Alistair Begg: Bagaimana Mencari Sebuah Gereja

Salah satu isu paling mengelirukan dalam menjalani kehidupan Kristian pada abad ke-21, terutamanya di Amerika, ialah persoalan di mana kita harus pergi beribadah.

Orang percaya baharu yang mencari gereja pertama mereka, orang percaya lama yang berpindah ke tempat baharu, dan juga mereka yang sudah lama berakar dalam satu gereja tetap perlu berdepan dengan persoalan ini secara terus terang.

Ini kerana banyak perkara yang dianggap sebagai “gereja” pada hari ini sebenarnya bukan gereja sebagaimana yang digambarkan dalam Perjanjian Baru.

Oleh itu, jika anda sedang mencari gereja untuk menjadi rumah rohani anda, satu-satunya sumber untuk mengetahui apa yang benar-benar penting ialah Alkitab. Kitab Kisah Para Rasul memberikan kepada kita satu pelan asas tentang kehidupan gereja:

“Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa. Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu. Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka, serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang. Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati, sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.”
(Kisah Para Rasul‬ 2‬:42‬-47‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬)

"Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul..."

Perkara pertama yang kita perhatikan tentang gereja awal adalah komitmen mereka terhadap pengajaran para rasul.

Mereka mendengarnya secara langsung, tetapi pada hari ini, kita memiliki pengajaran yang sama dalam Alkitab. Maka, sebuah gereja yang setia ialah gereja yang berpusatkan Firman.

Tidak perkara lain yang lebih penting daripada ini. Jumlah jemaat yang besar, kepetahan seorang pastor, dan juga pengalaman rohani yang mengujakan tidak sepenting gereja yang berpusatkan Firman.

Gereja awal tidak pernah menjadikan pengalaman peribadi sebagai ukuran iman, suatu kesilapan yang sering berlaku pada zaman ini, kerana Alkitab merupakan alat terpenting yang Tuhan pakai untuk membaharui umat-Nya menurut rupa Kristus. Jika anda membaca keseluruhan Kitab Kisah Para Rasul, anda akan melihat bahawa pemberitaan Firman sentiasa berada di pusat segala sesuatu.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ramai pemberita Firman hari ini menyimpangkan ajaran Tuhan.

Ada kalanya ia dilakukan dengan niat untuk melembutkan hati pendengar, tetapi hati tidak berubah melalui kompromi.

Seorang pengkhutbah mungkin tergoda untuk mencairkan kebenaran tentang dosa dan keperluan bertaubat; ada yang mengurangkan penekanan terhadap kebangkitan semula atau penebusan Kristus, lalu menggantikannya dengan janji palsu tentang kemakmuran atau fokus berlebihan terhadap isu politik.

Ada pula yang tidak mengendahkan teks Alkitab dan berubah menjadi tukang cerita semata-mata. Maka, perkara pertama yang perlu dicari dalam sebuah gereja ialah komitmen kepada ajaran yang benar.

“Mereka berpegang teguh pada…pembahagian roti dan doa...”

Alkitab memperkenalkan dua sakramen atau ketetapan yang diberikan oleh Tuhan Yesus sendiri: baptisan dan Perjamuan Tuhan. Kedua-duanya pasti hadir dalam gereja yang sihat. Ia bukan suatu pilihan, walaupun penyertaan dalam sakramen tidak memberi penyelamatan.

Penyelamatan hanya terdapat dalam Kristus. Air baptisan tidak menyelamatkan, tetapi ia melambangkan penyucian yang datang daripada-Nya. Begitu juga, pembahagian roti dan minum air anggur dari cawan tidak menyelamatkan kita, tetapi ia menggambarkan bahawa kita sudah berada dalam penyelamatan tersebut. Gereja yang baik akan memberikan penjelasan yang jelas tentang makna sakramen-sakramen ini dan bagaimana umat harus menghayatinya. Tambahan pula ke atas sakramen-sakramen, doa juga merupakan satu ciri yang melambangkan sebuah gereja yang sihat.

Gereja yang sihat turut melibatkan doa di dalam ibadahraya mingguan dan menekankan doa peribadi serta doa secara kumpulan.

“Rasa takut memenuhi setiap hati …”

Kita harus bersiap sedia menerima harga yang perlu dibayar ketika mengikuti Kristus. Gereja awal mempamerkan sukacita, rasa hormat, dan kekaguman yang mendalam terhadap Tuhan.

