Filipi 2:5–11 adalah salah satu petikan Alkitab yang agung mengenai peribadi dan pekerjaan Kristus. Dalam suratnya kepada gereja abad pertama di Filipi, rasul Paulus mendorong orang percaya untuk bersatu dalam mesej Injil (1:27). Walaupun surat Paulus bukanlah sebuah teologi bersifat ilmiah yang utama, beliau tetap mendasari seruannya pada doktrin yang mendalam mengenai identiti Yesus.
Menyedari bahawa kesatuan tidak mungkin dicapai tanpa kerendahan hati, Paulus menyeru jemaah di Filipi untuk merendahkan diri dengan memandang “kepentingan orang lain” (2:4). Dia tidak menjadikan nasihat ini sebagai idea yang abstrak/sukar dibayangkan, tetapi dia menjemput mereka untuk melihat kepada teladan yang sempurna: Yesus “merendahkan diri-Nya” (2:8).
Pesanan Paulus tidak susah difahami. Kita mungkin ragu-ragu, menentang, atau mengelaknya, tetapi kita tidak boleh berpura-pura tidak memahaminya: sikap orang Kristian seharusnya sama seperti Yesus Kristus. Khususnya, Filipi 2:5–8 menekankan empat dimensi penghinaan Kristus yang boleh menjadi pelajaran bagi kita dalam kerendahan hati.
Kristus Adalah dan Kekal Ilahi
Tahap kerendahan hati Kristus adalah paling jelas apabila kita merenungkan sifat-Nya. Siapakah yang sebenarnya direndahkan? Jawapannya ada pada ayat 6: Yesus, yang “dalam bentuk Allah.” Dia adalah Ilahi sebelum datang ke dunia; tidak pernah sekali pun Dia bukan sebagai Tuhan (Yohanes 1:1). Sejarah singkat akan membantu kita memahami kepentingan tentang kebenaran ini.
Tidak lama selepas Perjanjian Baru ditulis, timbul persoalan tentang identiti Yesus. Contohnya, orang Kristian akan membaca Yohanes 1 dan Filipi 2, kemudian tertanya-tanya bagaimana mungkin Tuhan yang kekal menyerahkan diri-Nya di bawah kekuasaan ciptaan-Nya. Bagaimana mungkin Tuhan yang maha kuasa merendahkan diri-Nya? Untuk menjawab, gereja telah mengadakan persidangan para pastor dan ahli teologi untuk menilai pandangan-pandangan ini selaras dengan firman Tuhan. Persidangan ini bertujuan membetulkan kesalahan dan meneguhkan kebenaran.
Beberapa kumpulan muncul dalam beberapa abad pertama gereja, masing-masing dengan pandangan mereka tentang Yesus. Kumpulan pertama menafikan ketuhanan Yesus. Kumpulan kedua menafikan kemanusiaan Yesus; mereka berpendapat bahawa Yesus mempunyai tubuh bayangan, hanya kelihatan seperti manusia. Kumpulan ketiga menolak gabungan kedua-dua sifat itu dalam Kristus; mereka berfikiran bahawa Yesus bukanlah Tuhan sepenuhnya dan manusia sepenuhnya, tetapi sesuatu yang lain. Kumpulan lain lebih melampau, mereka berpendapat bahawa Yesus bukanlah peribadi dengan dua sifat, tetapi dua individu berasingan.
Selepas beberapa abad perdebatan tentang isu ini, akhirnya Majlis Chalcedon yang bersidang pada tahun AD 451 telah menyelesaikan isu tersebut. Kenyataan mereka yang dikenali sebagai Chalcedonian Definition, sebahagiannya adalah seperti berikut:
Tuhan kita adalah Tuhan sepenuhnya dan manusia sepenuhnya, dengan jiwa yang rasional dan tubuh fizikal, mempunyai sifat yang sama dengan Bapa menurut ketuhanan-Nya, mempunyai sifat yang sama dengan kita menurut kemanusiaan-Nya; dalam segala hal sama seperti kita, namun tidak berdosa. Dia diperanakkan sebelum segala zaman daripada Bapa menurut ketuhanan-Nya, dan pada zaman akhir ini, demi kita dan demi keselamatan kita, telah dilahirkan daripada Perawan Maria, ibu kepada Tuhan menurut kemanusiaan-Nya; Kristus, Anak, Tuhan adalah satu peribadi yang sama, satu-satunya yang diperanakkan, yang harus diakui dalam dua sifat, tidak bercampur, tidak berubah, tidak berpecah, tidak berpisah, perbezaan sifat-sifat itu sama sekali tidak dihapuskan oleh penyatuan ini, malah ciri-ciri setiap sifat tetap terpelihara dan bersatu dalam satu peribadi dan satu kewujudan; bukan dipisahkan atau dibahagikan kepada dua peribadi, tetapi satu dan Anak yang sama, dan satu-satunya yang diperanakkan, Tuhan, Firman, Tuhan Yesus Kristus. (Footnote 1)
Apabila Paulus menyeru jemaah di Filipi untuk mempunyai “pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus” (Filipi 2:5), dia bukan memanggil mereka untuk meneladani kerendahan hati seorang manusia yang baik, tetapi meneladani Tuhan yang menjadi manusia. Belajar kerendahan hati daripada Tuhan kita bermakna merenungkan bagaimana Dia hidup di tengah-tengah kita dan apa yang ditinggalkan-Nya untuk datang kepada kita.
