Kita hidup dalam zaman yang memandang rendah akan kebenaran dan toleransi dijulang tinggi. Setiap orang mempunyai pendapat sendiri tentang bagaimana untuk mencapai “realiti ilahi”—sama ada itu nirvana, syurga, atau penafian sepenuhnya terhadap yang ilahi, yang akhirnya membawa kepada pemujaan terhadap hal duniawi atau diri sendiri. Sering kali apabila berdepan dengan tekanan budaya seperti ini, yang dapat ditawarkan oleh gereja-gereja kita hanyalah sejenis panduan praktikal atau program bantuan diri yang kurang mendalam dan tidak berlandaskan teologi Kristian yang kukuh dan tersendiri.
Cabaran besar di tengah-tengah tekanan seperti ini ialah untuk memperbaharui komitmen kita terhadap kecukupan Alkitab. Seperti Raja Yosia apabila Hilkia mempersembahkan kepadanya Kitab Hukum Taurat yang baru ditemui semula (2 Raja-raja 22:8–13), kita juga mesti memperbaharui komitmen untuk “hidup mengikuti TUHAN dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, serta ketetapan-Nya dengan segenap hati dan jiwa” (2 Raja-raja 23:3).
Apabila Alkitab itu disingkirkan, kita tidak lagi mempunyai tempat untuk berpijak; kita hanya hidup dengan nilai moral semata-mata, kata-kata kosong, padangan-pandangan keagamaan, agenda tertentu, dan konsep untuk kesejahteraan budaya—semua ini akhirnya akan menghampakan kita. Jadi apakah penawarnya? Kembali semula kepada Alkitab dan di situ kita akan menemui pembaharuan akan keyakinan kita terhadap firman Tuhan yang Kudus.
Paulus membincangkan secara terus terang tentang kecukupan Alkitab dalam 2 Timotius 3:15–4:1. Di situ kita boleh mengenal pasti tiga perkara yang membuktikan bahawa Alkitab itu memadai.
1. Keselamatan
Pertama sekali, Alkitab mampu memberikan seseorang “kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Kristus Yesus” (2 Timotius 3:15). Dengan kata lain, Alkitab adalah sebuah kitab tentang Yesus. Dalam Perjanjian Lama, Yesus dijangka akan datang. Dalam Injil, Yesus menjadi manusia. Dalam Kisah Para Rasul, Yesus diberitakan. Dalam Surat-surat, Yesus dijelaskan dengan terperinci. Dan dalam Wahyu, Yesus dinantikan.
Pada hari ini, pelbagai dakwaan tentang kebenaran bersaing untuk menarik perhatian kita dan, akhirnya, mempengaruhi iman kita. Namun halangan terbesar kepada orang Kristian bukanlah seperti yang disangka ramai. Ramai menganggap ia datang dari luar—dari sekularisme atau agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, atau Islam. Sebenarnya, halangan terbesar datang dari dalam—daripada penyampaian ajaran agama yang umum, teori psikologi, dan agenda politik, bukannya daripada anugerah keselamatan Injil. Kita merugikan diri sendiri apabila kita kurang yakin dengan kecukupan Alkitab.
Halangan terbesar datang dari dalam—daripada penyampaian ajaran agama yang umum, teori psikologi, dan agenda politik, bukannya daripada anugerah keselamatan Injil. Kita melemahkan diri sendiri apabila kita kurang yakin dengan kecukupan Alkitab.
Melalui Alkitab, Tuhan datang kepada kita dalam kedangkalan kita dan kesesatan kita, dan menggunakan kuasa mukjizat-Nya untuk menyelamatkan jiwa kita (1 Petrus 1:23; Yakobus 1:21). Melalui Alkitab, Dia memampukan orang buta melihat dan orang tuli mendengar. Alkitab mencukupi untuk iman kita sepenuhnya.
