Adakah Wajar Bagi Isteri untuk Tunduk Kepada Suaminya?

Pada zaman dan konteks kita sekarang, perintah para rasul mengenai para isteri untuk tunduk kepada suami mereka (Efesus 5:22; Kolose 3:18; 1 Petrus 3:1) telah menjadi salah satu batu sandungan terbesar dalam Alkitab. Ramai orang Kristian dalam masyarakat Barat menghadapi kesukaran untuk menyelaraskan ayat-ayat ini dengan keyakinan mereka tentang hak dan kesaksamaan wanita—keyakinan yang sebenarnya berakar daripada pandangan Alkitabiah, walaupun kebanyakan mereka kini merasakan telah “membebaskan” diri daripada pengaruh itu. Orang-orang zaman kini bertanya: “Bagaimanakah seorang wanita dapat menghargai diri dan maruahnya sekiranya dia memilih untuk tunduk kepada suaminya?”

Terdapat jawapan bagi soalan tersebut, tetapi kita hanya akan menerimanya jika kita benar-benar menerima “kebodohan” salib itu (1 Korintus 1:18). Panggilan alkitabiah terhadap isteri untuk tunduk kepada suaminya adalah sebuah panggilan untuk memenuhi pola ciptaan Tuhan dengan menyedari bahawa hal itu melibatkan kerendahan diri dan penderitaan yang salih demi meneladani Tuhan—yang merupakan panggilan tertinggi yang boleh dicapai oleh mana-mana orang Kristian.

Ketundukan dan Salib

Penderitaan Kristus sebagai teladan bagi ketundukan seorang isteri jelas dinyatakan dalam 1 Petrus 3:1: “Demikian juga kamu, isteri, berserahlah kepada suamimu.” Demikian juga seperti apa? Demikian juga seperti semua yang kita baca dalam 1 Petrus 2. Tepat sebelum perintah kepada para isteri ini, kita membaca tentang bagaimana Kristus menderita dengan salih dan menyerahkan diri-Nya kepada pemeliharaan serta pembenaran Tuhan: 

Justeru inilah kamu telah dipanggil, kerana Kristus juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya. “Dia tidak melakukan dosa, dan tidak ada tipu daya dalam mulut-Nya.” Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil. (1 Petrus 2:21-23).

Para isteri tunduk kepada suami mereka dengan cara yang meneladani Kristus, yang menunjukkan sikap yang rela tunduk; dengan cara yang sama seperti hamba-hamba Kristian, yang dalam kehidupan sehari-hari dipanggil untuk memegang teguh prinsip dan keutamaan yang ditetapkan dalam sistem kehidupan mereka; dengan cara yang sama seperti kita dipanggil untuk taat dalam hubungan kita dengan pihak berkuasa.

Dalam 1 Petrus 3:2-4, Petrus kemudian berkata kepada isteri yang bersuami bukan Kristian—iaitu seseorang yang tidak ada sebab untuk mengharapkan kasih seperti Kristus (Efesus 5:25) sebagai balasan terhadap ketundukannya yang salih itu—pada dasarnya, “saya ingin memberitahu anda bagaimana anda boleh hidup dengan suami anda supaya anda menjadi saksi Injil kepadanya: melalui kelakuan yang penuh hormat dan murni serta melalui roh yang lemah lembut dan tenang.”

Seorang isteri Kristian mungkin berkata, “Tunggu dulu! Bagaimanakah kamu boleh mengharapkan saya untuk melakukannya? Itu sangat membebankan bagi saya.”

“Baiklah,” Petrus mungkin menjawab begini, “Saya sudah jelaskan kepada kamu. Kristus telah menanggung salib bagi kamu. Dia tahu bagaimana rasanya dihina, dan Dia tidak membalas. Dia tahu bagaimana rasanya menderita, dan Dia tidak mengugut. Sebaliknya, Dia menyerahkan diri-Nya kepada Dia yang menghakimi dengan adil.”