Kristus Mengutamakan Penebusan
Seterusnya, Paulus menekankan dimensi kedua penghinaan Kristus: walaupun Tuhan sepenuhnya, Yesus “tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan” (Filipi 2:6). Syurga adalah hak-Nya, tetapi Dia menggantikannya dengan lumpur dunia kita. Mengapa? Kerana Yesus mempunyai rancangan yang lebih besar dan keutamaan yang lebih tinggi daripada kemuliaan-Nya sendiri.
Paulus seolah-olah berkata kepada jemaah di Filipi: “Jika anda hidup hanya untuk kemuliaan diri sendiri, memuji diri sendiri di hadapan orang lain, anda tidak akan memahami kesatuan sejati. Perhatikan Kristus. Dia tidak memegang hak-hak Ilahi-Nya, tetapi melepaskannya demi penebusan manusia berdosa.”
Apa yang kita lihat dalam Filipi 2 adalah pelaksanaan rancangan Tuhan Tritunggal. Dalam kekekalan, Bapa, Anak, dan Roh Kudus telah bersekutu dan menulis kisah penebusan yang sedang berlangsung (Efesus 1:3-11). Bapa berkata, “Aku akan menentukan penebusan mereka.” Anak berkata, “Aku, melalui ketaatan hingga kepada kematian, akan menebus mereka.” Dan Roh berkata, “Aku akan datang dan menerapkan penebusan mereka.” Rancangan ini melibatkan Tuhan Anak secara sengaja melepaskan hak-hak Ilahi-Nya—mengganggu kemuliaan-Nya yang memang milik-Nya sendiri—untuk datang kepada kita. Dalam penghinaan-Nya, Yesus meninggalkan kebahagiaan persekutuan yang kekal dengan Bapa dan Roh demi hidup di tengah-tengah kita dan mati bagi kita.
Kristus Mengetepikan Hak Istimewa
Dalam mencari orang berdosa dan berjalan di lorong-lorong Yudea, Tuhan kita “mengetepikan martabat diri-Nya” (Filipi 2:7)—bukan dengan mengurangkan ketuhanan-Nya, tetapi dengan menambah kemanusiaan-Nya. B. B. Warfield berkata, “Tuhan bagi dunia menjadi hamba di dunia; Dia yang berhak untuk memerintah menjadikan ketaatan sebagai ciri utama hidup-Nya.” (Footnote 2)
Bahasa dalam ayat 7–8 menjelaskan proses pengosongan Ilahi ini. Pertama, Yesus menjadi hamba di dunia, sebagaimana Dia sebelumnya adalah Penguasa di syurga (ayat 7). Walaupun memiliki hak untuk memerintah, Dia telah melayani (Yohanes 13:13–16). Kemudian, Paulus mengakui bahawa Yesus “datang dengan rupa manusia” (ayat 7). Dalam erti kata lain, jika kita melihat Yesus di jalanan, kita akan melihat seorang manusia biasa. Dia tidak mempunyai kilauan wajah yang membezakan Dia dengan manusia yang lain. Dia “dalam keadaan sebagai manusia” (ayat 8).
Namun, apabila diperhatikan lebih teliti, kita akan menyedari, sama seperti para murid-Nya, bahawa Yesus itu lebih daripada apa yang dapat dlihat secara langsung (Markus 4:41). Dia lebih daripada sekadar manusia, tetapi tidak mengurangkan kemanusiaan-Nya.
Kristus Taat hingga Kepada Kematian
Setelah meninggalkan kemuliaan syurga untuk melayani, penghinaan Yesus belum selesai. Paulus menulis bahawa Yesus “Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib!” (Filipi 2:8). Secara tepatnya, Dia tidak taat kepada kematian itu sendiri, kerana kematian tidak menguasai-Nya. Seperti yang dikatakan oleh Alkitab, Dia telah taat “hingga kepada kematian.” Ketaatan-Nya adalah kepada Bapa, yang merancang agar Anak-Nya menanggung dosa kita.
Meskipun penghinaan Kristus menjadi teladan bagi kita, jangan salah faham: kematian-Nya jauh lebih dari sekadar teladan. Kematian-Nya adalah penggantian bagi orang berdosa. Ketika Adam, manusia pertama berdosa, ketidaktaatannya membawa hukuman Tuhan kepada seluruh umat manusia. Tetapi ketika Yesus, Adam kedua, mati, Dia menanggung hukuman ilahi bagi orang berdosa (Roma 5:12–21). Kematian Yesus yang menggantikan kita memungkinkan kita untuk menyanyi bersama penulis lagu,
Betapa kasih hikmatNya!
Kendati kita aib:
Sang Adam Baru menjelma,
Penolong yang ajaib. (Footnote 3)
Sebagai Ilahi, Kristus menjadi manusia demi penebusan kita. Dan dengan mengetepikan hak istimewa-Nya sebagai Tuhan, Dia menjadi taat, menyerahkan nyawa-Nya bagi kita. Berdasarkan penghinaan yang ditanggung Kristus, siapakah yang boleh lari daripada tuntutan besar dalam ajaran Paulus? Betapa besar tugas yang diberikan kepada kita apabila kita membaca, “Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus” (Filipi 2:5).
- The Definition of Chalcedon, quoted in David Martyn Lloyd-Jones, Great Doctrines of the Bible, vol. 1, God the Father, God the Son (Wheaton, IL: Crossway, 2003), 281–82.
- Benjamin B. Warfield, “Person of Christ,” in The International Standard Bible Encyclopaedia, eds. James Orr, John L. Nuelsen, Edgar Y. Mullins, and Morris O. Evans (Chicago: Howard-Severance, 1915), 4:2340.
- John Henry Newman, “Praise to the Holiest in the Height” (1865).