Keeksklusifan Kristus dalam Budaya Pluralistik

Sudah menjadi popular sejak kebelakangan ini untuk mengatakan bahawa semua agama itu indah dan benar, masing-masing dengan caranya sendiri. Ramai orang cenderung berkata, “Saya percaya pada apa yang saya percaya, dan itu baik untuk saya. Anda percaya pada apa yang anda percaya, dan itu baik untuk anda.” Pandangan ini juga semakin mempengaruhi gereja, sehingga sesetengah orang Kristian, kerana takut dianggap fanatik atau tidak penyayang, enggan menyatakan bahawa Yesus Kristus ialah satu-satunya jalan kepada kehidupan yang sejati.

Memberitahu kebenaran menjadi sukar dalam budaya yang menolak pandangan bahawa kebenaran itu tetap, sejagat, objektif, dan mutlak. Malah, salah satu sebab sesetengah orang menentang Kristian adalah kerana tuntutan Kristian tentang kebenaran yang nyata dan eksklusif. Cabaran ini menyebabkan pentingnya bagi orang Kristian untuk memikirkan bagaimana kita boleh menyampaikan Injil dengan cara mengikut ajaran Alkitab dan relevan dalam dunia yang pluralistik. Dalam melakukannya, kita perlu bertanya pada diri sendiri: Apakah yang diajarkan oleh Alkitab? Bagaimanakah kita patut menyampaikannya kepada rakan, jiran, dan ahli keluarga? Dan apakah yang boleh kita pelajari daripada orang Kristian terdahulu yang telah menghadapi cabaran ini?

Adakah Alkitab Benar-Benar Mengajar Bahawa Keselamatan Hanya Ada Dalam Kristus?

Orang Kristian mesti menegaskan apa yang ditegaskan oleh Alkitab. Oleh itu, penting untuk kita faham apa yang diajarkan oleh Alkitab mengenai keeksklusifan Kristus.

Pertama sekali, Alkitab mengatakan dengan jelas tentang identiti Tuhan dan keadaan manusia. Alkitab mengajar dengan tegas bahawa hanya ada satu Tuhan, yang menciptakan segala sesuatu (1 Korintus 8:6; 1 Timotius 2:5), dan bahawa semua manusia memberontak terhadap-Nya (Roma 3:23) serta akan dihakimi suatu hari nanti atas kesalahan mereka (Kisah Para Rasul 17:30–31).

Namun, Alkitab juga jelas menyatakan tentang fakta bahawa terdapat satu jalan—satu-satunya jalan, hakikatnya—untuk berdamai dengan Tuhan: melalui Yesus. Dia sendiri menyatakan, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku” (Yohanes 14:6). Rasul Paulus menulis, “Hanya ada satu Allah dan hanya ada satu pengantara antara Allah dengan manusia iaitu seorang insan Kristus Yesus” (1 Timotius 2:5). Petrus juga menegaskan tentang Yesus, “Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita” (Kisah Para Rasul 4:11–12).

Pernyataan-pernyataan ini jelas, tegas, dan tanpa kompromi. Pada zaman mereka, seperti juga sekarang, ia sering dipandang sinis dan tidak disukai. Tetapi ketika para rasul yakin akan kebenaran bahawa Yesus telah bangkit dari kematian dan bahawa Dia ialah Tuhan yang menjadi manusia, implikasinya tidak dapat dielakkan: tiada Penyelamat lain, kerana tidak ada orang lain yang layak untuk menyelamatkan.

Alkitab juga mendefinisikan akhir sejarah sebagai saat Kristus akan memerintah segala sesuatu untuk selama-lamanya. Kedudukan ini tidak dapat dikongsikan dengan Krishna, Muhammad, atau sesiapa pun. Jika kita mengambil serius ajaran Alkitab, kita mesti mengakui bahawa Tuhan telah memberikan Yesus Kristus “nama yang di atas segala nama, supaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa” (Filipi 2:9–11).

