Pertaubatan adalah doktrin utama iman Kristian. Dari seruan Yohanes Pembaptis di padang gurun dalam Injil (Mat. 3:2, Luk. 3:3, Kis. 26:20) dan seterusnya, ia merupakan topik lazim di dalam pengajaran Perjanjian Baru. Sebenarnya, sejurus selepas kebangkitan-Nya, Yesus memberitahu murid-murid-Nya, “Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yeursalem” (Luk. 24:46–47). Seruan untuk bertaubat, Tuhan berfirman, merupakan bahagian asas dalam pengisytiharan Injil.
Namun begitu, ramai orang Kristian nampaknya tidak memahami apa itu pertaubatan, malah mereka yang percaya ia penting cenderung untuk menerima gambaran yang tidak lengkap. Beberapa gereja yang gelap dan suram sentiasa mendesak jemaat mengaku dosa mereka tetapi tidak pernah menawarkan penawar yang mencukupi. Orang lain menggesa kita untuk “melepaskan dan membiarkan Tuhan,” dengan betul memperlakukan Yesus sebagai penawar kepada kesunyian dan ketiadaan tujuan tetapi tidak pernah benar-benar menghadapi masalah utama yang Dia datang untuk menangani: dosa kita.
Berbeza dengan kedua-dua gambaran yang tidak lengkap itu, pertaubatan alkitabiah adalah perubahan kehidupan pada dasarnya yang memerlukan seseorang berpaling daripada dosa dan berpaling kepada Tuhan. Ia melibatkan kedua-dua perubahan fikiran dan hati serta perubahan tingkah laku. Apabila kita semakin memahami apa itu pertaubatan, kita boleh mula memahami kepentingannya untuk perjalanan Kristian kita dan bertanya kepada diri sendiri soalan utama: “Adakah saya benar-benar bertaubat?”
Pertaubatan Alkitabiah Bermaksud Berpaling dari Dosa
Manusia berdosa. Kita semua hidup mengikut kepentingan nafsu sendiri melainkan Tuhan memperbaharui hati kita. Walaupun mungkin terdapat komponen keagamaan dalam kehidupan kita—kita mungkin kerap menghadiri gereja atau melakukan kerja-kerja yang baik—pada intinya kita masing-masing menempuh jalan kita sendiri (Yes. 53:6). Tetapi jika kita menemui kekudusan Tuhan yang dinyatakan dalam hukum dan perintah-Nya, kita akan menyedari bahawa kita tidak memenuhi piawai kehidupan Tuhan yang sewajarnya. Oleh kerana itu, kita berdosa di hadapan-Nya.
Adalah perkara biasa pada hari ini untuk menganggap bahawa sebarang rasa bersalah adalah tidak produktif dan salah. Walaupun terdapat rasa bersalah secara patologis yang kita perlu dibebaskan, kita juga sememangnya menanggung rasa bersalah yang sebenar di hadapan Tuhan. Apabila kita merasakan rasa bersalah ini, kita tidak seharusnya mengabaikannya, dan kita tidak sepatutnya berfikir bahawa kita telah melakukan dengan secukupnya hanya melalui mengalaminya. Kita perlu bertindak balas terhadapnya. Memahami kesalahan kita membuka pintu kepada kemungkinan pengampunan dan pembebasan apabila kita berpaling dari dosa yang membuat kita bersalah pada mulanya.
Tanggapan alkitabiah terhadap rasa bersalah melibatkan perubahan dalaman dahulu sebelum perubahan luaran. Pengakuan Westminster menggambarkan hal ini dengan baik apabila ia menyatakan, “Seorang yang berdosa, dari segi pandangan dan indera, bukan sahaja dari segi bahaya, tetapi juga dari kejijikan dosa-dosanya, sebagai bertentangan dengan sifat kudus dan hukum Tuhan yang benar, dan atas pemahaman akan belas kasihan-Nya dalam Kristus kepada orang-orang yang bertaubat, sehingga berduka atas dosanya, dan membenci dosanya…” Ini adalah tindak balas dalaman terhadap dosa, suatu perubahan dalam pandangan dan kasih sayang. Dan ia mengakibatkan perubahan tingkah laku: “… sehingga berduka atas dosanya, sehingga berpaling dari semuanya itu.” Pertaubatan, dalam erti kata lain, adalah lebih daripada sekadar kesedihan kerana telah ditangkap atau menyesali pilihan yang salah pada masa lalu. Dukacita ilahi untuk dosa kita akan menyebabkan kita membenci dosa dan berpaling daripadanya serta berusaha untuk melakukan yang benar (2 Kor. 7:10).
