Kitab Amos menyampaikan satu kebenaran yang sama rasa pahitnya hari ini seperti pada zaman Amos: iaitu ketika umat Tuhan mula mencontohi budaya yang penuh dengan kejahatan moral, kekayaan duniawi, dan kemunafikan agama, mereka akan menjadi terasing daripada Tuhan mereka. Ketidaktaatan yang berterusan tanpa pertaubatan akan membawa kepada hukuman-Nya (Amos 3:13–15; Why. 2:12–29). Daripada hidup dalam sukacita persekutuan dengan-Nya, mereka yang mengaku diri sebagai umat Tuhan akan mengalami Tuhan berpaling dari mereka kerana dosa yang mereka hargai.
Pesanan ini bukan sahaja untuk Amos. Tentera Yosua mengambil rampasan yang Tuhan telah mengarahkan mereka untuk mengetepikan, dan mereka tewas kepada musuh (Yos. 7:1–12). Pemazmur ingatkan akan generasi padang belantara tidak setia dan ingkar, dan Tuhan menolak mereka serta membiarkan kehancuran menimpa mereka (Mzm. 78:56–62). Yesaya mengingatkan umat tuhan bahawa Dia mendengar dan menyelamatkan mereka; namun dosa mereka memisahkan mereka daripada Tuhan sehingga Dia tidak mendengar mereka (Yes. 59:1–2). Alkitab secara konsisten mengajar bahawa dosa menjarakkan manusia daripada Tuhan.
Pengasingan ilahi merupakan satu ajaran yang sukar, terutamanya bagi mereka yang banyak diajar tentang kasih kurnia Tuhan tetapi mungkin kurang tentang mengapa kasih kurnia tersebut diperlukan dan bagaimana ia tidak boleh disalahgunakan. Oleh kerana ini perkara sukar untuk difahami, kita perlu menumpukan perhatian lebih untuk mengerti dan menurut peringatan Alkitab.
Adakah Tuhan Masih Menghakimi Umat-Nya Hari Ini?
Apabila kita memerhati ayat seperti Amos 3, kita mungkin tergoda untuk berkata bahawa ia tidak relevan lagi setelah karya Kristus selesai. Tetapi pola yang kita lihat dalam Amos, Yosua, Mazmur, dan Yesaya juga muncul dalam Perjanjian Baru.
Pertimbangkan kata-kata Kristus dalam kitab Wahyu mengenai penyembahan berhala, kurangnya kebijaksanaan, dan perzinaan di sesebuah gereja. Mengenai guru palsu di tengah-tengah mereka yang Dia gelar Izebel, Dia berkata kepada umat-Nya: “Aku juga akan meragut nyawa anak-anaknya, supaya seluruh jemaah tahu bahawa Akulah yang menyelami hati dan fikiran manusia. Aku akan memberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan setiap orang.” (Wahyu 2:23 AVB). Sama ada dua ribu tahun lalu atau pada hari ini, umat tuhan tertakluk kepada berkat daripada ketaatan dan akibat buruk daripada ketidaktaatan.
Perbezaan salib tidak bermakna bahawa Tuhan tidak akan menghukum dosa yang berterusan; sebaliknya, Tuhan mengampuni dosa dan memberi kuasa untuk mentaati melalui Roh Kudus yang hadir di tengah-tengah umat-Nya. Mereka yang bersatu dengan Kristus melalui iman boleh yakin akan pengampunan Tuhan sambil mengalami buah pertaubatan dalam hidup mereka.
Namun hal ini benar juga—walaupun sering diabaikan—bahawa Tuhan begitu mengambil berat tentang umat-Nya sehingga Dia tidak dapat menoleransi pemberontakan; Dia mesti menegur sikap acuh tidak acuh mereka; Dia mesti mendisiplinkan mereka seperti seorang bapa yang baik dan penuh kasih mendidik anak-anaknya.
Seperti yang ditulis Alec Motyer, “Kita telah lupa bahawa Tuhan kita boleh berpaling dan menjadi musuh kita (Yes. 63:10) dan dengan semua kata-kata kita untuk tidak jatuh ke dalam kuasa Iblis, kita menjadi buta terhadap kemungkinan yang jauh lebih berbahaya untuk menjauhkan diri dari kuasa Tuhan. Kita mengabaikannya, menafikannya atau melupakannya dengan risiko sendiri.” Didisiplinkan oleh tangan Tuhan yang hidup merupakan sesuatu yang menakutkan.1
Mengapakah ajaran ini begitu tidak selesa? Sebahagiannya boleh disalahkan kepada pengajaran dan pemahaman yang lemah mengenai kasih kurnia dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Ini telah membawa kepada pandangan yang tidak alkitabiah tentang Tuhan, di mana Dia seperti Santa Claus kosmik yang hanya maha baik. “Allah itu kasih” (1 Yoh. 4:8,16), memang—tetapi justeru kerana Dia kasih, Dia tidak menoleransi kuasa dosa yang merosakkan. Dengan satu kata, “Tuhan mendidik orang yang dikasihi-Nya” (Ibr. 12:6). Apabila Tuhan mendidik umat-Nya, ia sentiasa bertujuan mendekatkan mereka kepada-Nya dalam kasih.
