Bagaimanakah Paskah Mengubahkan Kita?

Bagaimanakah Paskah Mengubahkan Kita?

Ask Pastor John: How Does Easter Change Us?
Temu bual dengan John Piper (Pengasas & Pengajar, Desiring God) dan Tony

 

Hari ini adalah Jumaat Agung dalam kalendar gereja tahunan. Kita meraihkan kematian Juruselamat kita Yesus Kristus di kayu salib, menebuskan dosa-dosa kita. Ia adalah hari yang penting, minggu yang penting. Tinggal beberapa hari lagi sehingga Paskah pada hujung minggu ini, oleh itu kita mengalihkan perhatian kita hari ini kepada podcast tentang kebangkitan Kristus. Untuk hari ini, kita akan kongsikan e-mel yang diterima daripada pendengar kita bernama Allison. “Pastor John, hello dan terima kasih untuk podcast ini. Kita mengucap syukur kerana melalui kematian dan kebangkitan Kristus, kita mempunyai harapan kebangkitan tubuh yang menanti di hadapan - suatu janji yang menguatkan dan memberi penghiburan. Nampaknya rasul Paulus juga berbicara tentang beberapa cara di mana kita kini mengambil bahagian dalam kebangkitan Kristus. Bolehkah anda menjelaskannya kepada saya? Khususnya, saya sedang memikirkan ketika Paulus berkata bahawa kita boleh mengetahui 'kuasa kebangkitannya [Kristus]' dalam kehidupan kita hari ini (Filipi 3:10). Kemudian dia juga berkata bahawa Tuhan 'membangkitkan kita bersama-sama dengan Dia [Kristus] dan kita duduk bersama-sama Dia di syurga dalam Kristus Yesus' (Efesus 2:6). Bolehkah anda menerangkan kedua-dua implikasi Paskah ini untuk kehidupan kita hari ini?”

 

Saudara Allison, kesan kebangkitan Kristus pada kehidupan kita sekarang sebagai orang Kristian adalah sangat hebat. Tiada seorang pun daripada kita yang telah mencapai batas kemungkinan terhadap apa yang Tuhan boleh lakukan dalam dan melalui kita, kerana kuasa kebangkitan Kristus terus bekerja dalam diri kita. Dan saya mengatakan itu kerana Paulus berkata dalam Efesus 3:20, "Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita." Dan dia mengenal pasti kuasa itu dalam bab 1 dengan cara ini: “betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman ... pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu dalam Kristus apabila membangkitkan-Nya daripada kematian" (Efesus 1:19-20).

Terdapat kaitan antara Efesus 3:20 dan 1:19: kuasa yang membolehkan kita melakukan lebih banyak daripada yang kita impikan adalah ketika kuasa Tuhan yang berkerja semasa Dia membangkitkan Kristus daripada kematian. Jadi, pertanyaan saudara Allison adalah seperti menyambung wayar elektrik ke dalam soket dengan kuasa 10,000 volt.

 

Kebangkitan Hidup

Bagaimanakah Alkitab menyatakan perkara ini? Ia bermula dengan mengajar kita bahawa apa yang berlaku kepada kita ketika pertaubatan kita kepada Kristus, dalam kelahiran baru kita,   kita telah disatukan dalam Kristus dengan iman. Tuhan membentuk ikatan, kesatuan — ikatan yang hidup, yang tidak boleh dipecahkan — kepada Yesus Kristus, dan inti dari kesatuan dan ikatan ini, ialah kematian Kristus dan kebangkitan Kristus akan dikira sebagai kematian dan kebangkitan kita.

Dan teks kuncinya ialah Roma 6:5 (AVB): “Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya." Saya boleh bayangkan akan ada pendengar yang berkata, "Wah, okey, anda kata kami bersatu; saya tidak tahu di mana untuk mencari pengalaman saya untuk itu." Jika anda bertanya, “Bagaimanakah saya secara peribadi mengalami kesatuan dengan Kristus dalam kematian-Nya, dalam kebangkitan-Nya?” jawapan alkitabiah ialah: dalam iman kepada Kristus. 

