Ramai orang Kristian yang hadir di gereja pada pagi Ahad boleh berkata bahawa mereka sudah pun menemui jawapan kepada pertanyaan ini: “Apakah itu Injil?” Mereka memahami kasih kurnia penyelamatan Tuhan melalui salib Kristus, telah menerima Kristus melalui iman, dan kini hidup di dalam Kristus, diselubungi oleh kebenaran-Nya, diangkat menjadi anak-anak kepada Bapa, serta berjalan dalam kuasa Roh Kudus. Dengan kata lain, pada satu ketika dalam hidup mereka, mereka telah dilahirkan semula.
Namun, sekalipun Injil menjadi permulaan kehidupan Kristian, ia bukan sekadar satu tahap awal. Injil ialah asas yang perlu kita sentiasa kembali, bukan kerana kita perlu diselamatkan sekali lagi, tetapi kerana kedudukan kita di hadapan Tuhan dan pengharapan akan penebusan kita yang telah ditegakkan sekali untuk selama-lamanya tetap bertumpu sepenuhnya pada karya Yesus bagi pihak kita.
Oleh itu, sekalipun bagi mereka yang sudah diselamatkan dan hidup dengan keyakinan tentang tempat mereka dalam keluarga Tuhan, pelayanan untuk saling memperingati tetap penting. Kita perlu sentiasa mengingati kebenaran asas iman kita. Kita melakukannya dengan merenungkan sumber Injil, isinya, jangkauannya, serta makna yang terus hidup dalam perjalanan kita setiap hari.
Sumber Injil
Di seluruh Alkitab, Injil sering disebut sebagai “Berita Baik Allah” (contohnya Markus 1:14; Roma 1:1; 1 Tesalonika 2:2; 1 Petrus 4:17). Dengan kata lain, berita baik tentang Yesus bukanlah rekaan manusia, tetapi wahyu ilahi. Ia bermula daripada Tuhan sendiri.
Dalam Galatia 1:11 versi AVB, Paulus menulis, “Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia.” atau seperti kata-kata J. B. Phillips, “bukan rekaan manusia.” Pelayanan Injil Paulus dan para rasul bukanlah usaha mereka untuk menarik orang mendengar kata-kata mereka, tetapi tanggungjawab untuk menyampaikan berita yang telah Tuhan percayakan kepada mereka.
Apabila kita memberitakan Injil, kita sebenarnya menyampaikan mesej Tuhan bagi pihak-Nya. Kita sedang menyatakan kepada manusia bahawa Tuhan yang telah mencipta mereka menurut gambar-Nya sendiri, telah mempersembahkan melalui Anak-Nya satu-satunya jalan supaya mereka dapat menemukan keselamatan dan makna hidup yang sejati.
Kerana Kristus telah menanggung hukuman dosa, Tuhan mengampuni mereka yang percaya kepada-Nya.
Injil ini bukanlah rancangan kecemasan. Bukan seolah-olah Tuhan telah gagal sekali dengan Adam, kemudian gagal lagi dengan hukum Taurat, lalu kini mencuba cara lain melalui Yesus.
Tuhan tidak mengutus Anak-Nya untuk memperbetulkan kesilapan-Nya sendiri. Injil telah menjadi rancangan kekal-Nya sejak sebelum dunia dijadikan (Efesus 3:11).
Jauh sebelum Yesus lahir di kandang di Betlehem, Tuhan sudah melaksanakan rancangan kekal-Nya.
Petrus memberitahu bahawa para nabi dan bahkan malaikat pun tahu sesuatu yang besar sedang datang, tetapi mereka belum mengetahui sepenuhnya; mereka rindu untuk melihatnya kerana mereka tahu bahawa semuanya bermula dari hati Tuhan sendiri (1 Petrus 1:10–12 AVB).
Godaan akan datang untuk membuat kita meninggalkan Berita Baik ini atas pelbagai sebab sama ada kerana strategi tertentu atau idea baharu yang kelihatan menarik.
Namun, Injil bukanlah kisah ciptaan manusia yang boleh kita ambil atau tinggalkan sesuka hati.
