Bagaimana dan Mengapa Kita harus Berdoa untuk Semua Orang

Apabila Paulus menulis surat pertamanya kepada Timotius, tujuannya jelas iaitu supaya Timotius tahu “bagaimana seharusnya berkelakuan dalam keluarga Allah” (1 Timotius 3:15). Surat ini menjadi satu panduan yang indah untuk gereja apabila kita bertanya, “Apa yang harus kita lakukan, dan bagaimana kita harus melakukannya?”

Antara banyak hal yang menjadi perhatian Paulus dalam surat 1 Timotius, perkara pertama yang disebutnya ialah, “supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia” (1 Timotius 2:1 AVB).

Dalam 1 Timotius 2:1–8, Paulus mengajar Timotius bagaimana gereja harus berdoa: siapa yang perlu berdoa, untuk siapa doa dinaikkan, dan apa tujuannya. Dan lebih daripada itu, Paulus menunjukkan bahawa doa gereja berasal daripada hati Tuhan sendiri.

Bagaimana Gereja Harus Berdoa

‬“Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia — untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat...Oleh itu, aku menyeru kaum lelaki di mana-mana sahaja supaya berdoa serta menadahkan tangan yang suci, tanpa kemarahan atau perselisihan.” - 1 Timotius‬ 2‬:1‬-2‬,8 AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Keutamaan Doa

Paulus memulakan arahannya dengan menegaskan bahawa berdoa untuk semua orang adalah satu keutamaan. Ini disebutnya sejurus selepas memberi amaran tentang mereka yang “telah menyesatkan iman mereka” dan “diserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah” (1 Timotius 1:19–20 AVB).

Di Efesus iaitu di tempat Timotius melayani,  ada beberapa orang yang “menyebarkan ajaran sesat” (1 Timotius 1:3 AVB). Mereka terlalu sibuk dengan salasilah dan perkara undang-undang yang tidak membangun iman. Mereka menganggap Injil hanya untuk golongan tertentu, dan berdoa hanya untuk mereka yang dianggap “layak” dalam pandangan mereka.

Oleh itu, Paulus mengingatkan Timotius bahawa doa bukan hanya untuk kelompok atau suku sendiri. Tuhan tidak terhad kepada bangsa, keturunan, atau kecenderungan kita kerana hati-Nya melampaui semua itu. Maka gereja juga harus berdoa tanpa batas untuk semua orang, kerana kasih dan belas kasihan Tuhan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.

Kita dipanggil untuk berdoa bagi keamanan, berdoa dengan hati yang damai, dan berdoa dengan kekudusan sebagai tujuan utama kita.

Sebagai satu contoh yang jelas, Paulus menggalakkan kita untuk berdoa bagi golongan yang paling mudah kita abaikan, tolak, atau pandang rendah iaitu mereka yang memegang kuasa dan kedudukan.

Sungguh mengejutkan apabila melihat betapa mudahnya orang Kristian pada masa kini menghina atau memfitnah pemimpin politik, seolah-olah mereka bukan manusia yang diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan! Dari manakah datangnya idea bahawa kita boleh memilih untuk berdoa hanya bagi mereka yang kita suka dan mengabaikan mereka yang kita tidak suka?

Pasti bukan daripada Firman Tuhan.

Tujuan Doa

Paulus menjelaskan bahawa ada sebab yang jelas dan berkat yang besar apabila kita berdoa untuk semua orang: supaya keamanan ditegakkan dan kekudusan berkembang.

Adalah baik bagi umat Tuhan untuk hidup dalam “kehidupan yang tenang dan damai,” iaitu hidup dengan kesedaran yang benar terhadap Tuhan dan tanggungjawab kita kepada-Nya.

Tuhan tidak memanggil umat-Nya untuk mencetuskan kekacauan, menjadi sumber gangguan, atau sentiasa menentang pihak berkuasa. Sebaliknya, kita dipanggil untuk berdoa bagi keamanan, berdoa dengan hati yang damai, dan berdoa dengan tujuan agar kekudusan bertumbuh di tengah-tengah masyarakat.

Senjata yang Tuhan berikan kepada gereja bukanlah kekuatan duniawi, tetapi doa, iman, kuasa Roh Kudus, dan firman-Nya (2 Korintus 10:3–4). Ada orang mungkin berkata, “Adakah doa benar-benar membawa perubahan? Adakah pemberitaan firman benar-benar berkesan?” Jawapan kita harus tegas dan ya, benar! Firman Tuhan sendiri menegaskannya, dan hidup kita seharusnya menjadi bukti kepada kuasa doa dan firman itu.

Alkitab juga mengingatkan bahawa jika orang percaya menghadapi penganiayaan, biarlah itu terjadi kerana kita hidup benar di hadapan Tuhan, bukan kerana kita melakukan kejahatan (1 Petrus 3:17 AVB). Kita tidak seharusnya dihina kerana menyebarkan kebencian atau menghakimi orang lain, sama ada di tempat kerja, di rumah, atau di media sosial.

