Adakah anda pernah merasa gentar apabila memikirkan tentang mengongsikan iman anda?
Jika kita jujur dengan diri sendiri, setiap orang yang berusaha untuk setia dalam penginjilan pasti akan mengakui terus terang - “Ya!”.
Salah satu sebab kita berasa takut untuk melibatkan orang lain dalam perkongsian Injil ialah kerana kita bertanggapan bahawa kita perlu mengetahui semua jawapan secara lengkap kepada setiap persoalan yang mungkin diajukan.
Sudah tentu, adalah baik untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang secukupnya. Namun kita harus sentiasa ingat bahawa hanya Tuhan yang dapat membuka mata orang yang buta rohani dan melembutkan hati yang keras (Mazmur 146:8, Efesus 1:17–18).
Apabila seseorang itu dilahirkan semula, hal itu terjadi melalui pekerjaan Roh Kudus yang bekerja secara ajaib di dalam dirinya (Yehzekiel 36:26–27, Roma 8:1-11). Tanpa pekerjaan Roh Kudus, segala hujah dan penjelasan kita hanyalah usaha yang sia–sia.
Namun seperti yang pernah dinyatakan oleh Gresham Machen:
“Walaupun hujah itu tidak mencukupi, itu tidak bermaksud ia tidak perlu. Apa yang dilakukan oleh Roh Kudus dalam kelahiran baru bukanlah menjadikan seseorang percaya tanpa bukti, tetapi membuka matanya supaya dia dapat melihat bukti itu dengan jelas.”1
Sambil anda berdoa dan merenungkan pelayanan penginjilan anda sendiri, semoga senarai ringkas, petua praktikal yang bersifat Alkitabiah ini dapat membantu anda menjawab pertanyaan dan tentangan dengan penuh hikmat.
Kiranya ia menguatkan keberanian dan memperdalam kasih anda dalam setiap interaksi anda dengan jiran, rakan atau sesiapa sahaja yang Tuhan telah tempatkan di depan anda.
1. Bersikap sabar.
Dalam meresponi kepada pertanyaan yang sukar, elakkan tergesa–gesa memberikan jawapan sebelum seseorang itu selesai menyatakan soalan atau pandangannya.
Jika kita ingin menunjukkan kepekaan dan kasih, kita perlu memiliki kesabaran serta menghormati orang–orang yang sedang bercakap (Amsal 14:29, 1 Korintus 13:4)
2. Jangan membebankan dengan memberi terlalu banyak maklumat.
Kadang-kadang, tanpa kita sedari, kita boleh “menenggelamkan” seseorang dengan terlalu banyak penjelasan dan maklumat.
Segala yang kita tahu mungkin benar dan berguna, tetapi apabila kita terlalu bersemangat, kita mungkin tergesa-gesa mahu berkongsi ‘semua’ yang kita tahu dalam satu masa.
Akhirnya, orang itu bukan makin memahami tetapi makin keliru dan terbeban.
Jadi, belajarlah untuk berkongsi dengan bijaksana dan sederhana. Berikan ruang supaya dia dapat mencerna dan benar-benar memahami apa yang anda sampaikan.
3. Perhatikan nada dan sikap anda
Jawablah dengan rendah hati dan penuh lemah lembut, bukan dengan nada yang menghakimi.
Nada yang salah boleh membuat orang merasa jauh dan tidak mahu mendengar.
Petrus menasihati kita:
“Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat”. - 1 Petrus 3:15 AVB
4. Berikan jawapan yang bijaksana dan sesuai dengan konteks
Kadang-kadang, dalam usaha kita menjawab soalan yang sukar, kita kurang memberi perhatian kepada konteks kehidupan orang yang bertanya.
Adakah dia seorang pelajar universiti? Seorang doktor? Orang yang berada? Atau seseorang yang sedang melalui penderitaan?