Sebenarnya, kita memberitakan Yesus kerana “Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.” (Kisah Para Rasul 4:12 AVB)
Isi Injil
Dalam Roma 1:17, Paulus berkata bahawa di dalam Injil “perbenaran Allah dinyatakan.” John Stott menjelaskan maksud “perbenaran Allah” ini dengan baik apabila beliau menulis, “Ia adalah satu kedudukan benar yang dituntut oleh Tuhan jika kita mahu berdiri di hadapan-Nya; yang dicapai-Nya melalui korban pendamaian di salib; yang dinyatakan-Nya dalam Injil; dan yang dikurniakan-Nya secara cuma-cuma kepada semua yang percaya kepada Yesus Kristus.” 1 Empat kata kerja dalam definisi ini membantu kita memahami inti kepada Injil itu sendiri.
“Perbenaran Allah” ini pertama sekali ialah “kedudukan benar yang dituntut oleh Tuhan.” Untuk berdiri di hadapan Tuhan yang kudus, kita mesti berada dalam keadaan sempurna secara moral dan rohani.
Namun, kita tidak akan mampu mencapainya dengan kekuatan kita sendiri. Hukum Taurat menyingkapkan segala kelemahan kita, menunjukkan bahawa “segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar” (Yesaya 64:6 AVB).
Namun demikian, perbenaran ini juga adalah sesuatu yang “dicapai” oleh Tuhan melalui kematian Anak-Nya.
Di atas salib, Tuhan menegakkan keadilan-Nya yang sempurna dengan menimpakan hukuman dosa ke atas Tuhan Yesus Kristus yang tidak berdosa. Dan kerana Kristus telah menanggung hukuman dosa itu, Allah mengampuni mereka yang percaya kepada Tuhan Yesus, walaupun kita telah berdosa dan layak menerima hukuman.
Injil bukanlah nasihat baik tentang apa yang harus kita lakukan untuk memperoleh keselamatan. Ia adalah berita baik tentang apa yang telah dilakukan oleh Tuhan.
Ketiga, Tuhan kemudian “menyatakan” perbenaran ini melalui pemberitaan berita baik tentang Yesus.
Inilah sebabnya orang Kristian disebut umat Injil.
Inilah sebabnya kita mahu hidup yang berpaksikan Injil.
Inilah sebabnya kita mahu memberitakan Injil, kerana di dalam Injil ini, di dalam kisah agung inilah, tersimpan jawapan Tuhan terhadap masalah kita.
Dan keempat, Allah “mengurniakan” perbenaran ini kepada mereka yang datang kepada Kristus dengan iman. Dosa kita diperhitungkan kepada-Nya, dan perbenaran-Nya diperhitungkan kepada kita, sehingga kita berdiri di hadapan Allah dengan kekudusan Kristus. Inilah pertukaran agung itu, di mana “Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah.” (2 Korintus 5:21 AVB)
Melalui Injil inilah manusia diperdamaikan dengan Allah melalui Yesus. Yesus tidak mati sebagai sekadar teladan, dan bukan juga hanya mati demi mempertahankan keyakinan-Nya. Dia mati sebagai pengganti kita. Injil bukan nasihat baik tentang apa yang perlu kita lakukan untuk memperoleh keselamatan. Ia ialah berita baik tentang apa yang telah dilakukan Tuhan dalam Tuhan Yesus Kristus untuk menjamin keselamatan kita.
Ia adalah berita baik tentang apa yang telah dilakukan oleh Tuhan dalam Tuhan Yesus Kristus untuk menjamin keselamatan kita.
Hal ini tergambar dengan begitu jelas dalam kisah penjahat di kayu salib. Dia menegur rakan penjahatnya kerana menghina Yesus, lalu dia berseru kepada Tuhan: “Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” (Lukas 23:42 AVB). Dalam erti kata lain, penjahat itu seakan berkata, “Aku tiada apa-apa yang dapat aku persembahkan di pintu syurga. Satu-satunya harapan untuk aku masuk ialah apabila aku dapat berkata, ‘Aku bersama Dia.’
Dan keadaan kita sebenarnya tidak jauh berbeza daripada penjahat itu. William Cowper menggambarkannya dengan sangat indah:
Penyamun yang di sisi-Nya;
Diberi anugerah;
Pun aku yang penuh celah;
Dibasuh darah-Nya. 2
Skop Injil
Sama ada anda lebih menyerupai penjahat di kayu salib atau seorang dermawan terhebat di dunia, Injil ini tidak terbatas kepada satu jantina, bangsa tertentu, latar belakang tertentu, atau apa juga kategori lain.
“Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, ....” (Roma 1:16 AVB)
Bersatu dengan Kristus melalui iman adalah satu-satunya perkara yang diperlukan untuk menerima segala berkat Injil.
