaimana menyenangkan pasangan serta mengurus rumah tangga, dan bagaimana menyenangkan Tuhan.
Sebaliknya, kebebasan daripada gangguan boleh menjadi kelebihan besar. Orang bujang yang bebas daripada dua kewajipan ini dapat menumpukan diri sepenuhnya pada pekerjaan Tuhan. Seorang lelaki bujang tidak perlu memikirkan masa untuk isteri dan anak-anak jika dia terbeban melayani Tuhan dalam bidang yang menuntut banyak masa pada waktu malam dan hujung minggu. Jika Tuhan memanggil seorang wanita ke medan misi di tempat yang jauh, dia dapat menyahut dengan lebih cepat kerana halangan yang lebih sedikit. Sekali lagi, bukan kerana bujang lebih rohani, tetapi kerana secara praktikal, ia lebih wajar dan lebih fleksibel dalam hal-hal rohani.
Di sini tersirat cabaran kepada para bujang untuk menemukan peranan penting yang dapat dan patut mereka mainkan dalam tujuan Tuhan. Dari perspektif syurga, mungkin pelik apabila melihat lelaki dan wanita bujang terlepas peluang melayani kerana terlalu fokus memperbaiki profil aplikasi janji temu/berpacaran atau cuba memahami mengapa Tuhan belum menjawab doa mereka tentang pasangan hidup. Sama ada keadaan itu berterusan sepanjang hayat mereka atau berubah apabila mereka berkahwin, setiap individu bujang mempunyai peluang strategik untuk “merebut peluang” dan melayani Tuhan tanpa dibebani oleh keistimewaan dan tanggungjawab perkahwinan. Walaupun kadangkala sukar untuk melihatnya, itu sebenarnya satu kurnia yang besar.
Kurnia yang Berbeza
Secara keseluruhannya, apa yang Paulus sampaikan ialah ini: Jika anda ingin hidup dalam pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Yesus Kristus, maka tidak dapat dinafikan bahawa memandangkan perkahwinan ada gangguan dan kesukaran tersendiri, anda akan lebih terbantu sekiranya Tuhan memberikan anda kurnia hidup membujang.
Bagi mereka yang sudah berkahwin atau juga akhirnya akan dipanggil Tuhan untuk berkahwin, hal ini pula membawa cabarannya yang tersendiri. Ia bermaksud kita perlu menyedari bahawa kegembiraan kekeluargaan yang Tuhan berikan disertai dengan kebimbangan dan tanggungjawab besar, yang tidak boleh diambil ringan. Kita harus berhati-hati supaya perkahwinan yang berikan oleh Tuhan tidak menjadi belenggu yang mengikat dan menghalang kita daripada berfungsi sepenuhnya dalam Kerajaan-Nya.
Sementara itu, mungkin ada antara kita yang masih enggan menerima bahawa sebab Tuhan belum mengurniakan perkahwinan yang kita dambakan adalah kerana Dia telah merancang kurnia yang lain: iaitu pengabdian yang tidak berbelah bahagi untuk pekerjaan-Nya. Jika demikian, mungkin sudah tiba masanya doa kita berubah. Mungkin sudah tiba masanya kita mengucap syukur kepada Tuhan atas kurnia itu dan mempersembahkan hidup kita kepada-Nya sekali lagi—walaupun prospeknya kelihatan sunyi, dan kita tidak pasti sama ada kita akan menikmatinya—percayalah bahawa hari demi hari, Dia yang membentuk hati kita dengan segala keinginan dan kerinduannya mampu memuaskan kita dengan cara yang tiada siapa pun mampu lakukan.
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “To Marry or Not to Marry - Part Two?" oleh Alistair Begg.
1. John Calvin, The First Epistle of Paul the Apostle to the Corinthians, trans. John W. Fraser, ed. David W. Torrance and Thomas F. Torrance, Calvin’s New Testament Commentaries (Grand Rapids: Eerdmans, 1960), 159.
2. J. B. Lightfoot, Notes on the Epistles of St Paul, Classic Commentary Library (Grand Rapids: Zondervan, 1957), 231.