S-E-R–U–N–I Enam Perkataan untuk Membimbing Perkahwinan Anda

(Seruni adalah Nama bunga; mengekalkan tema floral seperti TULIPS)

Antara kata-kata paling penting tentang perkahwinan, rasul Paulus mengaitkan hubungan suami isteri berdasarkan reka bentuk Tuhan dalam penciptaan:

“Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.” Ini adalah suatu rahsia besar — tetapi aku bercakap tentang Kristus dan jemaah.”
(Efesus‬ 5‬:31‬-32‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬)

Ayat pertama daripada dua ayat Alkitab tersebut merujuk kepada Kejadian 2:24, menggambarkan kehidupan pasangan pertama yang hidup dalam damai di taman Eden di hadapan Tuhan dan bagaimana hubungan mereka menjadi pola untuk semua yang menyusul selepas itu.

Ayat kedua pula menjelaskan bahawa sejak awal lagi, Tuhan telah menetapkan perkahwinan sebagai gambaran hubungan Kristus dengan Gereja-Nya. Jadi sewaktu kita berbicara tentang perkahwinan, kita tidak menyentuh ciptaan budaya atau aturan yang mudah. Kita sedang memasuki satu rahsia yang dahulu tersembunyi tetapi kini dinyatakan dengan gemilang di dalam Kristus.

Sewaktu kita berbicara tentang perkahwinan, kita tidak menyentuh ciptaan budaya atau aturan yang mudah. Kita sedang memasuki satu rahsia yang dahulu tersembunyi tetapi kini dinyatakan dengan gemilang di dalam Kristus.

Jika anda ingin perkahwinan anda lebih mencerminkan dan menghormati Kristus, pertimbangkan prinsip-prinsip Alkitabiah berikut, yang boleh dihafal melalui akrostik SERUNI.

S — Sumbernya Tuhan (Theology)

Perkahwinan yang bahagia bermula dengan teologi—dengan Tuhan dan apa yang telah Dia nyatakan tentang institusi yang diberkati ini.

Seperti yang ditegaskan dalam Efesus 5:32, apabila dua orang berdosa yang telah diampuni hidup bersama dalam keharmonian, hubungan itu menunjuk kepada misteri bahawa Tuhan di dalam Yesus mengasihi mereka yang asalnya tidak peduli kepada-Nya.

Dalam hubungan suami isteri, suami mencerminkan kasih Kristus yang menyerahkan diri (5:25–27), dan isteri menunjukkan respons Jemaat kepada Kristus melalui sikap tunduk dan hormat (5:22–24).

Dalam budaya yang hancur dan penuh kepincangan seperti budaya kita hari ini, sepasang suami isteri yang berusaha hidup sebagaimana yang Tuhan kehendaki sebenarnya sedang mempersembahkan satu apologetik yang sangat kuat tentang kasih kurnia Tuhan. Apabila kasih Kristus mendorong dan memperkuat kasih yang saling mereka berikan sebagai suami dan isteri, misteri Injil terserlah dengan begitu jelas.

E — Erat dalam kesatuan (Unity)

Efesus 5:31 dalam terjemahan AVB mengingatkan kita tentang reka bentuk asal perkahwinan seperti yang ditetapkan sejak penciptaan: “Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.” Dari ayat yang penuh makna ini, kita dapat mempelajari beberapa perkara penting tentang kesatuan dalam perkahwinan.

Perkahwinan ialah satu kesatuan yang bersifat sukarela. Anda tidak berkahwin kerana keputusan Kongres, Parlimen atau kuasa luar. Bahkan dalam perkahwinan yang diatur, masih wujudnya ruang untuk meresponi secara sukarela terhadap pilihan atau bimbingan orang lain.

Perkahwinan juga merupakan satu ikatan antara seorang lelaki dan seorang perempuan daripada dua keluarga yang berbeza. Si lelaki meninggalkan keluarganya dan bersatu dengan isterinya, yang berasal daripada keluarga lain. Ia bersifat heteroseksual. Ia bersifat monogami. Inilah perkahwinan menurut Alkitab, dan selain daripada itu bukanlah perkahwinan.

Dari satu sisi, kedua-duanya tetap individu yang mereka dahulu. Namun yang lebih penting, mereka kini menjadi satu daging. Kita cenderung mahu mempertahankan identiti masing-masing: “Ini hidup saya, itu hidup kamu. Kita buat hal sendiri, dan sesekali mungkin kita cuba bersama.” Tetapi itu tidak menggambarkan kesatuan, betul? 

Sebaik sahaja pasangan mengungkapkan janji mereka di hadapan saksi, mereka telah bersetuju atas satu komitmen perjanjian untuk seumur hidup. Setelah anda berkata “Ya”, anda telah memilih jalan itu. Sejak saat itu, Tuhan menghendaki kesatuan satu daging itu kekal hingga ke akhir hayat.

Individu tidak akan hilang dalam perkahwinan, tetapi kehidupan individu itu berubah kerana mereka bukan lagi seperti sebelum ini. Sebaik sahaja pasangan mengungkapkan janji mereka di hadapan saksi, mereka telah bersetuju atas satu komitmen perjanjian untuk seumur hidup. Setelah anda berkata “Ya”, anda telah memilih jalan itu. Sejak saat itu, Tuhan menghendaki kesatuan satu daging itu kekal hingga ke akhir hayat.