Dalam Yohanes 6:68, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal.” Itulah semangat yang sangat kita perlukan dalam gereja kita hari ini: Di manakah lagi kita boleh pergi selain kepada Firman yang telah menjadi manusia, yang dinyatakan kepada kita melalui firman yang tertulis, untuk mempelajari kebenaran mulia tentang iman kita?
2. Perubahan Hidup
Dalam 2 Timotius 3:16–17, kita melihat bahawa Alkitab tidak hanya mencukupi untuk keselamatan tetapi juga untuk perubahan hidup selanjutnya:
Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah , dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.
Pernyataan ringkasan yang hebat ini menunjukkan bahawa Alkitab amat penting untuk kematangan rohani dan keberkesanan dalam pelayanan. Paulus mengingatkan Timotius bahawa asas bagi manfaat Alkitab terletak pada ilhamnya. Ia sangat bermanfaat bagi kita kerana ia tidak seperti mana-mana buku lain di dunia ini: ia adalah theopneustos, “diilhamkan oleh Allah.”
Jika kita percaya kepada kecukupan Alkitab, maka gereja kita mesti mengabdikan diri pada amalan-amalan yang boleh membawa perubahan hidup, iaitu pengajaran, teguran, pembetulan, dan pendidikan dalam kebenaran—semuanya berdasarkan dan selaras dengan Alkitab
Mengajar
Para pemimpin muda sering mendapatkan nasihat daripada pastor yang lebih berpengalaman, bertanya, “Apakah kunci untuk pelayanan yang berkesan? Di manakah seorang pastor harus menumpukan masa dan perhatiannya?” Jawapan yang layak tetap sama: Ajarkan Alkitab! Mungkin kedengaran mudah atau biasa sahaja, tetapi ia tetap benar dan mendesak: Alkitab bermanfaat untuk mengajar iman, dan ia adalah kunci kepada segala pelayanan yang berkesan.
Menegur
Alkitab juga bermanfaat untuk menegur—untuk membetulkan kesilapan, dengan rendah hati menunjukkan perkara yang telah tersasar. Ini bukan bermakna menegur kesilapan harus menjadi keseluruhan agenda kita. Itu bukan maksud Paulus. Dia berkata bahawa melalui penerangan Alkitab, orang bukan sahaja akan semakin mengasihi Kristus dan digerakkan untuk membaharui komitmen iman; tetapi kehidupan mereka juga akan diselaraskan dengan kebenaran firman Tuhan. Kesilapan dalam kepercayaan, seperti kesilapan dalam tingkah laku, mesti ditegur—tetapi sentiasa dengan kasih dan kebaikan yang tulus.
Membetulkan
Selain memberi amaran kepada sesama kita tentang jalan yang salah, kadang-kadang kita perlu membetulkan haluan. Jika kita sentiasa menekankan masalah tanpa menawarkan penyelesaian, kita tidak akan banyak membantu. Bagi para pastor, cara terbaik untuk membimbing orang ke jalan yang lebih baik adalah dengan berkhutbah secara ekspositori melalui Alkitab. Berkhutbah secara topikal boleh menjadi bahaya kerana kita berkhutbah tentang perkara yang paling mudah bagi kita—seperti “pencuci mulut manis” yang sedap rasanya—dan kita akan mengabaikan “sayur brokoli,” iaitu nutrisi yang kita perlukan tetapi mungkin jarang kita ingini.
Mendidik ke Arah Kebenaran
Mendidik ke arah kebenaran berjalan seiring dengan pembetulan. Kita memerlukan panduan positif untuk kehidupan Kristian. Syukurlah, kita mempunyai Alkitab sebagai panduan kita. Biarlah ia menjadi makanan anda! Biarlah ia menjadi peta hidup anda! Segala yang anda perlukan ada dalam Alkitab ini. “Biarlah sabda Kristus menetap dalam dirimu,” sebagaimana hidangan yang menyelerakan dan berkhasiat (Kolose 3:16).