Apabila Roh Kudus menyebabkan anda memeluk Kristus - kepercayaan anda kepada Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Tuhan dan Harta hidup anda - itulah cara-Nya untuk mewujudkan kesatuan antara anda dan Kristus yang bangkit.

Kita melihat ini, sebagai contoh, dalam Galatia 2:20: “Aku telah disalibkan bersama Kristus.” Jadi, ada kesatuan. Saya telah bersatu dengan Kristus dalam kematiannya. “Bukan lagi aku yang hidup, tetapi Kristus [Kristus yang bangkit] yang hidup di dalam aku.” Dan sekarang, inilah pengalaman sedar tentang itu seperti yang diterangkan oleh Paulus: “Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah.” Jadi, dengan iman, tali kehidupan kita disambungkan ke dalam kematian dan kebangkitan Yesus Kristus yang menggemparkan. Itu menjamin kebangkitan masa depan kita. “Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Kristus Yesus daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana” (Roma 8:11). Jadi, jika Kristus ada di dalam kamu sekarang, jika Kristus yang telah bangkit diam di dalam kamu sekarang, kamu akan dibangkitkan dari antara orang mati.

 

Lima Kesan Kesatuan dengan Kristus Yang Bangkit

Berikut adalah lima implikasi atau pengalaman semasa yang boleh kita ketahui, di sini dan sekarang, kerana kesatuan kita dengan Kristus yang bangkit yang menggemparkan dan kepastian tentang kebangkitan kita sendiri. Betapa besarnya perbezaan di dalam hati kita di mana kita boleh yakin bahawa kebangkitan masa depan kita sendiri akan berlaku.

 

1. Kita mengambil bahagian dalam kehidupan Kristus yang tidak dapat dihancurkan.

Terdapat keselamatan baru, keyakinan baru harapan dalam hidup kita. Orang Kristian, dalam erti kata yang mendalam, ialah abadi. Kita tidak akan pernah melihat kuasa maut yang membinasakan sepenuhnya, kerana Yesus berkata dalam Yohanes 11:25-26, “Akulah kebangkitan dan hidup.... Setiap orang yang hidup dan percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya.” Itu menakjubkan. Oh, betapa indahnya janji tersebut!

Kesan daripada kepastian ini pada masa hadapan adalah menjadikan pengalaman kita sekarang di dunia ini menggembirakan — kebebasan yang menggembirakan daripada ketakutan dan keselamatan dan keyakinan dan harapan yang penuh. Petrus berkata dalam 1 Petrus 1:3, “[Tuhan] mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian." Kita semua tahu ada dunia yang berbeza antara hidup sekarang dalam keputusasaan dan ketidakpastian dan rasa tidak selamat dan ketakutan dan, sebaliknya, hidup sekarang dalam keselamatan, dalam keyakinan dan harapan dan kegembiraan dan kebebasan daripada ketakutan kerana kita kongsikan kehidupan yang tidak dapat dihancurkan - iaitu, kehidupan kebangkitan Yesus.

Itulah kesan pertama kebangkitan Kristus pada pengalaman kita sekarang.

 

2. Kita menerima identiti baharu.

Kita mempunyai identiti baru, tidak tergoyahkan, mulia. Dunia melihat anda dan saya selepas kita percaya kepada Kristus, dan apakah yang mereka lihat? Tiada apa yang sangat menakjubkan. Anda tidak setinggi seratus kaki. Kehidupan sebenar anda tersembunyi. Anda adalah anak Tuhan. Maksud saya, seorang anak Tuhan — itu seperti galaksi. Kehidupan sebenar anda tersembunyi. Dengarkan Kolose 3:3-4: “Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah.” Di situlah anda berada; itulah anda. “Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.” Iaitu, anda akhirnya akan nyata kepada dunia. Anda akan setinggi seratus kaki dengan dia dalam kemuliaan.

