Apakah Tujuan Tuhan Bagi Hidup Anda?

Ada waktunya, setiap orang Kristian akan berhadapan dengan persoalan, “Apakah tujuan Tuhan bagi hidup saya?” Apabila ia melibatkan perkara yang lebih khusus, jawapannya akan berbeza bagi setiap kita mengikut konteks dan panggilan masing-masing. Kita perlu menggunakan kebijaksanaan sambil mempelajari Firman Tuhan dengan penuh doa, dan menerapkannya dalam hidup kita. Kebanyakan orang Kristian tidak akan tahu dengan pasti apakah langkah mereka yang seterusnya—yang penting ia mesti dilakukan dengan iman ketika kita taat kepada perintah Tuhan.

Namun, satu perkara yang pasti: apa pun perjalanan unik kita dalam hidup ini, kehendak Tuhan adalah membentuk kita menjadi serupa dengan Anak-Nya, Yesus Kristus.

Dalam Perjanjian Baru, terdapat tiga petikan yang secara khusus menegaskan kebenaran ini. Apabila kita memahami petikan-petikan ini, kita akan mulai mengerti tujuan penyelamatan dan rancangan Tuhan bagi hidup kita, sekarang dan sampai selama-lamanya.

Tujuan Kekal Tuhan

Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya. Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya, maka Anak itu merupakan yang sulung di antara saudara yang ramai. (Roma 8:28-29)

Petikan yang sangat disukai daripada rasul Paulus ini menyatakan tujuan kekal Tuhan. Tuhan telah menetapkan bahawa anak-anak-Nya “menjadi selaras dengan rupa Anak-Nya”—diolah dan dibentuk seperti tukang periuk membentuk tanah liat. Dalam rancangan Tuhan sejak kekekalan, Dia telah menetapkan tujuan-Nya untuk mengubah “mereka yang dipilih-Nya.”

Apabila kita memahami realiti dalam ayat 29, barulah kita dapat memahami ayat sebelumnya yang sering disalahguna: “Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya.” Apakah “kebaikan” yang dikerjakan dan diberikan jaminan oleh Tuhan? Untuk menjadikan kita serupa dengan rupa dan sifat Anak-Nya! Apabila kita memahami hal ini, kita akan sedar bahawa masa-masa sukar pun boleh menjadi kebaikan kepada kita, kerana kebaikan tertinggi yang dikehendaki oleh Tuhan adalah memastikan kita menjadi semakin serupa dengan Yesus.

Sesiapa yang telah lama menjadi murid Kristus yang matang pasti menyedari bahawa kita lebih cepat bertumbuh secara rohani melalui kegagalan dan air mata, berbanding melalui kejayaan dan gelak ketawa. Namun begitu, murid Kristus yang matang pun sering tergoda untuk melarikan diri daripada ujian yang sebenarnya sedang membentuk mereka menjadi semakin seperti Yesus (Yakobus 1:2)—dan apabila mereka melarikan diri, mereka akan terlepas berkat itu. Dalam liku-liku kehidupan, serta dalam kesukaran dan bencanalah, bahagian-bahagian kasar dalam diri kita dibersihkan, dan kita dibentuk menjadi seperti Yesus.

Apabila kita membaca Alkitab dan melihat kisah mereka yang telah diselamatkan, kita terpegun melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan dalam hidup mereka. Mengapakah saksi yang hebat seperti Stefanus harus mati begitu cepat/muda? Mengapakah seorang yang begitu setia seperti Paulus harus menanggung begitu banyak pukulan, penyakit, dan kapal karam? “Mengapa, ya Tuhan?” Jawapan Tuhan begitu mendalam dan juga mencabar: “Aku sedang membentuk mereka menjadi seperti Yesus.”

