Kehidupan Kristian bukanlah sekadar beberapa tindakan istimewa yang dilakukan sekali-sekala, tetapi suatu ketekunan yang berterusan sepanjang hayat. Ramai antara kita mampu menunjukkan ledakan semangat dari semasa ke semasa, dan itu bukanlah sesuatu yang terlalu sukar. Namun, cabaran sebenar ialah untuk terus setia berjalan dalam iman yang matang dalam jangka panjang, bukan sekadar bersemangat untuk seketika, tetapi kekal teguh, stabil, dan tekun dalam perkara-perkara yang menjadi teras kedewasaan iman.
Bahagian kedua Ibrani 12 memberikan kita senarai “yang perlu dilakukan” untuk kehidupan Kristian. Ini bukanlah senarai langkah-langkah mudah untuk berjaya, tetapi ia menawarkan enam cara penting untuk berjalan dalam kedewasaan Kristian yang berterusan.
1. Teguh dan Lurus
“Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah, serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh.” (Ibrani 12:12-13 AVB)
Keputusasaan merupakan salah satu saluran utama serangan Iblis. Kekecewaan kita menjadi sukacita bagi musuh, dan dia mampu menggunakannya dengan berkesan, termasuk terhadap mereka yang terlibat dalam pelayanan. Melayani Kristus tidak bermaksud hidup dalam kebahagiaan secara naif tanpa menyedari realiti kehidupan. Sebaliknya, kehidupan Kristian sememangnya melibatkan perjuangan yang serius dan nyata.
Oleh itu, seruan ini untuk maju ke hadapan—dengan “keupayaan yang dibekalkan oleh Allah” (1 Petrus 4:11 AVB)—tidak hanya perlu didenga, tetapi juga bergema di hati kita. Mereka yang ingin mengikuti Kristus harus bersedia berkata, “Saya menolak sama sekali untuk membiarkan Iblis menggembirakan dirinya dengan melihat saya patah semangat.” Dia pasti ingin melihat tangan kita lemah, lutut kita goyah, dan jalan kita tersasar dari ketaatan.
Keputusasaan merupakan salah satu
saluran utama serangan Iblis.
2. Berusaha Mendapat Keharmonian dan Kekudusan
“Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan.”
(Ibrani 12:14 AVB)
“Berusahalah” adalah terjemahan tepat bagi imperatif ini. Ia menyampaikan usaha yang tertumpu dan gigih. Penulis berkata, “Saya mahu kamu mengejar ini dengan semangat seperti seekor anjing memburu musang.” Dan musang yang kita kejar adalah tujuan berganda keharmonian dan kekudusan.
Menjaga damai memerlukan usaha yang serius. Kristus telah menebus damai, dan “Dia sendiri adalah perdamaian kita” (Efesus 2:14a AVB). Pertelingkahan tidak dapat dielakkan di zaman yang kucar-kacir ini, bahkan di gereja—tetapi itu bukan alasan untuk berputus asa! Kita berusaha untuk bertumbuh dalam keharmonian dan melepaskan beban serta dosa yang menghalang kita. Yesus sendiri berkata, “Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku” (Yohanes 13:35 AVB). Kita mungkin tidak akan mencapai keharmonian sempurna sebelum Kristus kembali, tetapi dengan bergantung kepada Roh Kudus, kita boleh menjadi gambaran kecil komuniti syurga.
Bagaimana kita memupuk keharmonian seperti itu? Kekudusan menyediakan kerangka tetap dan tanah subur bagi keharmonian yang kita nikmati. Semakin kita bertumbuh dalam kekudusan melalui sumber Roh Kudus yang bekerja dalam hati kita, semakin kita juga bertumbuh dalam keharmonian dengan sesama dan dengan Tuhan. Keharmonian dan kekudusan bukanlah pilihan tambahan. Ia berasal daripada pekerjaan Roh Kristus dalam kita dan menjadi bukti bahawa kita benar-benar milik-Nya.
3. Bertumbuh dalam Kasih Kurnia, Bukan Kepahitan
“Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar” (Ibrani 12:15 AVB).
Bagaimana kita boleh terlepas kasih kurnia Tuhan? Kita mungkin terkejut betapa mudahnya itu berlaku! Apabila Firman Tuhan diajarkan, sakramen Perjamuan Kudus dan baptisan dilakukan, dan sewaktu gereja bersekutu bersama, masih mungkin kita duduk dengan telinga yang enggan mendengar.
Ungkapan “akar yang menghasilkan pokok beracun atau buah yang pahit” merujuk kepada Ulangan 29, di mana Musa memberi amaran kepada Israel tentang hati mereka: “. Jangan sampai ada antaramu akar yang menghasilkan pokok beracun atau buah yang pahit.” (ay. 18b AVB). Orang yang demikian “Jika orang semacam itu mendengar perkataan laknat ini, dia menyangka bahawa dirinya tetap diberkati,” (ay. 19a AVB). Yakobus mengulangi amaran ini: “Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu” (Yakobus 1:22 AVB).
