4 Cara Anda Boleh Menyenangkan Hati Tuhan

Pernahkah anda memikirkan apa yang menyenangkan hati Tuhan? Dalam Efesus 5:10, Paulus menugaskan pembacanya dengan perkara ini: “Maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan.” Yesus Kristus bukan sekadar seseorang untuk dipercayai; Dia ialah Tuhan dan Tuan atas umat-Nya. Dia telah menyelamatkan kita dengan kasih kurnia melalui iman, dan Dia memanggil kita untuk melayani, mengasihi, mempercayai, dan mentaati-Nya (Efesus 2:8–10; Yakobus 2:14–26). Dengan kata lain, kita tidak sepatutnya melihat iman sebagai pakej asas keselamatan, manakala pengabdian sebagai tambahan pilihan. Salah satu tujuan Tuhan dalam penyelamatan ialah agar kita hidup dengan cara yang menyenangkan Penyelamat kita.

Syukurlah, Paulus tidak meninggalkan kita sendirian untuk mencari apa yang dikehendaki oleh Tuhan. Dalam Kolose 1:10–12, ketika dia menceritakan doa-doanya untuk jemaah di Kolose, dia menjelaskan bagaimana cara “hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya.” Cara hidup seperti ini menyeluruh, merangkumi setiap dimensi kehidupan kita. Namun, Paulus khususnya mendoakan empat cara hidup yang dapat membantu kita menyenangkan hati Tuhan.

1. Kehidupan yang Berbuah

Perkara pertama yang didoakan oleh Paulus ialah hidup yang “membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik” (Kolose 1:10). Orang Kristian yang berbuah ialah mereka yang menunjukkan kebenaran Kristus dalam hidup mereka, yang kemudian mengalir dalam pelayanan kasih kepada Tuhan dan sesama.

Sebagai umat Tuhan, kita bersatu dengan Kristus, dan persekutuan ini adalah satu-satunya sumber kehidupan rohani kita. Yesus berkata, “Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa” (Yohanes 15:5). Jika kita ingin menghasilkan buah, kita mesti tetap terhubung secara intim dengan Kristus melalui semua cara yang disediakan oleh Tuhan untuk menyalurkan kasih kurnia-Nya—doa, Firman Tuhan, persekutuan orang percaya, dan sebagainya. Apabila kita tetap di dalam-Nya, Dia bekerja di dalam kita dan melalui kita untuk menghasilkan buah bagi Kerajaan-Nya. Bahkan ketika kita berasa tidak berguna, tidak memadai, atau tidak cekap, Kristus tetap bekerja melalui kita apabila kita tetap di dalam-Nya. Sesungguhnya, Dia mahir menghasilkan buah melalui orang yang lemah.

Begitu juga sebaliknya: tiada bakat semula jadi atau kebaikan hati seseorang dapat menghasilkan buah yang kekal jika orang itu tidak tetap di dalam Kristus. Tiada buah juga dapat ditemui pada mereka yang menganggap Tuhan Yesus sebagai tambahan dalam hidup mereka. Pengakuan iman kepada Kristus daripada orang yang tidak benar-benar tetap di dalam-Nya hanyalah—malangnya—sekadar ucapan kosong, yang akhirnya menghasilkan kehidupan yang tidak dapat dibezakan daripada dunia dan caranya. Namun bagi mereka yang melekat pada Kristus, Roh Kudus pasti akan menghasilkan buah (Galatia 5:22–25).

2. Kehidupan yang Berpengetahuan

Paulus juga mendoakan agar pembacanya menyenangkan hati Tuhan dengan “bertambah-tambah mengenal Allah” (Kolose 1:10).

Apakah jenis pengetahuan ini? Ia bukanlah pengetahuan yang menjadikan seseorang yang penuh dengan maklumat tetapi tidak menghasilkan apa-apa. Sebaliknya, ia adalah “mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah” (Efesus 3:18–19). Fakta, angka, dan falsafah memang penting, tetapi pengetahuan peribadi tentang kekayaan rohani yang mendalam tentang Yesus Kristus adalah sangat diperlukan. Apabila Roh Kudus memberikan kita sekilas pengetahuan tentang siapa Tuhan melalui Injil Yesus, ia mengubah hati kita dan memperbaharui hidup kita. Inilah pengetahuan yang menyenangkan hati Tuhan.