Proses Berterusan Tuhan

Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan. Tuhan ialah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan. Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan. (2 Korintus 3:16-18)

Petikan kedua daripada rasul Paulus ini menunjukkan bagaimana proses perubahan kita berlaku. Jika kita mengenal Tuhan dan Roh-Nya bekerja dalam diri kita, maka kita “kita diubah menjadi serupa dengan-Nya”—satu pengalaman masa kini. Dalam erti kata lain, tujuan kekal Tuhan sedang berlangsung sebagai proses berterusan dalam hidup setiap kita.

Dalam keseluruhan 2 Korintus 3, Paulus membuat perbandingan antara perjanjian lama dan perjanjian baru—antara kemuliaan Musa yang hanya dipantulkan dan semakin pudar serta perlu diselubungi, dengan kemuliaan yang kini boleh kita pandang terus pada wajah Tuhan Yesus Kristus. Melalui karya Kristus pada kayu salib, Dia telah memberikan kita keistimewaan untuk memandang kemuliaan Tuhan sebagaimana Ia dinyatakan melalui diri-Nya. Dan sebagai hasilnya, kita mulai memancarkan rupa-Nya.

Masa-masa sukar pun boleh menjadi kebaikan kepada kita, kerana kebaikan tertinggi yang dikehendaki oleh Tuhan adalah memastikan kita menjadi semakin serupa dengan Yesus.

“Tuhan ialah Roh,” tulis Paulus—dan pekerjaan Roh Kudus dalam hidup kita adalah sentiasa mengalihkan pandangan kita daripada diri sendiri kepada Kristus. Banyak hal tentang diri kita boleh mengecewakan. Melalui penilaian jujur mungkin kita didapati kurang berdoa, melepaskan peluang berkongsi Injil, mementingkan diri sendiri, dan tidak sanggup berkorban. Dalam keadaan sebegini, apa yang harus kita lakukan?

Kita harus melakukan apa yang dikehendaki oleh Roh Kudus: mengalihkan pandangan daripada diri kita dan memandang kepada Yesus, untuk “fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati” (Ibrani 12:3). Kita mulai mencerminkan imej Yesus apabila kita memandang kemuliaan-Nya yang dinyatakan melalui Injil. Pekerjaan Roh dalam hidup kita ialah meneruskan proses menjadikan kita semakin serupa dengan Penyelamat kita.

Namun, petikan ini juga menunjukkan sesuatu yang lain tentang bagaimana perubahan itu berlaku: kita “diubah menjadi serupa dengan-Nya”—satu pengalaman pasif. Kita bukan mengubah diri sendiri. Roh yang mengubah kita.

Ini bukan alasan untuk berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa. Tuhan tidak menempatkan kita dalam posisi pasif untuk melemahkan kita; Dia melakukannya supaya Dia dapat menggunakan segala sumber yang telah disediakan untuk mencapai tujuan-Nya. Maka Tuhan memberikan kita saluran untuk kasih kurnia-Nya seperti Firman-Nya, persekutuan umat Tuhan, dan sakramen. Anda tidak akan menjadi seperti Yesus tanpa menggunakan saluran yang disediakan oleh Tuhan untuk mengubah anda.

Dengan kata lain, ia bukan bermakna kita akan masuk ke syurga tanpa melakukan apa-apa, atau kita memaksa diri masuk ke syurga dengan tekad kita sendiri. Ia seperti kata Paulus di tempat lain: “Hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu.” (Filipi 2:12–13). Dengan kata lain, kita mengerjakan apa yang Tuhan sedang kerjakan dalam diri kita. Kasih kurnia Tuhan mengajar kita untuk menolak kemungkaran dan hidup dengan benar serta warak (Titus 2:11–12). Itulah seluruh prosesnya. Dan dalam semua itu, Roh Kudus bekerja untuk menjadikan kita serupa dengan Anak Tuhan.

