Sukar untuk membayangkan saat-saat terakhir Yesus Kristus yang penuh derita di atas kayu salib Roma. Sebatan, penyeksaan, dan penghinaan yang ditanggung-Nya adalah hukuman yang diperuntukkan untuk penjenayah terburuk. Maka tidak hairanlah, dengan nafas terakhir-Nya, Yesus berseru dengan suara nyaring, “Tetélestai!” — “Sudah selesai” (Yohanes 19:30).
Tetapi, apakah makna seruan itu? Adakah Yesus mengumumkan kematian-Nya sendiri? Adakah itu pengakuan bahawa penderitaan dan kesakitan kini telah berakhir? Atau adakah ia seruan kekalahan?
Pada tahap ini, Alkitab jelas menjawab: Kata-kata terakhir Yesus sebenarnya adalah seruan kemenangan, seruan pengiktirafan yang penuh kemenangan. Dia telah menyempurnakan seluruh pekerjaan yang memerlukan kedatangan-Nya ke dunia untuk melakukan. Dalam kekekalan, dan dalam persekutuan yang sempurna dan harmoni, Bapa, Anak, dan Roh Kudus telah menetapkan cara ini—dan kini tujuan mereka sedang dilaksanakan.
Kematian pengorbanan Kristus adalah sebahagian daripada rancangan Bapa. Anak Allah telah dipilih sejak kekekalan untuk menanggung hukuman dosa manusia (1 Petrus 1:20). Demikian juga, Yesaya meramalkan tentang Hamba yang Menderita yang akan datang, berkata, “TUHAN berkehendak menghancurkan dan menyakiti dia” (Yesaya 53:10). Bapa tidak terkejut melihat keadaan dunia lalu memutuskan bahawa Anak-Nya perlu mati, dan Dia juga tidak merancang sesuatu yang salah dalam Perjanjian Lama lalu menawarkan Anak-Nya sebagai “pembetulan.” Tidak, rancangan itu sempurna sejak awal. Sejak kekekalan, Bapa memilih Anak untuk menjadi korban penebusan dosa bagi semua yang percaya.
Rancangan Bapa selaras dengan pengorbanan Anak. Ketika Yesus menjejakkan kaki ke pentas sejarah manusia, Dia tahu dengan jelas mengenai peranan dan misi-Nya: “Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku” (Yohanes 6:38). Namun, kita tidak boleh beranggapan bahawa Bapa memberikan Anak-Nya sebuah tugas yang tidak sanggup ditanggung oleh-Nya. Pengorbanan Yesus bukan dipaksa; sebaliknya Dia menyerahkan diri-Nya dengan penuh kesedaran dan ketaatan kepada rancangan Bapa. Kita juga tidak boleh menganggap bahawa Anak memaksa Bapa memberikan sebuah penyelamatan yang tidak rela berikan oleh Bapa. Memang benar, Bapa menyerahkan Anak-Nya, tetapi ia juga sama benar bahawa Anak juga menyerahkan diri-Nya sendiri.
Tetapi mengapakah seorang manusia perlu mati dengan cara ini? Lebih spesifik, mengapa mesti Yesus?
Kita boleh menemui jawapannya pada ayat pembuka Ibrani 10, yang memberitahu kita bahawa Hukum Taurat “hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang.” Sesungguhnya, sistem korban dalam Perjanjian Lama adalah “tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun” (Ibrani 10:1). Pengulangan korban itu hanya menunjukkan ketidakberkesanan/kegagalan korban tersebut. Darah lembu dan kambing hanya berguna sebagai petunjuk kepada kedatangan Penebus dan penebusan yang kekal.
Hanya Tuhan sahaja yang mampu menyelamatkan manusia berdosa. Tiada manusia biasa boleh menjadi perantara antara Tuhan yang kudus dan manusia yang berdosa. Maka, pada waktu yang telah ditentukan, “Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah ... mengambil bentuk seorang hamba. Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib” (Filipi 2:5–8).
Sepenuhnya Tuhan. Sepenuhnya manusia. Pekerjaan penebusan-Nya pada kayu salib tidak boleh diulang kerana sifat-Nya yang unik.
Bukan hanya pengorbanan Yesus tidak boleh diulang, tetapi ia juga yang terakhir. Pekerjaan-Nya adalah pekerjaan yang sudah selesai. Kerana kematian-Nya pada kayu salib, kita yang dahulunya “anak-anak yang dimurkai” (Efesus 2:3), “tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini” (ayat 12), kini diterima, diampuni, ditebus, dipulihkan, dimasukkan ke dalam keluarga Tuhan, dan dikurniakan Roh Kudus untuk memenuhi hidup kita.
Hanya berdasarkan satu pengorbanan ini kita dapat berdiri teguh. Jika kita cuba membuat pengorbanan kecil untuk menjadikan diri kita lebih diterima oleh Tuhan, maka kita belum memahami sepenuhnya rancangan Bapa dan pengorbanan Anak. Pengorbanan kita tidak memperoleh kasih kurnia Tuhan; sebaliknya, ia adalah ekspresi bahawa kita telah disentuh oleh kasih kurnia Tuhan.
Mungkin anda terfikir: “Tapi tunggu! Bukankah Alkitab mengajar kita untuk mempersembahkan tubuh badan kita sebagai korban yang hidup?” (Roma 12:1). Ya, benar!—bukan hanya tubuh, tetapi juga bibir, kurnia, dan bakat kita! Namun, pengorbanan ini tidak memperoleh kasih kurnia Tuhan. Sebaliknya, ia merupakan ungkapan bahawa kita telah diselamatkan oleh kasih kurnia Tuhan.
Kebenaran dan kenyataan pekerjaan Yesus yang telah selesai pada kayu salib diterapkan dalam hidup kita melalui Roh Tuhan, yang memberi kesaksian kepada kita dan membaharui hati kita melalui Firman Tuhan. Melalui Alkitab, kita diingatkan tentang keajaiban yang dilakukan oleh Tuhan bagi kita melalui Yesus, dan membawa kita daripada sekadar mempercayai secara intelektual kepada hubungan yang intim dengan Penyelamat—sebuah hubungan yang menyucikan kita dan mengubah kita menjadi mereka “berbuat baik” (Titus 2:14).
Kematian dan kebangkitan Yesus Kristus bukanlah rancangan kedua. Sejak kekekalan, Tuhan Tritunggal telah menetapkan jalan ke Kalvari sebagai jalan keselamatan. Hari ini, tunduklah di hadapan keindahan dan kebijaksanaan rancangan penebusan Tuhan, sambil memohon Roh Kudus membangkitkan hati anda dengan kasih baru kepada “Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia” (Yohanes 1:29).