Ramai di antara kita sangat jinak dengan Doa Bapa Kami, satu siri ayat dalam kedua-dua kitab Matius dan Lukas di mana Yesus memberi murid-murid-Nya contoh doa untuk dipakai dalam kehidupan mereka sendiri. Dalam doa ini, Yesus mengingatkan kita betapa pentingnya bergantung pada Tuhan untuk keperluan fizikal kita yang paling asas serta untuk berseru kepada-Nya untuk keperluan rohani kita yang utama—iaitu, pengampunan:
“Ampunkanlah dosa-dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami; janganlah biarkan kami tergoda.” (Lukas 11:4)
Pengampunan adalah pesanan yang indah. Walaupun pandangan dunia lain hanya menawarkan moralisme atau percubaan untuk menyucikan diri atau melakukan yang terbaik, agama Kristian adalah pesanan untuk mereka yang tidak layak, sesat, terbeban, dan berdosa.
Namun, jika kita tidak berhati-hati, kita boleh terjerumus ke dalam pelbagai salah faham tentang sifat sebenar pengampunan—mitos-mitos yang, puji Tuhan, Alkitab membantu kita untuk menyingkirkannya.
Mitos #1: Kita Hanya Perlu Diampuni Sekali
Apabila orang percaya yang mendalami kata-kata Yesus di sini, satu soalan yang pasti menyusuli adalah: “Jika saya telah diampuni sekali dan untuk selama-lamanya dengan beriman kepada Yesus Kristus, mengapa saya perlu terus berdoa untuk memohon pengampunan?”
Jawapan Alkitab untuk soalan ini sangat mudah. Alkitab mengajar kita bahawa apabila lelaki dan wanita percaya kepada Kristus, bertaubat daripada dosa mereka, dan menerima Injil dengan bebas, dosa tidak dihapuskan dari hidup mereka. Walaupun kuasa dosa telah hancur, kita masihtetap akan berdosa. Kita masih tidak mencapai standard yang ditetapkan Tuhan.
Adakah ini bermakna apabila kita berdosa, kita kehilangan penyelamatan kita, hubungan kita dengan Tuhan putus, dan oleh itu perlu memulakan seluruh proses tersebut sekali lagi supaya hukuman itu boleh dielakkan? Tidak sama sekali! Apabila orang percaya berdosa, hubungan kita dengan Tuhan sebagai Bapa kita tetap kekal. Apa yang terjejas ialah sukacita kita dalam hubungan itu.
Mencerminkan gaya hidup orang Kristian yang telah bertaubat, Yohanes Calvin menulis seperti berikut:
Selagi kita tinggal di dalam penjara tubuh ini, kita mesti terus bergelut dengan kelemahan-kelemahan sifat kita yang rosak, maka dengan jiwa kita sendiri. … Kehidupan seorang Kristian adalah usaha berterusan dan latihan dalam mematikan keinginan daging, sehingga ia benar-benar dilenyapkan, dan Roh Tuhan memerintah dalam diri kita.1
Dalam kitab 1 Yohanes, rasul Yohanes menyatakan hasrat bahawa kita yang mengikuti Kristus akan memandang dosa dengan serius. Dalam 2:1, dia bahkan berkata, “Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa.” Tetapi jika kita melakukan dosa, dia terus berkata, “Kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Bapa, iaitu Yesus Kristus Yang Benar itu,” yang “korban pendamaian bagi dosa kita.” Kita mempunyai seorang yang membela kita di hadapan Bapa, sehingga apabila Bapa mengetahui bahawa kita telah melakukan dosa, Yesus berkata, “Aku mati untuk dosa itu, Bapa. Jangan hitungkan itu terhadapnya.”