Projek Tuhan yang Disempurnakan

Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar. Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada Kristus akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus itu suci. (1 Yohanes 3:2–3)

Terdapat banyak butiran mengenai destinasi kekal kita yang kita tidak ketahui. Tetapi hal ini kita tahu: “Apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya.” Mengapa? Kerana sejak kekekalan, itulah yang telah ditetapkan oleh Tuhan akan berlaku. Tambahan pula, dalam kehidupan kita sekarang ini, Dia sudah pun mengubah kita. Oleh itu, apabila kita berdiri di hadapan-Nya kelak, segala yang telah dirancang-Nya dan segala yang kita lalui dengan pimpinan-Nya akan mencapai penyempurnaannya yang agung seperti yang dikehendaki-Nya.

ohanes tidak mengetahui butiran yang tepat tentang kesudahan akhir kita, namun dia tetap mengingatkan kita akan kebenaran ini: Kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar. Rasul Paulus mungkin menambah, “Kita tahu bahawa kita akan bersama dengan Dia.” (Lihat 2 Korintus 5:8; Filipi 1:23; Kolose 3:4; 1 Tesalonika 4:17.)

Pekerjaan Roh Kudus dalam hidup kita adalah sentiasa mengalihkan pandangan kita daripada diri sendiri kepada Kristus. 

Betapa luar biasanya janji-janji ini! Namun kita sering tergoda untuk memberi tumpuan kepada perkara yang tidak dikatakan dan diajarkan, lalu sibuk berdebat tentang hal-hal yang sebenarnya tidak perlu kita ketahui. Akibatnya, kita terlepas pandang hakikat bahawa tujuan Tuhan adalah menjadikan kita seperti Yesus—dan itulah pekerjaan yang akan disempurnakan ketika kita melihat Dia kelak! Selebihnya kita boleh nantikan dengan penuh keyakinan dan ketenangan.

Hakikatnya, janji-janji ini adalah pengetahuan tentang masa depan yang kita perlukan bagi menjalani hidup yang suci. Kita akan bersama dengan-Nya, dan kita akan menjadi seperti-Nya. Apa lagi yang kita perlukan untuk membangkitkan semangat kita terhadap keperluan dunia dan peluang mengkhabarkan Injil? Kepastian tentang destinasi ini memberi kita kekuatan untuk hidup taat kepada-Nya, dengan kuasa Roh yang memampukan kita, dengan menyedari bahawa setiap langkah dalam Kristus membawa kita selangkah lebih dekat kepada kekekalan.

Ujian kasih kita kepada Yesus bukanlah sama ada kita mengangkat tangan ketika menyanyi, atau merasa sensasi tertentu, atau apa sahaja ukuran luaran yang cenderung kita pegang. Tidak. Yesus sendiri memberitahu bagaimana kita tahu jika kita mengasihi-Nya: “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya” (Yohanes 14:21).

“Yesuslah teladanku di sepanjang jalanku”

Sebagai orang Kristian, pandangan hidup kita mudah: kita akan menjadi seperti Yesus. Itulah keutamaan kita. Mudah untuk risau tentang apa yang kita akan lakukan esok, di mana kita akan berada, atau dengan siapa kita akan bersama, dan sebagainya. Semua persoalan tentang masa depan ini tidak pasti. Tetapi kita boleh pasti tentang ini: tujuan kekal Tuhan ialah menjadikan kita serupa dengan Yesus. Dan itu seharusnya mengubah cara kita melihat setiap detik dan keputusan hidup—daripada perkara biasa hingga yang luar biasa.

Proses Tuhan dalam perjalanan waktu sedang membawa kita semakin dekat kepada tujuan itu. Dan suatu hari nanti, apabila kita bersama dengan-Nya, kita pasti akan menjadi seperti Dia. Maka hari ini kita boleh menyanyi:

Yesuslah teladanku di sepanjang jalanku.

Yesuslah teladanku di setiap waktu.1

1. NKB187: Nikmat Dunia Menggodaku (I Would Be Like Jesus)

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Be Like Jesus" oleh Alistair Begg.

返回博客