R — Rindu dan rela setia (Loyalty)

Teologi yang mendasari perkahwinan dan kesatuan perjanjian yang mengikat pasangan mesti disertai dengan kesetiaan antara suami dan isteri.

Sebelum anda berkahwin, kesetiaan utama anda adalah kepada ibu bapa anda. Ini jelas daripada perintah meninggalkan ayah dan ibu, dan perintah untuk menghormati mereka (Efesus 6:2, merujuk kepada Keluaran 20:12 dan Ulangan 5:16). Namun pada hari anda berkahwin, kesetiaan itu berubah bentuk. Ia tidak memutuskan hubungan kekeluargaan, tetapi ia mengubah keutamaannya secara kekal.

Anda mesti “meninggalkan” secara fizikal, emosi, dan kewangan untuk membina keluarga sendiri, dan ibu bapa mesti bersedia melepaskan pegangan terhadap anak mereka. Di bawah pimpinan Kristus, kesetiaan terbesar seorang suami atau isteri seharusnya kini diberikan kepada pasangan.

U — Usaha memelihara keintiman (Intimacy)

Kesetiaan satu daging itu membawa kepada satu keintiman yang baharu. Susunan Kejadian 2:24 dan Efesus 5:31 (lihat juga Matius 19:5; Markus 10:7-8) sangat penting. Ia menegaskan bahawa janji umum didahulukan sebelum kenikmatan peribadi.

Tuhan menetapkan batas moral yang Dia khususkan supaya kita dapat menikmati keintiman yang sejati dan memuaskan dalam konteks perjanjian yang aman. Satu-satunya tempat yang selamat dan memuaskan untuk hubungan seksual adalah dalam kesetiaan sebuah perkahwinan seumur hidup, bukan dalam hubungan percubaan yang singkat dan tidak menentu.

Jika anda masih bujang dan belum berkahwin, kasih kurnia Tuhan mampu memampukan anda hidup seperti yang Dia kehendaki. Jika anda pernah terlanjur, dan siapa yang tidak pernah terlanjur dalam fikiran, keinginan atau perbuatan? – kasih kurnia Tuhan tetap menawarkan pengampunan dan pemulihan.

N — Niat menjadikan pasangan keutamaan (Priority)

Efesus 5 juga menekankan keutamaan baharu dalam perkahwinan: “Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.” (Efesus‬ 5‬:33‬ AVB)‬‬‬‬‬

Secara ringkas, keutamaan perkahwinan adalah agar kasih Kristus kepada Gereja dapat dilihat dalam kasih seorang suami kepada isterinya, dan penyerahan Gereja kepada Kristus terpapar melalui penghormatan seorang isteri kepada suaminya. Dalam erti kata mudah: suami mengasihi isteri, isteri menghormati suami. Ini sesuatu yang ajaib dan wujud oleh kerana kasih kurnia Tuhan.

Secara ringkas, keutamaan perkahwinan adalah agar kasih Kristus kepada Gereja dapat dilihat dalam kasih seorang suami kepada isterinya, dan penyerahan Gereja kepada Kristus terpapar melalui penghormatan seorang isteri kepada suaminya. Dalam erti kata mudah: suami mengasihi isteri, isteri menghormati suami. Ini sesuatu yang ajaib dan wujud oleh kerana kasih kurnia Tuhan.

Wahai suami, jangan terlalu fokus pada status, hak atau kedudukan anda. Jangan terlebih dahulu menuntut tanggungjawab daripada isteri anda. Sebaliknya, jadikan keutamaan anda untuk mengasihi dan memimpin dia dalam kerendahan hati dan pengorbanan.

Wahai isteri, daripada hanya menumpukan pada kelemahan kepimpinan suami, jadikan keutamaan anda untuk dipimpin dalam kekudusanya dengan hati yang terbuka dan rela. 

I — Ikut hidup dalam kekudusan (Sanctity)

Akhir sekali, keintiman dan keutamaan dalam perkahwinan menjadi asas kepada kesuciannya. Ibrani 13:4 mengikut terjemahan AVB berkata: “Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya.” Kita tidak boleh memandang ringan perkahwinan dan segala keberkatannya.

Anda mungkin tidak menyedarinya apabila memerhati keadaan budaya kita hari ini, namun Tuhan sendirilah yang menetapkan perkahwinan di Taman Eden, dan ia merupakan satu komitmen perjanjian yang sangat mulia.

Jika anda telah berkahwin, ketika anda merenungkan komitmen anda terhadap suami atau isteri, ingatlah bahawa teologi mendasari kesatuan satu daging yang kini anda kongsi. Dalam kesatuan itu, kesetiaan anda antara satu sama lain menjadi sumber keintiman yang mendalam dan berkekalan. Dalam kesetiaan dan keintiman itulah anda ditarik masuk ke dalam kesucian sebuah ikatan yang ditetapkan oleh Tuhan sendiri. Perkahwinan tidak akan sentiasa indah tanpa sebarang cabaran, tetapi dengan pertolongan Tuhan dan mungkin sekali-sekala, sedikit “SERUNI” sebagai peringatan perkahwinan anda boleh menjadi sumber sukacita yang besar.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Marriage: God's Design" oleh Alistair Begg.

Back to blog