Sebagai orang Kristian, kita tidak bebas untuk mempercayai apa sahaja yang kita suka. Seperti kata Augustine, “Mempercayai apa yang kamu suka, dan tidak mempercayai apa yang kamu tidak suka, adalah mempercayai diri sendiri, bukan Injil.”1 Untuk hidup sebagai orang Kristian yang percaya, kita mesti menerima hakikat bahawa nama Yesus adalah satu-satunya jalan untuk pengampunan dosa dan perdamaian dengan Tuhan. Alkitab jelas menyatakan: satu-satunya jalan adalah melalui Yesus, satu-satunya Perantara adalah Yesus, dan satu-satunya nama adalah Yesus.

Bagaimanakah Kita Perlu Menyampaikan Keeksklusifan Kristus?

Keyakinan bahawa Yesus adalah satu-satunya jalan hanyalah sebahagian daripada panggilan Tuhan kepada kita. Setelah yakin, kita juga mempunyai keistimewaan dan tanggungjawab untuk berkongsi berita baik tentang keselamatan ini dengan orang lain. Di sinilah hidup dalam budaya pluralistik boleh menjadi cabaran besar. Bagaimanakah kita boleh menyampaikan kebenaran tentang keeksklusifan Yesus kepada dunia yang sudah bertekad untuk menolaknya, sambil tetap berusaha untuk bercakap “benar dalam kasih” (Efesus 4:15)? Untuk berjaya, kita perlu memahami makna sebenar menjadi rendah hati, bertoleransi, dan relevan.

Kebenaran tentang Kerendahan Hati

Dalam konteks Barat yang tiada kebenaran mutlak tetapi hanya “kebenaran-kebenaran” (yang mengikut pandangan masing-masing), tiada prinsip tetapi hanya ada kesukaan/pilihan peribadi, mereka yang mengisytiharkan Yesus adalah satu-satunya jalan kepada perdamaian dengan Tuhan sering dianggap sombong. Penentang Injil berpendapat bahawa orang Kristian sepatutnya rendah hati, dan jika kita benar-benar rendah hati, kita tidak akan menegaskan bahawa Kristian itu betul dan yang lain salah. Tetapi seperti yang ditegaskan oleh G. K. Chesterton, pandangan ini terbalik: “Manusia sepatutnya meragui diri sendiri, tetapi tidak meragui tentang kebenaran; ini telah terbalik.”2

Maksudnya, yang pertama ialah, kebenaran bukan soal kebanggaan atau kerendahan hati; ia adalah soal fakta. Menyatakan kebenaran Injil tidak menjadikan seseorang sombong, dan berdiam diri tidak menjadikannya rendah hati. Sama ada kebenaran itu benar, atau ia bukan kebenaran. Apabila kita yakin dengan kebenaran tentang Yesus Kristus, tidak ada kesombongan dalam menyatakan ia benar, walaupun mengetepikan tuntutan yang bertentangan.

Sebaliknya, cara kita menyatakan kebenaran itu boleh menjadi sombong, bukan disebabkan oleh kebenaran yang kita sampaikan dengan tegas tetapi disebabkan oleh cara kita menyampaikannya. Ada kemungkinan kita berpegang pada kebenaran dengan cara yang sebenarnya melemahkan kebenaran itu sendiri. Menyampaikan kebenaran tentang Yesus mestilah disertai kasih, rahmat, dan kebijaksanaan. Kita tidak sepatutnya menyindir dalam kata-kata kita, dan tidak juga bersikap keras dalam penilaian kita. Sebaliknya, interaksi kita harus bercirikan nilai seperti kemurahan hati, keikhlasan, kebaikan, integriti, dan kepekaan, yang menunjukkan kerendahan hati yang sejati seperti Kristus. 