Tujuan Tuhan untuk perkahwinan ialah setiap pasangan saling melayani dalam kasih, tetapi kerana dosa, suami—termasuk suami Kristian—sering kali bersikap mementingkan diri. Namun bagi orang Kristian, panggilan kita bukan membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi membalas dengan kasih dan tetap berbuat baik (1 Petrus 4:19). Seorang isteri dipanggil untuk tunduk kepada suaminya—walaupun ramai suami tidak layak menerima penundukan seperti itu—selagi penundukan itu tidak bercanggah dengan ajaran Tuhan yang bijaksana dan penuh kasih dalam Alkitab. Apabila seorang isteri benar-benar memahami makna cabaran dan penderitaan yang mungkin datang dengan penundukan ini, dia boleh bersukacita (1 Petrus 4:13).

Apabila kita memahami penundukan yang Alkitabiah dengan cara ini, sekurang-kurangnya empat perkara akan menyusul daripadanya.

1. Ajaran Ini Ditujukan Kepada Orang Kristian

Pertama, ajaran Alkitab mengenai ketundukan isteri kepada suami adalah ajaran khusus untuk isteri Kristian.

Dalam surat-surat mereka, para rasul mengikuti corak penyampaian doktrin Injil terlebih dahulu dan kemudian implikasi moral yang timbul daripadanya. Paulus menulis kepada mereka yang digelar “orang salih” dan “setia” (Efesus 1:1; Kolose. 1:2), manakala Petrus menulis kepada mereka yang “hidup dengan harapan yang tidak akan binasa” (1 Petrus 1:3). Oleh itu, penerima perintah-perintah ini adalah orang Kristian dan merupakan ciptaan baru (2 Korintus 5:17). Mereka kini perlu menjadi isteri yang dibaharui kerana perubahan yang dibawa oleh Injil. 

Ketaatan dalam perkahwinan bermula dengan memahami kehendak Tuhan terhadap perkahwinan dan komitmen untuk mentaatinya.

Perkahwinan, sudah tentu, adalah ordinan penciptaan, bukan sekadar ordinan Kristian; kebaikan kuasa dan ketundukan bukanlah eksklusif kepada orang beriman sahaja atau tidak relevan kepada masyarakat luas. Namun, mandat Alkitab bagi isteri untuk tunduk diberikan secara langsung dan jelas kepada wanita yang berakar umbi dalam Injil Yesus Kristus, yang meletakkan kepercayaan mereka pada kekuasaan Kristus, yang berharap pada penebusan Kristus, dan oleh itu mampu tunduk kepada suami mereka “seperti kepada Tuhan” (Efesus 5:22) dan “demikian juga” seperti Tuhan menundukkan diri-Nya; dan ini adalah “patut dalam Tuhan” (Kolose 3:18). Tidak hairanlah bahawa perintah sedemikian akan kelihatan bodoh atau salah bagi mereka yang berada di luar Kristus.

2. Ajaran Ini Perlu Diterima Sebagai Firman Tuhan

Kedua, ajaran Alkitab ini perlu diterima sebagai sebahagian daripada Sabda Kristus yang diam di dalam kita, seperti yang dikatakan Paulus dalam konteks langsung perintah rumah tangga, dalam Kolose 3:16: “Biarlah sabda Kristus menetap dalam dirimu dengan segala kekayaan.” (Lihat juga Efesus 5:17.)

Ketundukan dalam perkahwinan bermula dengan memahami kehendak Tuhan bagi perkahwinan dan komitmen untuk mentaatinya. Tiada seorang pun yang mampu hidup dengan cara ini melainkan Sabda Kristus menetap dalam diri mereka dengan segala kekayaan, supaya terlebih dahulu ada ketaatan kepada Firman Tuhan dan cinta terhadap Firman-Nya, dan kesiapsiagaan untuk mentaati walaupun dengan harga yang tinggi.

Budaya kita bermula dengan anggapan bahawa kita hidup untuk diri sendiri dan tujuan perkahwinan, jika ada, adalah untuk memenuhi keperluan diri sendiri. Namun, mereka yang percaya kepada Yesus “tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka” (2 Korintus 5:15). Hidup di dalam Kristus bermaksud kita telah dibebaskan daripada cara lama dan yang kurang sempurna/baik untuk melayani Kristus, yang sungguh-sungguh mengasihi dan melayani kita. Kristus telah meminta kita untuk melayani-Nya melalui, antara cara lain, pelayanan penuh kasih kepada orang lain dan ketundukan yang sesuai kepada pihak berkuasa yang dipilih oleh Tuhan dan merupakan sebahagian daripada ciptaan-Nya.

