Apabila Anda Kongsikan Iman Anda, Jangan Lupakan Injil

Dalam Kisah Para Rasul 2, kita membaca tentang penyampaian Injil yang pertama selepas kematian, kebangkitan, dan kenaikan Yesus.

Pada waktu itu, Roh Kudus baru sahaja turun seperti yang dijanjikan oleh Kristus. Para murid mula berbicara dalam pelbagai bahasa, dan orang Yahudi yang datang ke Yerusalem untuk perayaan Pentakosta tercengang melihat apa yang berlaku (ayat 2–13).

Petrus kemudian berdiri di hadapan orang ramai itu dan menjelaskan apa yang sedang terjadi (ayat 14–21). Selepas itu, dia mula memberitakan tentang Yesus:

“Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu. Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana. Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya.” (22-24)

“Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus.”” (36)
Kisah Para Rasul‬ 2‬:22‬-24,36‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Dalam bukunya Preaching the Whole Bible as Christian Scripture, Graeme Goldsworthy menulis bahawa khutbah Petrus ini bukanlah tentang satu kaedah untuk memperoleh penyelamatan.1 Dia belum lagi menjelaskan langkah-langkah yang perlu diambil seseorang untuk menerima penyelamatan (lihat Kisah Para Rasul 2:38–39). Sebaliknya, Petrus memberitakan tentang siapa Yesus itu, apa yang telah dilakukan-Nya, dan mengapa hal itu begitu penting.

Inilah inti Injil yang sejati dan peringatan yang sangat penting bagi kita hari ini.

Ketika kita kongsikan iman, kita mungkin berbicara tentang banyak perkara yang baik, tetapi jangan sampai kita lupa memberitakan isi Injil itu sendiri: kisah tentang kehidupan Yesus yang sempurna, kematian-Nya yang menebus manusia, kebangkitan-Nya yang memberi kemenangan, dan pemerintahan-Nya yang kekal.

Kadang-kadang, kita berfikir bahawa sudah cukup jika kita berkata kepada seseorang, “Percayalah kepada Yesus dan anda akan memperoleh hidup yang kekal.”

Namun sebenarnya, kita belum memberitakan Injil dengan sepenuhnya. Kita sedang mengajak seseorang untuk memberi respons kepada berita yang belum mereka dengar. Sebelum seseorang dapat memahami bagaimana untuk percaya kepada Kristus, mereka perlu mendengar tentang siapa Yesus itu dan apa yang telah dilakukan-Nya bagi mereka.

Ada kalanya juga, kita hanya berkongsi tentang pengalaman peribadi kita dengan Tuhan.

Kesaksian kita memang penting dan boleh menjadi berkat kepada orang lain.

Tetapi jika kita hanya menceritakan pengalaman kita tanpa menjelaskan Injil, orang mungkin menganggap Yesus hanyalah satu cara untuk membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Sedangkan Injil bukanlah tentang apa yang kita alami di dalam diri, tetapi tentang apa yang telah Yesus lakukan di luar diri kita di salib, untuk kita semua.

Cuba fikirkan soalan ini: “Bagaimana anda tahu bahawa Allah akan menerima anda?” Ramai orang mungkin menjawab, “Kerana saya berbuat baik,” atau “Saya menolong orang susah,” atau mungkin juga, “Kerana saya mempunyai Yesus di dalam hati saya.” Tetapi jawapan yang benar tidak bermula dengan saya, aku, atau punyaku, ia bermula dengan Dia, Nya, dan Kepunyaan-Nya.

Kita perlu menjelaskan dengan jelas bahawa Injil ialah satu kebenaran yang berasal dari luar diri kita—walaupun ia benar-benar membawa berkat dan manfaat kepada kita, Injil itu sendiri bukanlah terutama tentang pengalaman di dalam diri kita.

Kebenaran Injil bukan terletak pada doa yang kita ucapkan, atau pengalaman pertaubatan yang kita alami, tetapi pada karya Kristus yang telah menjadikan semua itu mungkin.

Oleh itu, kita harus menjelaskan kepada orang yang belum percaya bahawa kita berdiri teguh bersandarkan fakta di mana Allah telah mempersembahkan Anak-Nya yang tunggal untuk mati bagi kita. Oleh sebab itulah, kita boleh menyanyi dengan penuh keyakinan:

Di hadapan takhta Allah,
Permohonanku yang teguh:
Imam Besar penuh Kasih,
Dia Pembelaku yang hidup.2

Kita mungkin tergoda untuk tidak menceritakan kisah tentang Yesus, kerana bagi dunia, cerita tentang Mesias yang mati dan bangkit semula kelihatan aneh — “batu sandungan” dan “kebodohan” bagi banyak orang, seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus (1 Korintus 1:23). Tetapi hanya melalui kisah inilah Allah bekerja untuk menarik manusia datang kepada-Nya.

Tetapi kisah ini yang Tuhan gunakan untuk menarik manusia kepada–Nya

Inilah inti Injil, bahagian yang tidak pernah ditinggalkan oleh Petrus.
Dan kita pun, jangan sekali-kali meninggalkannya.

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah The First Christian Sermon — Part One oleh Alistair Begg.

1. Graeme Goldsworthy, Preaching the Whole Bible as Christian Scripture: The Application of Biblical Theology to Expository Preaching (Grand Rapids: Eerdmans, 2000), 95.

2. Charitie Lees Bancroft, ”Sebelum Takhta Tuhan Di Atas”.

Back to blog