Jika kita tidak berhenti sejenak untuk memahami keadaan sebenar hidup orang di hadapan kita, dia mungkin segera berfikir,.....
“Jawapan ini kedengaran agak biasa...seolah-olah dia hanya mengulang sesuatu yang sudah siap sedia. Saya mungkin boleh memperoleh jawapan yang lebih baik di Google.”
Oleh itu, belajarlah mendengar dan memahami dahulu sebelum menjawab.
Apabila kita benar-benar mengambil berat tentang orang yang kita ajak berbicara, barulah jawapan kita menjadi lebih hidup, relevan, dan menyentuh hati.
Konteks adalah sangat penting, kita perlu memahami dengan siapa kita berbicara sama ada seorang pelajar kolej, golongan profesional seperti doktor, orang kaya atau seseorang yang sedang menderita.
5. Pancarkan terang kepada jalan, bukan kepada wajah
Kalau anda pernah diberhentikan di sekatan jalan raya pada waktu malam, mungkin anda pernah mengalami situasi di mana cahaya lampu yang sangat terang disuluh tepat ke muka anda dan itu memang tidak menyenangkan.
Begitu jugalah apabila kita menjawab soalan yang sukar tentang iman. Kita dipanggil untuk menyalakan terang kepada jalan seseorang, bukan menyuluh wajahnya dengan cahaya yang mengganggunya (Matius 5:16).
Kita bukan membawa cahaya penghakiman atau kecaman peribadi, tetapi cahaya firman Tuhan (Mazmur 119:105) iaitu cahaya yang menuntun orang lain untuk melangkah maju, bukan yang membuat mereka menjauh dari-Nya.
6. Jawab setiap soalan dengan serius
Jawablah seolah–olah penyelamatan kekal peribadi yang bertanya bergantung kepada jawapan anda.
Mungkin anda satu–satunya peribadi yang Tuhan izinkan untuk menjawab soalan itu pada saat ini dalam hidupnya.
Satu jawapan yang setia terhadap satu soalan yang jujur mungkin menjadi kunci yang Tuhan gunakan untuk membuka hati dan fikiran seseorang peribadi kepada kebenaran Injil (2 Timotius 2:25).
Oleh itu, kita harus rajin dan bersungguh–sungguh mendalami Firman Tuhan agar dapat menjawab setiap persoalan yang datang dengan betul.
7. Ingat bagaimana orang diselamatkan
Tidak dinafikan respons kita penting, tetapi hanya Yesus yang mampu menyelamatkan manusia. Kita semua perlu terus mengingat dan bersandar kepada firman ini:
Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri (Amsal 3:5 AVB).
Kasih, doa, kerendahan hati, dan sifat Kristus jauh lebih berharga daripada sekadar kelihatan tahu segalanya.
Yang paling utama adalah hati yang dipenuhi kasih kepada orang yang masih belum mengenal Tuhan.
Dengan merenungkan segala petua ini, kita perlu ingat bahawa Alkitab bukanlah sekadar buku jawapan untuk persoalan–persoalan orang yang tidak percaya.
Firman Tuhan mempunyai tujuan yang jauh lebih besar iaitu untuk memperkenalkan siapakah Tuhan yang hidup.
Itulah juga tujuan kita iaitu untuk memuliakan dan menikmati Dia selama–lamanya.
Meresponi kepada tentangan kepada iman kita merupakan usaha yang baik, tetapi biarkan ia boleh membawa peribadi lain kepada “Yesus, Pemimpin dan Penyempurna Iman Kita” (Ibrani 12:2).
Kita memang terbatas dalam kemampuan kita dalam meyakinkan orang lain, tetapi kuasa Tuhan sebenarnya tidak terbatas.
Artikel ini diadaptasi daripada “https://blog.truthforlife.org/how-to-respond-when-your-faith-is-questioned” oleh Alistair Begg.
1. J. Gresham Machen, The Christian Faith in the Modern World (Grand Rapids: Eerdmans, 1947), 63.