Itulah sebabnya sangat penting untuk kita berdamai dengan Tuhan tanpa berlengah. Dengan mengakui dosa-dosa kita apabila kita menyedarinya, kita diperkasakan untuk hidup dalam persekutuan dengan Tuhan dan dengan hati nurani yang suci. Selepas itu, dengan rasa syukur, kita dapat mengalami kehidupan Kristian yang “mendapat sepenuh keredaan-Nya.”2
Mitos #2: Tuhan Mengampuni Kita Kerana Kita Mengampuni Orang Lain
Beberapa orang membaca kata-kata doa Yesus dalam Lukas 11:4 secara terbalik: “Ampunkanlah dosa-dosa kami, kerana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami.” Dengan kata lain, “Kami telah cemerlang dalam hal pengampunan, jadi mudah-mudahan Engkau akan mengampuni kami juga, Tuhan.”
Walau bagaimanapun, apa yang kita temui dalam Alkitab ialah orang yang diampuni harus menjadi orang yang mengampuni, dan bukan sebaliknya.
Pengampunan berpunca dari kasih karunia Tuhan, bukan dari pahala manusia mana pun, dan sudah tentu bukan hasil daripada usaha peribadi dalam percubaan menjadi pemurah dan pemaaf kepada semua orang.
Apabila kita menganggap betapa besarnya pemberontakan kita terhadap Tuhan, ia memberikan perspektif baru atas kesalahan orang lain ke atas kita. Itulah sebabnya, dalam Matius 18, Yesus menjawab soalan Petrus, “Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” dengan menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali.”3 Dia tidak memberikan jumlah sebenar kepada Peter. Dia berkata, “Bagaimana dengan jumlah kali yang tidak akan pernah anda lakukan?”
Selepas menjawab soalan Petrus, Yesus terus menceritakan contoh untuk menggambarkan maksud-Nya:
Kerana kerajaan syurga seperti yang berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya. Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak sepuluh ribu talenta dibawa menghadapnya. Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu. Hamba itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.’ Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya.
Anda akan berfikir bahawa lelaki ini, setelah dibebaskan daripada hutang yang begitu besar—yang berjumlah berjuta-juta ringgit pada zaman kita—akan sangat teruja dengan berita ini sehinggakan apa pun duit yang dia ada, dia akan bersukacita untuk mendermakannya kepada orang ramai di jalanan. Namun perhatikan apa yang berlaku sebaliknya:
Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang dinar kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, ‘Bayar semua hutangmu.’ Rakannya itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.’ Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya.”4
Tidak dapat dibayangkan bahawa kita, yang telah diampuni hutang yang begitu besar, akan gagal untuk mengampuni orang lain yang kita berasa berhutang kepada kita kerana apa yang mereka telah lakukan kepada kita. Mengapuni bukanlah ganjaran Tuhan kepada kita kerana mengampuni orang lain. Sebaliknya, dalam pengampunan dosa orang lain terhadap kita, kita mempamerkan penemuan pengampunan kita dalam Kristus.
Mitos #3: Pengampunan Adalah Perasaan
Dalam kitab Efesus, Paulus mendorong para pembacanya, “Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.”5 Ungkapan kecil di penghujungnya, “sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus,” adalah sangat penting. Ia memberitahu kita bahawa kita harus mencontohi ungkapan pengampunan kita selepas pengampunan Tuhan sendiri terhadap kita. Dan seperti yang diajar oleh Alkitab kepada kita, pengampunan datang kepada kita daripada Tuhan bukan sekadar luahan hati-Nya—walaupun ia begitu —tetapi sebagai janji firman-Nya.
Jadi, jika pengampunan Tuhan terhadap kita adalah untuk menjadi model pengampunan kita terhadap orang lain, maka pengampunan kita bukanlah untuk menimbulkan perasaan. Ini mengenai komitmen pada suatu janji.
Apabila kita mengampuni orang lain, hal itu harus disertai dengan komitmen berlipat tiga kali ganda: “(1) Saya tidak akan mengungkitkan perkara itu kepada kamu lagi, (2) Saya tidak akan menceritakannya kepada orang lain, dan (3) Saya tidak akan mengungkitkannya kepada diri saya sendiri.” Pendekatan ini jauh berbeza daripada apa yang kebanyakan kita fikirkan apabila kita mengatakan kita mengampuni satu sama lain. Saya tidak mengampuni saudara saya dari hati saya jika saya bersedia untuk mengungkitkan perkara itu secara spontan.