Kebenaran tentang Toleransi

Antara penyebab sesetengah orang takut untuk bercakap tentang kebenaran eksklusif Injil adalah bimbang dianggap berfikiran sempit atau tidak bertoleransi. Tetapi toleransi bukan bermaksud menerima semua pandangan sebagai kebenaran dan sah atau menafikan bahawa perbezaan itu sebenarnya penting. Sebaliknya, ia bermakna—sekurang kurangnya sebahagiannya—mengakui bahawa perbezaan, walaupun kadang-kadang menyukarkan atau menyakitkan, adalah sebahagian daripada kehidupan kita bersama di dunia ini; ia bermakna memperlakukan dengan integriti dan kerendahan hati, walaupun saya percaya bahawa pandangan mereka tidak benar.

Kita boleh berpegang pada pandangan yang bertentangan sepenuhnya dengan sesama kita dan tetap mengamalkan toleransi sejati. Intinya adalah, berbeza pendapat tidak menghalang kita untuk hidup bersama, bergaul, dan menghormati mereka. Bertoleransi bukan bermakna mengakui bahawa sesuatu yang salah sebenarnya benar; ia bermakna menunjukkan rahmat dan kebaikan kepada mereka yang kita tidak bersetuju.

Kebenaran tentang Relevan

Akhirnya, sesetengah orang Kristian mungkin wajar bimbang tentang sejauh mana mesej Kristian relevan dengan budaya kita, tetapi mereka salah faham tentang apa sebenarnya maksud ‘relevan’ itu. Mereka mungkin tergoda untuk cuba “menjadikan Injil relevan” dengan menjadikannya lebih menyerupai apa yang sudah disukai dunia, atau sekurang-kurangnya diterima oleh dunia. Tetapi masalah apabila kita mengubah Injil supaya orang lain dapat menerimanya ialah, akhirnya apa yang mereka terima itu sebenarnya bukan Injil sama sekali. Injil itu tidak perlu “dijadikan relevan.” Ia sudah relevan. Mata kita hanya perlu dibuka kepada keperluan yang besar terhadap keselamatan yang ditawarkan oleh Kristus.

Dunia kita penuh dengan keterasingan: suami terasing dari isteri, ibu bapa terasing dari anak-anak, sesama manusia terasing antara satu sama lain, kerajaan terasing dari rakyat, dan bahkan individu terasing dari diri mereka sendiri ketika menghadapi kekacauan psikologi. Semua keterasingan ini, bagaimanapun, berpunca daripada keterasingan kita dari Pencipta kita, yang berhak menghakimi kita kerana dosa kita. Di atas kayu salib, Kristus menanggung hukuman kita dan mati bagi kita. Dalam Dia terdapat pendamaian dengan Tuhan dan kedamaian di antara umat Tuhan.

Ingatlah Mereka yang Telah Mendahului Kita

Orang Kristian pada zaman awal menghadapi cabaran yang sama tetapi jauh lebih besar daripada cabaran kita. Penganut pagan menekan mereka untuk mengakui bahawa walaupun Yesus adalah lebih daripada seorang manusia, Dia bukan sepenuhnya Tuhan, atau sekadar memasukkan Yesus ke dalam kuil orang Roma sebagai salah satu dewa yang banyak. Tetapi mereka tidak melakukannya dan tidak dapat—dan pengisytiharan mereka sering membawa kepada kematian mereka. Seperti Yesus, mereka ditolak manusia, tetapi diterima Tuhan kerana telah didamaikan dengan Tuhan melalui salib Kristus.

Tuhan telah memberikan kita keistimewaan untuk berkongsi kebenaran Injil dengan dunia yang semakin keliru. Kita mempunyai sebab untuk yakin terhadap kebenaran, kesesuaian, dan kuasa berita baik-Nya, dan kita boleh bergantung pada pertolongan-Nya agar kita terpelihara daripada rasa malu atau kecewa di tengah-tengah tekanan budaya semasa. Dengan kasih kurnia-Nya, kita mampu—dan akan!—terus maju dalam ketaatan seperti orang-orang kudus yang setia yang telah hidup sebelum kita.

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/the-exclusivity-of-christ-in-a-pluralistic-culture dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 

1. Augustine, Contra Faustum 17.3. 

2. G. K. Chesterton, Orthodoxy (New York: John Lane, 1909), 55.

返回博客