Bahkan ketika kita berasa tidak berguna, tidak memadai, atau tidak cekap, Kristus tetap bekerja melalui kita apabila kita tetap di dalam-Nya. 

Jika anda benar-benar mengasihi seseorang, anda tidak berpuas hati hanya dengan mengetahui tentangnya secara dangkal. Anda ingin mengenali dia dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan Tuhan. Kita sepatutnya ingin “bertambah” dalam pengetahuan tentang Tuhan kerana kita mengasihi-Nya. Kita sepatutnya ingin dan suka mendengar Firman-Nya, kerana itulah cara kita mengenali-Nya. Kita sepatutnya ingin dan suka berkomunikasi dengan-Nya melalui doa, mencurahkan isi hati kita di hadapan-Nya. Pengetahuan yang menyenangkan Tuhan adalah pengetahuan yang lebih jauh, lebih mendalam, dan berusaha mengejar apa yang menyenangkan-Nya—dan Dia menggunakannya untuk mendedahkan kuasa-Nya yang mengubah hidup kita.

3. Kehidupan yang Berkuasa

Paulus selanjutnya mendoakan agar pembacanya “diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan” (Kolose 1:11).

Bagaimanakah kita tahu jika kita hidup menurut kuasa ini? Adakah ia terlihat melalui perbuatan yang kuat dan hebat atau mukjizat yang luar biasa? Tidak, ia ditemui dalam “kesabaran dan kebahagiaan.” Inilah jenis kuasa yang tunjukkan oleh Kristus kepada kita ketika, “untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya,” Dia “menanggung seksa salib” (Ibrani 12:2, penekanan ditambah). Kuasa Tuhan yang ada dalam diri kita membimbing kita kepada ketekunan yang kukuh dan keyakinan yang tenang serta beriman, seperti yang tunjukkan oleh Kristus di Kalvari. Dan inilah jenis kuasa yang rendah hati yang menyenangkan hati Tuhan kita.

Kuasa Tuhan yang ada dalam diri kita membimbing kita kepada ketekunan yang kukuh dan keyakinan yang tenang serta beriman, seperti yang tunjukkan oleh Kristus di Kalvari.

Secara paradoks, kuasa seorang Kristian juga ditemui ketika kita sedar dan mengakui kelemahan diri kita, yang mengajar kita untuk bergantung pada kasih kurnia Tuhan (2 Korintus 12:9–10). Walaupun kita sentiasa lemah dalam diri sendiri, kita boleh sentiasa menemui kuasa Tuhan yang bekerja dalam diri kita. Kuasa-Nya bukan seperti meriam, yang meletup sekali dan akhirnya pudar. Tidak, hidup dalam Kristus bermakna kita dipimpin dari permulaan hingga ke garis akhir oleh kuasa kemuliaan-Nya. Ini adalah sesuatu yang patut kita sambut dengan penuh kesyukuran.

4. Kehidupan Yang Penuh Kesyukuran

Akhirnya, Paulus berdoa agar kita menyenangkan hati Tuhan dengan “mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya” (Kolose 1:12).

Orang yang paling bersyukur akan sentiasa menjadi yang paling bersukacita—dan daripada semua manusia di dunia, umat Tuhan mempunyai alasan paling besar untuk bersyukur. Kita menyedari bahawa dosa kita banyak dan layak dihukum. Tetapi dalam Kristus, kita tidak menerima apa yang sepatutnya kita terima; sebaliknya, kita menerima apa yang telah Kristus peroleh untuk kita. Melalui kehidupan, kematian, dan kebangkitan Yesus, Bapa telah membolehkan kita turut menerima warisan rohani bagi semua umat Tuhan. Kita mempunyai persekutuan dengan Tuhan dan dengan semua umat-Nya, dan kerana itu kita patut dipenuhi dengan rasa syukur yang menyenangkan hati Tuhan.

Tiada hadiah yang lebih besar daripada anugerah hidup kekal yang menjadi milik kita dalam Kristus. Sebagai respons kepada anugerah itu, kita dengan sukacita menyanyi: “Yesus bayar semua! Hutang dosaku!” Tiada panggilan yang lebih tinggi atau lebih menggembirakan daripada mengejar kehidupan dalam Kristus yang penuh dengan buah, pengetahuan, kuasa, dan kesyukuran. Inilah yang menyenangkan hati Tuhan.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Four Ways You Can Please the Lord" oleh Alistair Begg.

返回博客