3. Ketaatan Itu Mustahil Tanpa Kuasa Roh

Ketiga, ketaatan kepada ajaran Alkitab hanya dapat dilakukan melalui kuasa Roh Kudus. Paulus menjelaskannya dengan jelas dalam surat kepada jemaah di Efesus. Ajaran tentang kehidupan keluarga berlandaskan apa yang telah Paulus nyatakan: “Penuhi diri dengan Roh.” (Efesus 5:18). Hanya dengan hidup dalam dimensi kepenuhan rohani inilah kita dapat “[tunduk] kepada satu sama lain dengan bertakwa kepada Kristus.” (ayat 21).

Apabila ajaran itu muncul, “Isteri, tunduklah kepada suami kamu,” respons segera dan boleh difahami mungkin adalah: “Saya tidak mampu. Bagaimana saya boleh hidup sebegitu?” Dari satu sudut, itu memang respons yang tepat. Tiada seorang pun yang dapat hidup sedemikian dengan berusaha sebaik mungkin! Kita memerlukan kuasa dari luar diri kita untuk melakukannya.

Namun, kerana ajaran ini diberikan kepada orang Kristian sebagai Firman Tuhan, kita boleh mempercayai bahawa Roh Tuhan akan memberikan kuasa kepada umat-Nya untuk mentaatinya serta sukacita luar biasa ketika melakukannya. Apabila kita hidup dipenuhi Roh dan Firman-Nya menetap di dalam kita, kita akan menemukan kuasa Tuhan untuk taat dengan gembira.

4. Prinsip Ini Bukan Hanya Untuk Para Isteri 

Akhir sekali, sebahagian daripada masalah yang kita hadapi dalam menerima perintah Alkitab adalah kerana ramai orang percaya bahawa ketaatan adalah “tugas wanita,” boleh dikatakan—sikap yang harus ditunjukkan oleh isteri kepada suaminya, tetapi suami sendiri tidak perlu mempraktikkannya.

Perintah-perintah dalam Alkitab diberikan kepada mereka yang sepatutnya mengambil inisiatif. Perintah dalam teks yang dibincangkan ditujukan kepada isteri: “Tunduklah kepada suami kamu.” Namun, ramai suami Kristian berasa perlu mengambil inisiatif dalam melaksanakannya, menuntut agar isteri mereka tunduk dan mengharap dilayani sepenuhnya oleh isteri.

Dalam Alkitab, meneladani kasih Kristus yang mengorbankan diri dan menanggung penderitaan diletakkan dalam konteks kesalingan. Tiada pengorbanan diri yang lebih besar daripada pengorbanan Kristus bagi gereja, yang juga merupakan pengorbanan yang diperintahkan kepada suami untuk diteladani demi isteri mereka (Efesus 5:25), melepaskan semua kuasa yang mereka miliki untuk melayani (Filipi 2:5–11). Justeru, suami, sepatutnya tidak menuntut agar isteri melayani mereka, sebaliknya harus mengasihi dan melayani isteri dengan segala pengorbanan penuh.

Adalah penting diingat bahawa isteri tidak diminta untuk tunduk kerana mereka secara semula jadi lebih rendah kedudukannya, begitu juga suami tidak dijangka memimpin kerana mereka secara semula jadi lebih tinggi kedudukannya. Sebaliknya, para rasul menyeru semua orang untuk meneladani penderitaan Kristus, tetapi dalam konteks peranan yang telah ditetapkan dalam perkahwinan. Suami dan isteri sama-sama berkongsi dalam martabat terbesar yang diketahui oleh para rasul: memikul salib mereka dan mengikuti Tuhan melalui pelayanan yang penuh pengorbanan.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “God's Design for Marriage — Part One" oleh Alistair Begg.

返回博客