Pertaubatan Alkitabiah Bermaksud Berpaling kepada Tuhan
Sudah tentu, kita mungkin memahami kesulitan kita di hadapan Tuhan, sampai ke titik penyesalan, dan menolak dosa kita yang sebelum ini tetapi tidak bertaubat dengan sepenuhnya. Tidak cukup untuk hanya kita berpaling dari dosa; kita juga harus berpaling kepada Tuhan. Semasa Pengakuan Westminster meneruskan ertinya pertaubatan, ia mengatakan perkara ini: “Seorang pendosa … berdukacita, dan membenci dosa-dosanya, sehingga berpaling dari semuanya kepada Tuhan, dengan niat dan usaha untuk berjalan bersama-Nya dalam ketaatan.”
Dosa bukanlah masalah yang manusia boleh atasi dengan kuasa mereka sendiri. Alkitab menggambarkan kita sebagai mati dalam dosa-dosa kita dan secara semula jadi layak menerima murka Tuhan (Ef. 2:1, 3). Melainkan jika Tuhan dalam anugerah-Nya menarik kita kepada diri-Nya dan menghidupkan kita dalam Kristus (Ef. 2:5), memperbaharui fikiran kita (Rm. 12:2) dan mengubah kita menjadi ciptaan baru (2 Kor. 5:17), dosa akan terus membelenggu kita, tidak kira betapa banyak kita berusaha untuk membebaskan diri. Akhirnya, berpaling dari dosa tanpa berpaling kepada Tuhan hanya menghasilkan kekecewaan. Sangat berbahaya untuk melibatkan diri dalam pelbagai jenis usaha agama tanpa mengalami perubahan sebenar, mengekalkan rasa kemerdekaan yang celaka daripada Tuhan walaupun kita berjuang untuk mengatasi dosa. Ia adalah satu kesusahan yang dahsyat.
Pertaubatan ikhlas memerlukan kita mempercayakan diri kita dengan sepenuhnya kepada satu-satunya yang dapat menyelamatkan kita. Pengetahuan tentang kekudusan Tuhan seharusnya menghasilkan bukan sahaja rasa bersalah tetapi juga, dan lebih menakjubkan, pemahaman Injil: bahawa Tuhan Yesus telah mati untuk menjadi Juruselamat kepada mereka yang tahu bahawa diri mereka bersalah. Itulah sebab Injil merupakan berita baik. Kita tidak dibiarkan sendirian untuk cuba hidup dengan suci kerana perkara tersebut mustahil berlaku. Melalui kematian, kebangkitan, dan kemuliaan Kristus, Tuhan telah melakukan apa yang tidak dapat kita lakukan sendiri.
Dalam perumpamaan tentang anak yang sesat (Luk. 15), kita melihat kedua-dua aspek pertobatan. Anak lelaki yang bongsu berada dalam kesulitan: dia berada di kandang babi di negara asing, sedang kebuluran, dan tidak ada sesiapa yang peduli untuk membantunya. Dia berada dalam keadaan ini kerana dia telah mengkhianati ayahnya. Apabila dia menyedari betapa sulitnya hidup dia, dia tidak hanya berpaling dari kelalaiannya dan terus menyesal. Pertaubatan yang membawa pemuda tersebut kembali kepada rumah bapanya melalui penyesalan atas dosa-dosanya. Sepertimana Tuhan sentiasa menunjukkan kasih karunia-Nya, bapa itu menyelamatkan anaknya dari kesulitannya—sepertimana Tuhan, Bapa syurgawi kita, telah lakukan untuk kita dalam Kristus.
Pertaubatan Alkitabiah Adalah Bersungguh-Sungguh, Ikhlas, dan Praktikal
Jika kita memahami pertaubatan alkitabiah sebagai perkara di mana kita berpaling daripada dosa dan berpaling kepada Tuhan, terdapat tiga implikasi penting yang menyusul.