Perbezaan salib tidak bermakna bahawa Tuhan tidak akan menghukum dosa yang berterusan; sebaliknya, Tuhan mengampuni dosa dan memberi kuasa untuk mentaati melalui Roh Kudus yang hadir di tengah-tengah umat-Nya.
Tiga Sebab Mengapa Kita Mungkin Mengalami Pengasingan Ilahi
Dengan semua itu, kita boleh belajar banyak daripada amaran Amos bahawa Tuhan menyerahkan Israel kepada musuh serantau mereka untuk ditakluki dan dianiayi. Sangat membimbangkan apabila kita yang mengaku kita mengikuti Kristus sambil mengabaikan peringatan Tuhan dan mengambil kesempatan atas kasih kurnia-Nya. Seperti yang ditulis penulis Ibrani: “Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Anak Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia?” (Ibrani 10:29 AVB)
Kita semua perlu menyedari bahaya pengasingan ilahi supaya kita “berhati-hatilah supaya tidak jatuh.”(1 Korintus 10:12b AVB). Dan kerana peristiwa umat Tuhan dahulu berlaku “merupakan satu ikhtibar … untuk pengajaran kita” (1 Kor. 10:11 AVB), adalah berguna untuk meneliti punca pengasingan ilahi dalam Alkitab supaya kita dapat berjaga-jaga dan mengambil jalan keselamatan yang Tuhan sediakan (1 Kor. 10:13). Dengan nubuat Amos sebagai contoh khusus, tiga faktor patut diberi perhatian:
1. Ketiadaan Kebenaran
Tuhan memberitahu Amos bahawa umat-Nya tidak lagi tahu “berbuat jujur ” (3:10a AVB). Mereka berhenti bertanya, “Apa yang patut dilakukan?” Sebaliknya, mereka bertanya, “Apa yang paling menguntungkan? Keputusan mana membawa hasil material terbaik bagi saya?”
Secara khusus, kita membaca bahawa umat itu menjadi pelanggar terang-terangan dengan menindas orang miskin dan terlibat dalam percabulan, penyembahan berhala, dan hedonisme (2:6–8). Dosa mereka membawa kepada kebutaan moral sehingga mereka tidak lagi dapat membezakan antara baik dan jahat.
Malangnya, hal ini masih berlaku di gereja-gereja zaman ini apabila orang berhenti mencari apa yang benar dan sebaliknya bertoleransi dengan dosa kerana faedah dan kesenangan yang menyertainya. Tuhan telah memberitahu kehendak-Nya melalui Kitab Suci, tetapi sering kita abaikan, menganggap berkat material sebagai tanda persetujuan Tuhan.
Namun bila kita berkata “Ya” apabila Tuhan berkata “Tidak”, menunjukkan kepahitan dan bukan pengampunan, hawa nafsu yang menggantikan kekudusan, keraguan menggantikan kepercayaan, ketamakan menggantikan kemurahan hati, rungutan menggantikan perasaan syukur, kita mengaburkan pandangan kita tentang baik dan buruk serta menjarakkan diri daripada Tuhan. Hidup secara terang-terang menentang kehendak Tuhan yang telah dinyatakan, walaupun membawa kesenangan, akan menghalang kita daripada menerima berkat dan kasih kurnia Tuhan.
2. Ibadah Kosong
Umat Tuhan pada zaman Amos tidak berhenti daripada kegiatan keagamaan. Mereka sibuk dengan perniagaan agama. Mereka mengadakan perayaan kepada Tuhan, perhimpunan kudus, menyanyi pujian, dan mempersembahkan korban (Amos 5:21–23).
Namun Tuhan berjanji akan memusnahkan semua mezbah yang mereka gunakan untuk menyembah-Nya (3:14). Mereka menyangka dapat membenarkan diri di hadapan Tuhan dengan semangat keagamaan, tetapi mereka menunjukkan penghinaan melalui ketidaktaatan. Dalam proses itu, mereka hilang kepedulian untuk mengasihi Tuhan dan menegakkan keadilan.
Kita harus bertanya pada diri sendiri: “Adakah saya mengambil berat tentang perkara rohani?”— dan bukan “Adakah saya terlibat dalam jawatankuasa ini atau itu?” tetapi “Adakah kekudusan, kesungguhan berdoa, dan persekutuan dengan Tuhan menjadi hasrat hati saya?”