Dalam Roma 1:14 terjemahan AVB, Paulus meluaskan jaringnya kepada seluruh umat manusia apabila dia berkata, ““Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.” iaitu, dia berkewajipan untuk memberitakan “berita baik yang akan memberikan sukacita besar … kepada seluruh umat” (Lukas 2:10 AVB).
Menjadi tanggungjawab setiap orang yang berada di dalam Kristus untuk meninggikan Kristus, supaya mereka yang masih berada di luar Kristus dapat datang kepada-Nya.
Namun iman tetap diperlukan. Seperti yang Yesus katakan kepada Nikodemus, “Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah.” (Yohanes 3:18 AVB)
John Calvin menulis bahawa selagi Kristus berada di luar diri kita dan kita terpisah daripada-Nya, maka segala yang telah Dia derita dan lakukan demi keselamatan manusia tidak membawa sebarang manfaat kepada kita. 3
Sebab itu, menjadi tanggungjawab mereka yang berada di dalam Kristus untuk meninggikan Kristus, supaya mereka yang masih berada di luar Kristus dapat datang kepada-Nya.
Inilah perintah Yesus sendiri “Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.” (Matius 28:19-20 AVB)
Apabila kita berbicara tentang sejauh mana Injil ditawarkan, ada yang terus terfikir tentang isu seperti pemilihan atau untuk siapa penebusan Kristus diberikan. Memang benar, kasih kurnia Tuhan hanya dialami oleh mereka yang percaya, dan tidak semua orang akan percaya. Namun seperti yang dijelaskan oleh John Murray, "Tawaran Injil itu sendiri tidak pernah dihadkan. Ajaran tentang pemilihan, kasih Tuhan yang membezakan, atau penebusan Kristus menurut rancangan-Nya tidak menetapkan apa-apa batas terhadap pemberitaan Injil. Tawaran Injil tetap terbuka dan mesti disampaikan kepada semua orang tanpa pengecualian." 4
Dengan kata lain, kita mengakui bahawa persoalan-persoalan ini memang penting dalam teologi, tetapi ia sama sekali tidak menghalang mandat kita untuk memberitakan Injil secara menyeluruh dan tanpa syarat. Kita tidak dipanggil untuk meneka rahsia kehendak Tuhan (Ulangan 29:29) atau cuba menghuraikan perkara yang berada di luar jangkauan pemahaman manusia. Tugas yang Tuhan berikan kepada kita ialah memberitakan Injil kepada semua orang, maka kepada semualah kita menyampaikannya. Kebenaran daripada Tuhan yang diterima melalui iman kepada Kristus sudah memadai bagi setiap orang yang percaya.
Kepentingan Injil yang Berterusan
Di dalam Kristus, Injil ialah dasar tempat kita berpijak. Jika kita meninggalkannya, itu bermakna kita meninggalkan iman itu sendiri. Orang Kristian ialah mereka yang, oleh kasih kurnia Tuhan dan bukan kerana usaha diri, telah diselubungi kebenaran Kristus dan diterima masuk ke dalam keluarga Tuhan.
Jika kita tidak selalu kembali kepada Injil, kita akan mudah terjatuh ke dalam cara fikir duniawi. Kita akan memutuskan kaitan penting antara status benar kita di dalam Kristus dengan ketaatan yang lahir daripadanya, lalu berpaling kepada bentuk legalisme atau antinomianisme sebagai penyelesaian yang berpusatkan manusia.
Kita mungkin mula menjadikan kejayaan duniawi atau pencapaian pelayanan sebagai matlamat, bukan sebagai alat. Terapi pula mula menggantikan teologi, dan kita melihat diri terutama sebagai individu yang hanya memerlukan dorongan dan penghiburan, bukan pengampunan dan pembaharuan. Setelah memulakannya dalam Roh, kita cuba menyempurnakannya dengan kekuatan jasmani sendiri (Galatia 3:3 AVB).
Tiada gereja tanpa Injil.
Dengan melalui Injil, manusia dapat menghadiri gereja. Paulus mengingatkan umat Efesus bahawa mereka disatukan dengan Kristus dan menerima Roh Kudus “Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya,” (Efesus 1:13 AVB). Sungguh satu keistimewaan yang sama sekali tidak layak diterima bagi semua yang berada di dalam Kristus untuk termasuk dalam perhimpunan besar “dari setiap bangsa, suku, kaum dan bahasa” (Wahyu 7:9 AVB). Gereja di seluruh dunia wujud hingga hari ini kerana Injil yang telah menyatukan kita semua di dalam Kristus.