Pertama, taubat merupakan perkara yang sangat mendesak. Ketika Yohanes Pembaptis memberitakan pertaubatan di padang gurun, dia berkata kepada orang ramai,
Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa, siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak? Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. Jangan mula berkata sesama sendiri, ‘Abraham bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham.Berbuahlah sesuai dengan taubat. Kapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api. (Luk. 3:7–9)
Ini adalah kata-kata yang kasar, tetapi ia adalah dan perlu: kita mesti bertaubat atau menghadap penghakiman Tuhan. Cara penyampaian mesej Yohanes yang mengguris hati yang menyebabkan dia berbicara kepada pendengarnya dengan kata-kata yang tajam secara berani. Manusia yang terjerumus dalam dosa mereka berada dalam keadaan yang teruk. Mereka bakal menghadapi kutukan. Itu bukan realiti yang kita boleh ambil ringan. Tiada siapa yang berbisik sewaktu rumah dibakar, “Ada sesiapa di sana tak?” Penghakiman yang akan datang untuk dosa-dosa kita itu mengerikan, dan mesej pertaubatan tersebut mendesak. Kita tidak boleh menghiraukannya, dan kita mesti memberitakannya.
Tetapi pertaubatan juga hendaklah ikhlas. Adalah munafik untuk menghendaki pengampunan atas dosa-dosa kita tanpa dibebaskan daripadanya. Inilah sebabnya mengapa Yohanes menyeru orang ramai untuk “Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat”—iaitu, bukan sekadar mengatakan “Saya bertaubat!” tetapi juga mengalami penyesalan dan perubahan kasih sayang yang mengakibatkan perubahan tingkah laku. Ia bukan pertaubatan semata-mata menyesal kerana ditangkap, seperti kanak-kanak yang ditangkap secara langsung. Tidak, dengan kasih karunia Tuhan, kita harus menyesali dosa kita dan bertekad menuju ke arah kekudusan. Alkitab menyatakan bahawa tanpa kesucian tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan. (Ibr. 12:14). Pertaubatan yang ikhlas perlu untuk mengenali Yesus sekarang dan untuk melihat Dia dalam kehidupan yang akan datang.
Oleh itu, pertaubatan juga merupakan perkara yang amat penting dari segi praktikal. Ketika orang ramai bertanya Yohanes, “Jadi, apa yang harus kami buat?” Yohanes memberi mereka arahan yang jelas. Kepada mereka yang mementingkan diri sendiri, beliau berkata mereka sebaliknya harus menunjukkan kemurahan hati. Dia menyeru kepada para pemungut cukai untuk jujur sewaktu mengutip cukai. Dia menyeru kepada para tentera supaya tidak menganiaya orang lain dan tidak menyalahgunakan kuasa mereka untuk tujuan peribadi. (Lihat Luk. 3:10–15.) Pertaubatan alkitabiah, secara ringkas, membawa perubahan hidup yang mendalam yang akan menyentuh setiap aspek tentang siapa kita dan bagaimana kita hidup.
Sudahkah Anda Bertaubat?
Adakah anda telah bertaubat seperti ini? Adakah anda meratapi dosa anda sehingga anda telah berpaling daripadanya dan berpaling kepada Kristus dengan sepenuh hati? Tiada permulaan Kristian tanpa berpaling dari dosa dan kepada Tuhan. Ia melibatkan transformasi seluruh hati, fikiran, dan tujuan kita semasa kita bersandar pada Kristus dan bergantung sepenuh kepada-Nya.
Jika anda pernah bertaubat, adakah anda masih bertaubat? Pertaubatan merupakan permulaan kehidupan Kristian dan kesinambungannya. Walaupun kedudukan kita di dalam Kristus sudah pasti terjamin apabila kita datang kepada-Nya dalam iman, sebahagian daripada pengertian berada dalam Kristus adalah kebiasaan bersedia menolak dosa kerana Roh Kudus telah membangkitkan kesedaran kita tentangnya. Sewaktu kita membaca Alkitab kita dan mengenali kekudusan Tuhan dengan lebih mendalam lagi, Dia mendedahkan dosa kita yang kita tidak perasan sebelum ini serta dosa yang timbul daripada godaan baharu. Perjalanan hidup seorang Kristian yang sihat melibatkan tabiat pemeriksaan diri dan pertaubatan semasa kita semakin mendekati Kristus.
Akhir sekali, kita perlu mempertimbangkan jika pertaubatan kita memang ikhlas dan terbukti dalam kehidupan harian kita secara praktikal. Terlalu mudah untuk mengetahui atau berbicara tentang Injil tanpa pernah mengamalkannya. Oleh itu, semasa kita berjalan hari ini, kita mesti bertanya kepada diri sendiri, “Adakah saya menyimpan dosa-dosa tertentu dan hidup untuk diri sendiri, atau sedang berpaling daripada dosa dan hidup untuk Tuhan?”