Kisah Injil tidak berakhir dengan Kristus yang menderita. Ia tidak berakhir dengan Kristus yang disalibkan. Malah, ia tidak berakhir dengan Kristus yang bangkit. Ia berakhir dengan Kristus yang naik, yang adalah Tuhan dan Raja, memerintah dari syurga, menantikan waktu yang telah ditetapkan untuk kedatangan-Nya kembali.
Namun demikian, kenaikan Yesus ke syurga boleh dikatakan merupakan aspek pekerjaan-Nya yang paling jarang diberi perhatian. Orang awam di jalanan mungkin tahu sedikit tentang kelahiran Yesus. Mereka juga mungkin tahu sedikit tentang kematian Yesus. Tetapi jika anda bertanya kepada mereka di mana Yesus berada sekarang atau apa yang sedang lakukan-Nya, kemungkinan besar mereka hanya akan merenung anda.
Namun, kenaikan Tuhan kita Yesus Kristus adalah sangat penting, dan Alkitab mendorong kita untuk fokus pada kenyataan bahawa Dia, sesungguhnya, Kristus yang telah naik ke syurga.
Apa yang Berlaku pada Hari Kenaikan?
Untuk mula memahami kepentingan kenaikan Kristus, kita perlu terlebih dahulu memahami, walaupun secara mudah, apa yang berlaku semasa peristiwa ini. Injil Lukas memberikan catatan berikut:
Kemudian Yesus membawa murid-murid-Nya ke luar kota sehingga Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka. Murid-murid-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka menumpukan masa di Bait Suci untuk memuji Allah. (Lukas 24:50-53)
Dalam satu pengertian, kenaikan menandakan pengakhiran bagi permulaan dan permulaan bagi pengakhiran. Seperti yang dikatakan Lukas dalam jilid keduanya, ia adalah pengakhiran “segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus” (Kisah Para Rasul 1:1, penekanan ditambah). Kristus telah menyelesaikan pelayanan-Nya di dunia, tetapi sebenarnya baru sahaja memulakan pekerjaan-Nya di syurga.
J. I. Packer menggambarkan kenaikan dengan berkata, “Seolah-olah, setelah berjaya menjalankan tugas bagi kepentingan syarikat, Anak itu kini dipanggil kembali ke ibu pejabat untuk menjadi pengarah urusan.”1 Anak telah menjalankan tugas Bapa dan menyiapkan misi yang diberikan-Nya; kini Dia kembali ke syurga untuk menjadi orang kanan Bapa.
Lima Cara Kristus Bekerja Selepas Dia Naik ke Syurga
Kini Yesus telah kembali ke syurga, kita didorong untuk bertanya satu soalan yang sangat asas: Apakah yang sedang dilakukan-Nya? Walaupun pekerjaan-Nya di dunia telah selesai, sudah pasti Dia masih melakukan sesuatu.
Sesungguhnya, Dia melakukan banyak perkara. Skop tugas-Nya, jika kita mahu gambarkan, sangat luas. Senarainya lebih panjang daripada yang boleh dimuatkan dalam satu artikel ringkas, tetapi berikut adalah lima aspek utama pelayanan Kristus pada masa kini.
1. Yesus Kristus Memerintah Alam Semesta
Tuhan Yesus Kristus memerintah dengan berdaulat atas segala sesuatu. Kitab Ibrani menjelaskannya:
Anak itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga. (Ibrani 1:3, penekanan ditambah)
Tuhan kita kembali kepada Bapa-Nya di syurga, dan secara nyata Dia mengatur dunia ini. Itu sepatutnya sudah memadai, bukan? Namun, kita boleh dan sepatutnya tahu lebih tepat dalam memahami apa yang dimaksudkan dengan Kristus memerintah atas segala sesuatu.
2. Yesus Kristus Memerintah Gereja-Nya
Kristus bukan sahaja memerintah alam semesta, tetapi Dia juga memerintah gereja-Nya:
[Tuhan] membangkitkan-Nya [Yesus] daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga. Allah meletakkan Kristus jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang. Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya Kepala semua hal ehwal jemaah. (Efesus 1:20–22)
Tuhan Yesuslah yang menjadi kepala gereja. Para pastor mungkin tergoda untuk berfikir bahawa mereka mempunyai kawalan terhadap jemaah, tetapi pada hakikatnya, setiap pastor hanyalah gembala bawahan dalam pelayanan “Gembala Agung,” Kristus (1 Petrus 5:4).