3. Pengisytiharan
Kecukupan Alkitab bagi umat Tuhan membawa Paulus untuk memberikan amanat yang agung kepada Timotius. Lagipun, ini adalah surat terakhir Paulus—dan dia menyedarinya (2 Timotius 4:6). Jika anda menulis surat terakhir kepada seseorang, tentu anda akan menulis perkara yang paling mendesak dalam fikiran anda. Jadi, apakah yang dikatakan Paulus ketika memasuki bahagian terakhir dalam surat terakhirnya?
Di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: Beritakanlah firman Allah. (2 Timotius 4:1-2)
Alkitab tidak hanya mencukupi untuk mempersiapkan orang dan membawa mereka kepada keselamatan, tetapi juga untuk membangunkan gereja. Anda boleh mengumpulkan ramai orang dengan pelbagai cara, tetapi gereja berkembang melalui firman Tuhan. Oleh itu, mereka yang dipanggil dengan keistimewaan untuk berkhutbah telah dipanggil untuk menjalankan tugas yang berat dan penting.
J. I. Packer menulis bahawa khutbah Kristian ialah “sebuah peristiwa yang Tuhan menyampaikan kepada pendengar sebuah mesej berasaskan Alkitab, berkaitan dengan Kristus, dan memberi kesan kepada kehidupan, berupa pengajaran dan panduan daripada-Nya melalui kata-kata seorang jurucakap.” Apabila kita menggunakan definisi ini sebagai piawaian, jelas bahawa tidak setiap persembahan di belakang mimbar boleh dikatakan sebagai khutbah yang sejati.
Banyak gereja dibimbing oleh penceramah yang fasih dan pandai bercakap, tetapi kurang keyakinanyang takut akan Tuhan. Pendekatan oleh pengkhutbah sebenarnya sering melemahkan harapan jemaah bahawa Tuhan akan berbicara melalui firman-Nya. Mata dan telinga mereka tertumpu pada si penyampai, bukan kepada Tuhan. Tiada rasa kuasa Roh Kudus yang menggetarkan hati. Tiada pengalaman merasa tersentuh sampai berkata, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?” (Kisah Para Rasul 2:37). Untuk menjadikan khutbah yang mengubah hidup, jemaah mahupun pengkhutbah mesti datang dengan doa dan penuh pengharapan untuk mendengar daripada Tuhan melalui penyampaian firman-Nya yang cukup.
Hanya firman Tuhan yang dapat membimbing kita di jalan yang benar.
Hanya firman Tuhan, yang disampaikan dengan kuasa
yang diilhamkan oleh Roh Kudus, yang dapat membangunkan umat Tuhan.
Hanya Alkitab Sahaja
Jika kita ingin melihat orang yang tidak percaya diselamatkan, orang percaya dibina dalam iman, dan nama Yesus dimuliakan secara nyata sebagai kepala gereja-Nya, maka kita amat memerlukan pembaharuan komitmen terhadap kecukupan Alkitab. Hanya firman Tuhan yang dapat memenuhi kita dengan pengetahuan dan kasih yang sejati kepada Kristus. Hanya firman Tuhan yang dapat membimbing kita di jalan yang benar. Hanya firman Tuhan, yang disampaikan dengan kuasa yang diilhamkan oleh Roh Kudus, yang dapat membangunkan umat Tuhan.
Kebenarannya, kita tidak akan berkembang maju—malah mungkin hanya mampu bertahan—di tengah-tengah pengaruh budaya sekular melainkan kita berpegang teguh pada firman Tuhan yang diilhamkan-Nya. Semoga kita semua memohon kepada Tuhan untuk memenuhi hati kita dan gereja kita dengan kasih kepada Kristus melalui Alkitab. Dan semoga kita berkomitmen untuk terus berdoa sehingga Tuhan menyalakan semangat dalam diri kita yang mendalam terhadap kecukupan mutlak Alkitab-Nya.
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah bertajuk “Sufficiency of the Word” oleh Alistair Begg.