Jadi, dalam kesatuan dengan Kristus yang bangkit, anda bukan manusia biasa. Identiti sebenar anda sebagai anak Tuhan tersembunyi bersama Kristus di dalam Tuhan, dan ia akan nyata dalam kemuliaan yang menakjubkan pada kedatangannya.

 

3. Kita mengalami bantuan yang berterusan.

Dalam kesatuan dengan Kristus yang bangkit, kita mempunyai seorang sahabat baru yang masih hidup dan sedia membantu kita sepanjang masa. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya sebelum Dia meninggal, “Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu” (Yohanes 14:18). Dan pada penghujung Injil Matius, dalam ayat terakhir, Yesus berkata, “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:20). Jadi, kita mengalami kehadiran Kristus yang bangkit melalui Roh-Nya, Roh Kudus.

Dalam Yohanes 7:39, sebelum Yesus mati dan bangkit, Yohanes menerangkan bagaimana Roh belum diberikan kerana Yesus belum dimuliakan, belum dibangkitkan dan dimuliakan. Sekarang, saya fikir apa yang dia maksudkan bukanlah bahawa Roh Kudus tidak bekerja di dunia sebelum kebangkitan Yesus, tetapi Roh itu tidak didedahkan atau dialami atau dikenali sebagai Roh Kristus yang bangkit itu sendiri. Itu yang baharu. Itulah keistimewaan Kristian kita: Kristus yang bangkit ada di dalam kita, dengan kita sebagai kawan kita, penolong kita, sepanjang masa, sepanjang perjalanan pulang.

 

4. Kita memperoleh kuasa untuk hidup dengan benar.

Dalam kesatuan dengan Kristus yang bangkit, terdapat kuasa baru untuk mengalahkan dosa dan berjalan dalam kebenaran. Dan teks utama ialah Roma 6; sesungguhnya, hampir keseluruhan bab dan bahagian pertama bab 7 adalah mengenai perkara ini.

  • Roma 6:4: “ Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian ... kita juga ... menikmati kehidupan yang baru" — sekarang, bukan hanya kemudian.
  • Roma 6:13: “Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu [iaitu lidahmu, lenganmu, kakimu, kemaluanmu, matamu, telingamu] kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan.”
  • Roma 7:4: Kamu adalah milik "Dia yang telah dibangkitkan daripada kematian, dan dengan demikian kita dapat menghasilkan buah kepada Allah."

Jadi, dalam kesatuan dengan Kristus yang bangkit, kita mempunyai kuasa baru untuk kekudusan dan kasih.

 

5. Kita boleh menderita dengan baik bersama Penyelamat kita.

Inilah perkara terakhir, dan mungkin terdapat banyak lagi. Ini sangat bermakna — kami menerima kuasa yang luarbiasa daripada dia.

Dalam kesatuan dengan Kristus yang bangkit, terdapat kuasa baru untuk menderita bersama Yesus. Allison bertanya tentang yang ini secara khusus. Filipi 3:10: “supaya aku mengenal Dia dan kuasa kebangkitan-Nya.” Kenapa? Inilah jawapannya: supaya saya "boleh berkongsi penderitaan-Nya, menjadi seperti dia dalam kematiannya."

Kita mempunyai kuasa untuk menderita dengan baik bersama Yesus; keselamatan baru dan keyakinan harapan; identiti baru, tidak tergoyahkan, mulia; rakan baharu yang sedia membantu kami sepanjang masa, sepanjang perjalanan pulang; kuasa baharu untuk kekudusan dan cinta; kuasa baharu untuk menderita bersama Yesus. Maka kita berkata pada musim Paskah ini, “Tuhan telah bangkit.”

 

Dia benar-benar bangkit.

Dan begitu juga dalam dia kita.

 

 

Artikel asal diterbitkan di https://www.desiringgod.org/interviews/how-does-easter-change-us dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran.  

返回博客