Kita tidak sepatutnya dianiaya kerana bersikap kejam terhadap orang yang mempunyai kepercayaan berbeza. Jika kita menghadapi penentangan, biarlah itu kerana kita berpegang pada piawaian kebenaran yang ditetapkan oleh Tuhan. Seperti yang ditulis oleh rasul Petrus, “Inilah kehendak Allah, bahawa dengan berbuat baik kamu menutup mulut orang jahil dan bodoh yang hendak mengatamu.” 1 Petrus‬ 2‬:15‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Namun, terlalu sering dunia membenci orang Kristian bukan kerana kebenaran Injil, tetapi kerana sikap kita sendiri yang keras dan tidak penuh kasih. Kita tidak boleh mengaku memberitakan Injil dan berdoa untuk semua orang, tetapi pada masa yang sama mengutuk atau memusuhi jiran kita.

Mereka yang Dipanggil untuk Berdoa

Adalah penting untuk kita perhatikan bahawa Tuhan memberikan tanggungjawab kepada kaum lelaki untuk memimpin dalam doa. Perkataan “lelaki” dalam ayat 8 tidak bermaksud “semua orang,” tetapi secara khusus merujuk kepada kaum lelaki, berbeza daripada wanita yang disebut dalam ayat 9.

Lelaki dan wanita datang kepada iman di dalam Yesus Kristus dengan cara yang sama. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama di hadapan Tuhan iaitu sama dalam penerimaan, sama dalam akses, sama dalam keistimewaan. Tidak ada perbezaan nilai dalam pengalaman keselamatan.

Namun, kesetaraan di hadapan Tuhan tidak menghapuskan peranan yang telah ditetapkan di dalam gereja. Tuhan telah memanggil lelaki untuk memimpin dalam doa, khususnya dalam doa “bagi semua orang.”

Jika kita perhatikan persekutuan doa pada pagi Ahad di kebanyakan gereja, siapakah yang biasanya hadir? Dalam banyak tempat, kita akan mendapati kebanyakan yang hadir adalah wanita. Dan memang sepatutnya wanita turut hadir, membawa permohonan, doa, syafaat, dan ucapan syukur bagi semua orang. Kehadiran mereka tidak menjadi masalah. Malah, kita bersyukur apabila semakin ramai wanita yang takut akan Tuhan datang berdoa! Yang sepatutnya menjadi perhatian ialah ketiadaan lelaki, kerana Tuhan telah memanggil kaum lelaki untuk mengambil peranan utama dalam memimpin doa.

Hati Tuhan untuk Doa

“Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar. Hanya ada satu Allah dan hanya ada satu pengantara antara Allah dengan manusia iaitu seorang insan Kristus Yesus. Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia, dan hal ini akan dipersaksikan pada masanya. Itulah sebabnya aku dijadikan pemberita Injil dan rasul  aku berkata benar, aku tidak berdusta  dan sebagai pengajar kepada bangsa asing dalam iman dan kebenaran.” 1 Timotius 2:3-7 AVB

Tuhan Berkenan apabila Kita Berdoa untuk Semua Orang

Perhatikan bahawa rasul Paulus tidak sekadar memberikan panduan “cara berdoa.” Beliau mendorong kita untuk sentiasa bertanya: “Adakah doa ini baik dan berkenan kepada Allah, Juruselamat kita?”

Kita tidak seharusnya risau sama ada doa kita menyenangkan hati kita sendiri atau orang lain. Kadangkala kita cenderung berdoa hanya untuk lingkaran kecil kita seperti keluarga, kawan, atau gereja sendiri, tetapi hati Tuhan jauh lebih besar. Dia “berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar.”

Jika kita benar-benar percaya bahawa Tuhan ingin semua orang diselamatkan, maka doa dan pemberitaan kita akan selari dengan kehendak-Nya.

Namun, walaupun Tuhan menghendaki keselamatan untuk semua orang, Dia tidak menetapkan bahawa semua akan diselamatkan. Jika itu kehendak-Nya yang mutlak, tentu semua orang akan selamat. Tetapi tidak semua dapat diselamatkan.

Maka kita perlu membezakan antara apa yang Tuhan kehendaki dan apa yang Tuhan tetapkan. Kita mungkin tidak sepenuhnya memahami misteri pilihan Tuhan, tetapi kita boleh mempercayai bahawa semuanya adalah sebahagian daripada rencana-Nya yang sempurna.

Jika kita yakin bahawa Tuhan ingin semua orang diselamatkan, maka kita juga harus memberitakan dan berdoa menurut kehendak itu. Kita boleh berdiri di mana sahaja dari kampung kecil hingga ke puncak dunia  dan memberitakan Injil kepada semua yang mahu mendengar, kerana kita tahu Tuhan akan menebus mereka yang telah Dia pilih untuk diselamatkan.