Apabila kita mendengar tanpa benar-benar mendengar, kita mungkin kelihatan sebagai Kristian tetapi kerohanian dunia masih berakar dalam hati. Perasaan dengki, kepahitan, kemarahan, amarah, dan keputusasaan mula membuat jiwa kita kebal terhadap apa yang Tuhan mahu. Kita mesti mencabut akar yang membinasakan ini dan membiarkan kasih kurnia Tuhan memenuhi hati kita supaya kita menjadi pendengar dan pelaku Firman-Nya.
4. Menolak Kemaksiatan dan Kekafiran
“Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar. Janganlah ada di antaramu pencabul atau menjadi durjana seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan. Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata” (Ibrani 12:15-17 AVB).
Pembaca asal kitab Ibrani hidup di kalangan masyarakat yang agak ‘pagan’—mungkin seperti zaman kita sekarang, di mana percabulan lebih dominan daripada kesopanan. Dalam suasana yang sarat dengan perzinaan, umat Tuhan perlu menunjukkan bahawa kita dikuduskan untuk Tuhan dan dipisahkan daripada dosa. Seperti yang disarankan oleh Rasul Paulus, kita mesti “Jauhilah perbuatan cabul” (1 Korintus 6:18a AVB).
Cerita Esau adalah perumpamaan bagi nafsu fizikal yang berlebihan. Dalam sekelip mata, dia rela menukar warisan dan rumahnya untuk sesuatu yang murah. Seperti dia, kita boleh membina hidup bertahun-tahun tetapi merosakkannya dalam lima minit akibat hawa nafsu, amarah, kesombongan, atau ketamakan. Kita tidak seharusnya menyerahkan diri kepada dosa. Pertukaran itu tidak pernah berbaloi, walau apa pun godaan saat itu.
Kita tidak seharusnya menyerahkan diri kepada dosa. Pertukaran itu tidak pernah berbaloi, walau apa pun godaan saat itu.
Kita tidak seharusnya menyerahkan diri kepada dosa. Pertukaran itu tidak pernah berbaloi, walau apa pun godaan saat itu.
5. Mendengar Suara Tuhan
Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga. Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: “Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga. (Ibrani 12:25-26 AVB)
Berulang kali, Tuhan mengutus nabi-nabi untuk memperingatkan umat-Nya—tetapi sering kali mereka enggan mendengar. Sikap degil mereka akhirnya membawa kepada pembuangan. Jika Tuhan berbuat demikian kepada mereka yang menolak nabi di bumi, kita harus berfikir dua kali sebelum menolak Firman Anak-Nya dari syurga
Sememangnya kita harus merujuk kepada langkah-langkah kesetiaan supaya dapat menjadi lebis jelas lagi, tetapi secara umum, kita perlu kembali kepada asas iman: mendengar apa yang Tuhan kata dan melakukannya. Sangat mudah, tetapi amat mendalam: jangan menolak Dia yang berbicara.
6. Menyembah Tuhan dengan Takut dan Hormat
“Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat beribadat kepada Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia. Allah kita adalah api yang menghanguskan” (Ibrani 12:28-29 AVB)
Keutamaan terakhir Ibrani 12 adalah menyembah Tuhan dengan benar dan berkenan—dengan takut dan hormat. Kita harus mengetepikan kontroversi remeh tentang gaya ibadah untuk mengalami dan menyatakan kemuliaan Tuhan bersama umat-Nya. Selain ibadah korporat, hidup kita sendiri harus menjadi korban yang hidup, kudus dan berkenan kepada Tuhan, yang merupakan penyembahan rohani kita (Roma 12:1 AVB). Tuhan kita, “api yang menghanguskan” (Ulangan 4:24 AVB), layak menerima seluruh hidup kita.
Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan dan mengamalkan enam keutamaan ini bukan tanggungjawab yang berat atau dipenuhi secara paksaan, tetapi hak istimewa dan kegembiraan hidup menurut kehendak Tuhan. Dia telah menulis kisah kemuliaan-Nya merentasi masa dan ruang, dan semua yang mengaku Kristus sebagai Tuhan menjadi sebahagian daripada rancangan agung-Nya. Apabila kita hidup dan bertindak selaras dengan kehendak-Nya dan mengejar ketaatan sepanjang hayat, Dia akan memakai kita untuk terus menulis kisah-Nya dan membawa orang lain ke dalam Kerajaan-Nya.
Adakah keutamaan-keutamaan ini tanggungjawab kita? Sudah tentu. Tetapi ia juga menjadi sukacita kita apabila kita hidup untuk mempamerkan kebesaran Kristus.
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Essentials of Christian Maturity” oleh Alistair Begg.