Mereka memahami keagungan dan kekudusan Tuhan yang tiada bandingan, dan pada masa yang sama menyedari bahawa Tuhan tinggal di tengah-tengah umat-Nya.
Yakni, gereja yang setia mengambil berat tentang penyembahan yang penuh hormat. Namun rasa hormat di sini tidak bermaksud bahawa kita terikat kepada gaya muzik tertentu atau struktur liturgi yang kaku.

Setiap ibadahraya seharusnya menjadi perayaan yang penuh sukacita atas segala perbuatan besar Tuhan melalui Tuhan Yesus Kristus. Ibadahraya yang sejati tidak seharusnya menjadi hambar atau lesu.

Memang benar bahawa ketertiban boleh menjadi kaku, dan sukacita boleh menjadi tidak terkawal, tetapi gereja awal tidak menganggap kedua-duanya sebagai sesuatu yang bertentangan, salah satu perkara lazim di kalangan gereja evangelikal zama ini.

Gereja awal dihadiri oleh umat yang kagum akan hadirat Tuhan Yesus, di mana mereka menyembah dengan kekaguman dan sukacita; dalam bentuk yang penuh hormat tetapi tidak membataskan; terdapat struktur tetapi tidak mematikan kehidupan ibadahraya itu sendiri. Alat muzik seperti sangkakala dan simbal dimainkan, suara dinaikkan, dan mereka menyanyi memuji Tuhan.

Gereja awal tidak mengalami satu ledakan emosi kosong, tetapi pernyataan teologi. Dalam gereja yang setia, penyembahan yang berpusat kepada kebenaran dan menggerakkan hati kerana fikiran telah terlebih dahulu dipenuhi kekaguman dan pujian terhadap Tuhan.

“Mereka berpegang teguh pada… persaudaraan, pembahagian...Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka, serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang. Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci…”

Apabila kita mendengar perkataan “persekutuan,” kita mungkin membayangkan masa santai bersama rakan seiman, namun persekutuan mengikut Alkitab membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar acara sosial.

Kita berkongsi dalam hidup yang sama kerana kita berkongsi satu Juruselamat dan telah diperdamaikan dengan Tuhan Bapa melalui Kristus.

Oleh itu, persekutuan dalam gereja berfungsi seperti sebuah keluarga, termasuk keperluan untuk memperbetulkan apabila perlu. Inilah mengambil bentuk disiplin gereja, dan gereja yang sihat akan mengamalkannya demi kebaikan seluruh jemaat dan pemulihan rohani mereka yang menyimpang.

Persekutuan sejati juga merupakan seruan kepada kemurahan hati. Dalam Kisah Para Rasul, kita melihat bagaimana keperluan sebenar dipenuhi melalui pemberian yang berkorban. Gereja yang sihat akan sentiasa berusaha untuk menyokong mereka yang ada keperluan, dengan belas kasihan dan pengorbanan.

“Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan…”

Ketika gereja awal belajar, menyembah, dan berkongsi hidup bersama, mereka tidak mengabaikan penginjilan.

Kisah Para Rasul mencatatkan bahawa bilangan mereka bertambah setiap hari

Namun siapakah yang menambahkan? Kristus sendiri. Dialah Kepala Gereja; hanya Dia yang boleh menambahkan. Tuhan melakukannya melalui pemberitaan Firman, ibadah, dan kesaksian umat-Nya yang membawa berita Injil.

Pada hari ini, terdapat banyak pendekatan manusiawi yang digunakan untuk “menghasilkan” pertambahan. Gereja-gereja tersebut bergantung pada program, strategi, dan teknik dan bukan mempersembahkan doktrin yang betul dan sihat. Saya tidak menolak pengamalan program-program tersebut yang mempunyai niat yang betul, tetapi gereja yang sihat adalah gereja di mana umatnya hidup sebagai duta Tuhan Yesus Kristus dalam dunia.

Jika anda ingin beribadah di sebuah gereja, carilah gereja yang mengagungkan Firman, menghormati sakramen-sakramen dan doa, dan menyembah Tuhan dengan penuh hormat. Carilah persekutuan yang ditandai oleh sukacita dan kemurahan hati, dan penginjilan yang dilakukan dengan setia. Sesungguhnya, itulah yang paling utama.

Artikel ini diadaptasi daripada artikel “Alistair Begg on Finding a Church" oleh Alistair Begg.

Back to blog