Kasih Tuhan yang besar meliputi seluruh dunia, bahkan terhadap musuh-musuh-Nya dan begitu jugalah kasih kita seharusnya. Oleh itu, kita berdoa untuk semua orang, kerana doa seperti itulah yang menyukakan hati Tuhan.

Kristus Telah Menyediakan Jalan bagi Semua Orang

Tuhan tidak berhenti pada kehendak-Nya untuk menyelamatkan. Dia bertindak dengan memberikan jalan keselamatan melalui Yesus Kristus.

Yesus “menyerahkan diri-Nya sebagai tebusan bagi semua orang.” Dia adalah satu-satunya “Pengantara antara Allah dan manusia.” Hanya manusia boleh mewakili manusia di hadapan Tuhan, dan hanya Tuhan boleh mendekatkan diri-Nya kepada manusia. Maka satu-satunya yang dapat menjambatani jurang antara Tuhan yang kudus dan manusia yang berdosa ialah Yesus Kristus sendiri — Tuhan yang menjadi manusia.

Dia telah melakukannya dengan membayar harga penuh dengan menjadi tebusan, pengganti, dan korban bagi kita.

Kita tidak mempunyai hak untuk menahan apa yang telah Kristus tawarkan. Maka kita mesti taat kepada perintah untuk berdoa bagi semua orang.

Di kaki salib, tanahnya sama rata. Orang Yahudi dan bangsa-bangsa lain, hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, semuanya sama-sama berdosa dan sama-sama memerlukan Juruselamat. Dan Juruselamat itu, Yesus Kristus, telah menyerahkan diri-Nya “sebagai tebusan bagi semua orang.”

Panggilan Kita: Menyampaikan Kebenaran kepada Semua

Paulus mengingatkan bahawa dia sendiri telah dipanggil untuk membawa Injil kepada bangsa-bangsa lain. Dia menggesa agar doa dinaikkan bagi semua orang, kerana hanya ada satu Tuhan, dan semua manusia perlu mengenal-Nya.

Oleh kerana Tuhan yang satu itu telah menyatakan diri-Nya secara penuh di dalam satu Anak — Yesus Kristus — maka semua orang di seluruh dunia perlu mendengar tentang Yesus. Semudah itu sahaja.

Apabila perhatian gereja beralih daripada beban bagi dunia kepada keperluan diri sendiri, kita mula kehilangan arah. Kita mudah gelisah dan berusaha “mengembalikan keadaan seperti dulu,” tetapi Paulus menunjukkan kepada kita bahawa matlamat tertinggi bukanlah nostalgia, melainkan misi.

Jika Tuhan ingin semua orang diselamatkan, dan Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai tebusan bagi semua, maka kita harus bertanya:
— Siapakah yang akan berdoa untuk Iran?
Siapakah yang akan pergi ke China?
Siapakah yang akan memikul beban bagi kira-kira dua bilion umat Muslim di seluruh dunia — bahkan mereka yang tinggal di komuniti kita sendiri?

Siapakah yang akan berkata, “Segala yang aku miliki datang daripada Kristus, maka aku akan menyerahkan semuanya kembali kepada-Nya. Aku ingin menyerahkan hidupku supaya orang-orang yang belum percaya bahkan yang jauh daripada pemahamanku boleh datang mengenal Yesus Kristus.”

Jangan Berdoa seperti Yunus

Dalam Yunus 4:1, kita membaca bahawa nabi Yunus “sangat tidak senang hati dan marah.” Mengapa? Kerana apabila dia akhirnya taat dan menyeru bangsa Niniwe, bangsa yang dia benci, supaya bertaubat, mereka benar-benar bertaubat!

Yunus mahukan Tuhan yang cukup berbelas kasihan untuk menyelamatkannya, tetapi tidak cukup berbelas kasihan untuk menyelamatkan orang lain yang dia tidak suka.

Doanya seolah-olah berkata, “Ya Tuhan, selamatkan dunia , tetapi jangan selamatkan jiran sebelah yang sombong itu. Selamatkan semua orang , tetapi bukan bos saya. Selamatkan semua orang , tetapi bukan mereka yang tidak sehaluan dengan saya.”

Namun Tuhan menghendaki keselamatan untuk semua orang, dan Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai tebusan bagi semua. Maka kita pun harus berdoa untuk semua orang.

Sejarah gereja penuh dengan godaan untuk mengabaikan hati Tuhan yang ingin semua orang diselamatkan dan jika kita jujur, godaan itu masih ada dalam diri kita hari ini. Tetapi ini bukanlah cara hidup bagi umat Tuhan.

Tuhan menginginkan keselamatan semua orang, dan Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai tebusan bagi semua. Oleh itu, marilah kita berdoa bagi semua, berbuat baik kepada semua, dan memberitakan Injil tanpa pilih kasih, dengan harapan bahawa “semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar. .

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Doa Umum: Kepentingan dan Skopnya"  oleh Alistair Begg.

Back to blog