Yesaya memberitahu bahawa Tuhan memandang kepada mereka yang “tertindas, yang patah semangat, dan yang takut kepada firman-Ku. (66:2b AVB). Sangat mudah merasa dibenarkan melalui kegiatan agama, tetapi kita dipanggil untuk mencari hanya Tuhan—untuk berpegang hanya kepada Kristus. Aktiviti keagamaan tanpa pengetahuan pengudusan tentang Tuhan hanya akan menekankan lagi jurang antara Tuhan dan umat-Nya.
Hidup secara terang-terang menentang kehendak Tuhan yang telah dinyatakan, walaupun membawa kesenangan, akan menghalang kita daripada menerima berkat dan kasih kurnia Tuhan.
3. Teologi yang Berkompromi
Penyembahan Israel pada zaman Amos menafikan doktrin penting yang Tuhan nyatakan tentang diri-Nya: bahawa Dia tidak terbatas, tidak kelihatan, dan tidak boleh digambarkan melalui imej buatan manusia.
Tetapi untuk mengalihkan kasih orang daripada kerajaan Daud di Yehuda, Raja Yerobeam mendirikan anak lembu emas sebagai imej Tuhan supaya mereka tidak perlu pergi ke Yerusalem (1 Raj. 12:26–28).
Yerobeam jelas merasa keadaan menuntut langkah itu—tetapi hasilnya, Tuhan yang tidak kelihatan digantikan dengan dewa yang kelihatan. Tuhan telah memberi arahan melalui hukum-Nya, tetapi apabila keadaan berubah, mereka memutuskan bahawa Tuhan mesti menyesuaikan diri. Mereka beragama mengikut kehendak sendiri, menentukan siapa Tuhan dan apa yang Dia inginkan.
Masalah yang sama berlaku hari ini apabila umat Tuhan melihat Firman-Nya lalu mula mengubah, mencipta, dan menafsir semula untuk menyesuaikan diri dengan zaman. Ramai berasa mereka berbuat betul, menganggap Tuhan harus begini atau begitu, dan jika tidak mengikut gambaran dan pemahaman mereka, Dia tidak akan baik mahupun benar.
Akibatnya, Kitab Injil menjadi tertakluk kepada kehendak dan keinginan kita dalam bidang sains, politik, atau etika. Apabila kita cuba menentukan Tuhan menurut kehendak kita sendiri dan bukannya menyerahkan pemikiran kepada firman-Nya serta apa yang Tuhan menyatakan tentang Peribadi-Nya, kita melebarkan jurang antara Dia dan kita.
Anak Allah, Dihakimi bagi Pihak Kita
Pengasingan ilahi adalah kebenaran yang pahit tetapi penting. Ia adalah satu-satunya penjelasan yang memuaskan mengenai Kalvari. Pesanan salib adalah, dalam erti kata tertentu, bahawa Tuhan menuntut dan menghukum nyawa Anak-Nya supaya kita dalam Kristus tidak mengalami kehancuran dan kerosakan hidup kita untuk selama-lamanya.
Peristiwa di salib sepatutnya menggoncangkan hati kita, tetapi Tuhan tidak mahu kita merasa kasihan kepada Yesus; Dia mahu kita, melalui kuasa-Nya, bertaubat daripada dosa yang menyebabkan pengorbanan itu perlu. Salib memungkinkan kita mengenal dan mendekat kepada Tuhan melalui iman yang melimpah dalam ketaatan, dan menonjolkan komitmen Tuhan untuk membebaskan kita daripada kuasa dan pengaruh dosa.
Ini merupakan titik penting bagi gereja yang bangkit atau jatuh: sama ada kita hidup dalam ketaatan kepada Firman Tuhan dan merasai tangan berkat-Nya, atau kita terus berpaling daripada-Nya dan mengalami keterasingan daripada kemuliaan Tuhan, kehilangan perlindungan tangan-Nya, dan melemahkan keberkesanan rohani kita sendiri.
Di pihak manakah kita akan berdiri? Adakah kita membuktikan bahawa Roh Kudus menguduskan kita melalui kasih kurnia Tuhan, yang terserlah melalui pertaubatan dan iman? Atau kita akan jatuh kerana tidak mengetahui—atau memilih untuk mengabaikan—kuasa Roh Tuhan yang terkandung dalam Injil Yesus Kristus?
Perintah Yesus kepada murid-murid-Nya tetap benar hari ini: “Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku.” (Yohanes 14:15 AVB)
Semasa kita berjalan dalam ketaatan, Yesus berjanji kita tidak akan keseorangan. Kita akan merasai kasih Bapa ketika Roh Kudus menolong kita mentaati. Melalui cara ini, kita akan mengalami senyuman berkat-Nya dalam hidup kita.
1. Alec Motyer, The Message of Acts: The Day of the Lion, The Bible Speaks Today (Downers Grove, IL: InterVarsity, 1974), 79. ↩︎