Jika kita tidak selalu kembali kepada Injil, kita akan mudah terjatuh ke dalam cara pemikiran duniawi.
Tiada kesatuan Kristian tanpa Injil.
Injil inilah yang menyatukan gereja di setiap tempat dan zaman sebagai satu keluarga. Ketika Paulus menulis kepada orang percaya “di Korintus,” “di Efesus,” “di Filipi,” dan sebagainya, perkara terpenting ialah bahawa semuanya “di dalam Kristus.” Keluarga Tuhan melampaui sempadan bandar dan negara kerana dari kekekalan lagi, Tuhantelah berketetapan untuk membentuk “umat kepunyaan-Nya sendiri” (Titus 2:14; 1 Petrus 2:9). Gereja, di mana pun dan pada bila-bila masa, berseru kepada Tuhan yang sama dan memberitakan Tuhan yang sama, yang tidak terikat oleh masa atau tempat.
Tiada pertumbuhan peribadi tanpa Injil.
Tujuan Allah menyelamatkan kita ialah untuk menjadikan kita serupa dengan Anak-Nya. Dari kekekalan, “Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya....” (Roma 8:29 AVB). Dalam hadirat-Nya nanti, kita akan mengalaminya sepenuhnya, kerana “apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar” (1 Yohanes 3:2 AVB). Dan sekarang pun, “kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan” (2 Korintus 3:18 AVB).
Di dalam Kristus, tujuan kita bukan sekadar kurang berdosa daripada yang lain atau menjadi lebih baik daripada yang lain, tetapi memohon agar Tuhan mengubah kita dengan cara yang kita sendiri tidak mampu lakukan.
Akhir sekali, tiada pandangan hidup Kristian tanpa Injil.
Dosa dan pemberontakan telah meresap ke seluruh kemanusiaan kita, termasuk cara kita berfikir, sehingga secara semula jadi fikiran kita telah tercemar. Falsafah dan pemikiran manusia pasti tersasar kerana kita berfikir dengan cara yang tidak selaras dengan Tuhan. Seperti yang dikatakan Paulus dalam Roma 8:7, “Fikiran sifat tabii yang berdosa memusuhi Allah....” Namun kini, “perbenaran Allah telah dinyatakan” (Roma 3:21). Tiada siapa dapat memahami kebenaran dengan mendaki gunung tinggi untuk mencari pencerahan, atau dengan berfikir sehingga masuk ke dalam Kerajaan Tuhan. Kita hanya mengenal kebenaran apabila kita memandang kepada Anak itu, kerana melalui-Nya Tuhan telah berfirman kepada kita (Ibrani 1:2).
Seruan Kita yang Teguh dan Sempurna
Kita perlu sentiasa memberitakan Injil kepada diri kita sendiri, jika tidak, kita akan terlalu cepat bergantung pada perasaan subjektif tentang apa yang berlaku dalam diri kita, bukannya pada realiti objektif tentang apa yang telah Tuhan lakukan di luar diri kita dan untuk kita. Pembenaran kita, pengudusan kita, pemberitaan kita, dan kemuliaan yang akan datang semuanya bergantung pada apa yang Tuhan lakukan dalam Kristus. Satu-satunya harapan kita, dan harapan dunia, adalah dengan berpegang kepada Kristus melalui iman. Dalam harapan itulah kita boleh menyanyi:
Di hadapan takhta Allah,
Permohonanku yang teguh,
Imam besar penuh kasih,
Dia Pembelaku yang hidup. 5
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Apakah Injil itu?" oleh Alistair Begg.
1. John RW Stott: The Message of Romans: God’s Good News for the World, The Alkitab Speaks Today (Downers Grove, IL: IVP Academic, 1994), 63.
2. William Cowper, “Terdapat Air Pancut” (1772).
3. John Calvin, Institut Agama Kristian, ed. John t. McNeill, trans. Ford Lewis Battles (Philadelphia: Westminster, 1960), 3.1.1.
4. John Murray, “Atonement and the Free Offer of the Gospel,” dalam Collected Writings of John Murray, vol. 1, The Claims of Truth (Edinburgh: Banner of Truth, 1976), 81.
5. Charitie Lees Bancroft, “Sebelum Takhta Tuhan Di Atas” (1863).