3. Yesus Kristus Menolong Anggota Gereja-Nya
Yesus Kristus juga secara aktif membantu anggota gereja yang diperintahkan-Nya. Anda akan menemukan penekanan ini di sepanjang kitab Ibrani. (Malahan, Ibrani mungkin merupakan sumber terbaik mengenai pekerjaan Kristus sekarang yang telah naik ke syurga.)
Ibrani 2:18 berkata, “Oleh sebab Dia sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.” Kebenaran yang sama diulangi dalam ayat yang terkenal: “Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa” (Ibrani 4:15).
Yesus bukan sahaja cukup berkuasa untuk menolong kita sebagai Penguasa segala sesuatu, tetapi Dia sebenarnya suka memberkati anak-anak-Nya. Malah, Yesus lebih rela memberkati kita daripada kita yang sanggup meluangkan masa untuk meminta berkat-Nya. Ingatlah bahawa menurut Lukas 24:50, Yesus berpisah dengan murid-murid-Nya sambil tangan terangkat memberkati mereka. Adakah itu gambaran tentang Kristus dalam hidup anda: mampu, bersedia, dan rela memberkati?
Ia adalah dorongan yang sangat menguatkan apabila diingatkan bahawa, “tiada seorang sahabat seperti Yesus yang rendah hati. Tidak, tiada seorang pun! Tidak, tiada seorang pun!”2 Sering kali, dalam saat-saat kesedihan yang mendalam, keputusasaan, atau kesukaran yang kita alami mengingatkan kita betapa penting dan indahnya kenyataan ini: bahawa Kristus adalah penolong kita yang utama, pembimbing kita yang sempurna.
4. Yesus Kristus Berdoa bagi Umat-Nya
Yesus juga berdoa bagi pihak kita. Roma 8:31 bertanya, “Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita?” Jika kita jujur, seperti banyak yang boleh melawan kita! Iblis menentang kita, dan dia adalah penuduh yang hebat. Kadang-kadang, sahabat kita mengecewakan dan menuduh kita. Bahkan hati kita sendiri menuduh kita. Jadi, apakah yang harus kita lakukan? Bagaimanakah Roma 8:31 membawa kesan bagi orang percaya? Di manakah harus kita pandang?
Kita memandang ke atas, kerana kita mempunyai “Pembela ke hadirat Bapa” (1 Yohanes 2:1). Kita memandang Yesus, kerana Dia telah masuk ke syurga “di hadirat Allah untuk kita” (Ibrani 9:24). Dia “berdoa syafaat bagi pihak kita” (Roma 8:34), yang bermaksud Dia campur tangan demi kepentingan kita—dan Dia melakukannya dengan cara yang menjamin kebaikan kita, dengan memastikan apa yang dikorbankan-Nya melalui kematian-Nya untuk kita benar-benar menjadi milik kita.
5. Yesus Kristus Menyediakan Tempat bagi Kita
Akhirnya, pekerjaan Yesus setelah kenaikan-Nya bagi kita bukan sahaja untuk menolong kita pada masa sekarang, tetapi juga untuk menyediakan rumah yang kekal bagi semua umat-Nya:
Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. (Yohanes 14:1–3)
Bagaimanakah Yesus melakukan itu, dan bagaimanakah rupanya? Kita tidak tahu dengan pasti, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu Tuhan kita sedang menyediakan bilik yang lebih daripada cukup bagi semua anak-Nya—dan suatu hari nanti, Dia akan kembali untuk mengumpulkan kita ke rumah-Nya yang kekal di syurga.
Bersama Kita Selama-lamanya
Ya, Yesus meninggalkan dunia, tetapi kenaikan-Nya tidak bermakna Dia tidak hadir. Sebaliknya! Ia sebenarnya bermakna Yesus hadir. Dia tidak hadir secara fizikal kerana Dia duduk di sebelah kanan Bapa di syurga, tetapi melalui Roh Kudus yang diutus selepas kenaikan-Nya (Yohanes 16:7), Dia bersama kita sekarang dan selama-lamanya—‘hingga ke akhir zaman” (Matius 28:20).
Lebih daripada itu, dari tempat-Nya di syurga, “Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi” kita (Ibrani 7:25). Jadi, apabila kita membawa diri ke hadapan takhta Kristus yang telah naik ke syurga dengan perasaan malu, kotor, dan lemah, kita mendapati bahawa itu adalah takhta kasih kurnia—di takhta itu, Dia memberi kita jauh lebih baik daripada yang kita layak terima.
Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/risen-and-ascended-5-ways-jesus-is-still-working dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran.
1. J. I. Packer, Revelations of the Cross (Peabody, MA: Hendrickson, 1998), 56.
2. Johnson Oatman Jr., “No, Not One!” (1895).