Sekarang, ini bukan untuk mengatakan bahawa pengampunan hanya sekadar dalam pemikiran. Ia bukan sesuatu yang melibatkan minda kita sahaja; ia juga melibatkan hati kita. Di akhir perumpamaan tentang hamba yang tidak berbelas kasihan itu, selepas menceritakan hukuman yang dihadapi oleh hamba itu, Yesus memperingatkan murid-murid-Nya, “Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.”6
Ungkapan pengampunan kita mestilah ikhlas. Kita tidak dipanggil hanya untuk mengeluarkan kata-kata yang betul. Sebaliknya, kita harus menyampaikan kepada satu sama lain bahawa kita mengampuni satu sama lain dengan sepenuh hati—dan bukan hanya kerana kita merasakan begitu, tetapi kerana keinginan yang ikhlas untuk menyenangkan Tuhan yang telah mengampuni kita.
Mitos #4: Pengampunan Bermaksud Tiada Akibat
Pengampunan membawa bersamanya rasa kebebasan yang penuh sukacita. Tetapi ini tidak bermakna apabila kita mengampuni seseorang, mereka tidak akan menghadapi akibat. Contohnya, saya mungkin mengampuni anak saya kerana memandu secara melulu, tetapi dia masih akan membayar denda saman. Hakikat bahawa terdapat hukuman tidak sama sekali bermaksud pengampunan saya dihiraukan. Saya boleh mengmapuni seseorang; dia masih menghadapi akibatnya.
Dengan cara yang sama, kita mesti berhati-hati untuk menyedari bahawa dosa kita mungkin meninggalkan kemudaratan atas orang lain—kemudaratan yang memerlukan pembalasan.
Ada satu kisah tentang seorang budak yang derhaka dan bapanya. Setiap kali budak itu melakukan kesalahan, bapanya keluar ke bangsal di belakang rumah dan memalu paku besar ke pintu bangsal. Suatu hari budak itu datang kepada bapanya dan berkata bahawa dia mahu semua kesalahannya diampuni, dibersihkan, dihapuskan. Ayahnya bersetuju, dan bapanya mengambil tukul dan mula mengeluarkan paku satu persatu sehingga semuanya dikeluarkan. Sejurus kemudian pada sebelah petang, bapanya mendapati budak itu duduk di luar pintu bangsal, dengan air mata yang berterusan. Apabila dia bertanya jika ada apa-apa yang mengganggunya, budak itu berkata, “Nah, paku sudah hilang, tetapi saya masih dapat melihat parutnya di pintu.”
Kita semua masih perlu mengharungi hidup setiap hari. Ya, Tuhan akan mengampuni dosa kita dan mencabut paku-paku, tetapi ramai di antara kita masih akan hidup dengan parut yang tertinggal di pintu. Walaupun begitu, kewujudan akibat tidak menghilangkan realiti pengampunan yang penuh sukacita. Pertimbangkan berita baik yang dinyatakan Alkitab: walaupun kita semua berhutang kepada Tuhan, dan tidak seorang pun daripada kita dapat membayar balik hutang kita, ia sebenarnya telah dilunaskan melalui korban pendamaian Kristus bagi semua orang yang percaya kepada-Nya. Dia menderita akibat penuh dosa bagi pihak kita. Kerana kita telah diampuni, kita hendaklah mengampuni dosa orang kepada kita. Ini membolehkan kita menghayati jaminan pengampunan kita sendiri.
“Ampunkanlah dosa-dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami.” Alangkah indahnya harapan kita dalam kata-kata ini!
___________________
1. Yohanes Calvin, Institut Agama Kristian, ed. Yohanes T. McNeill, terj. Ford Lewis Battles (Philadelphia: Westminster, 1960), 1:614–15.↑
2. Kol 1:10.↑
3. Mat. 18:21-22.↑
4. Mat. 18:22–30.↑
5. Ef. 4:32.↑
6. Mat. 18:35. Penekanan ditambah.↑