APAKAH MAKSUD ANDA, DILAHIRKAN SEMULA?

Pertanyaan “Adakah anda dilahirkan semula?” sudah terkenal dalam gereja-gereja evangelikal sepanjang abad yang lalu, dan ramai orang biasa menggambarkan diri mereka sebagai orang Kristian yang telah “dilahirkan semula”. 

Namun begitu, ramai juga termasuk dalam kalangan orang Kristian yang mungkin mendengar pertanyaan itu dan berkata, seperti Nikodemus, “Dilahirkan semula! … Apa maksudnya?” (Yohanes 3:4, AVB).

Dalam pemahaman popular terhadap kata-kata ini, terdapat banyak kesalah fahaman, dan kekeliruan yang terhasil  yang boleh menjadi penghalang kepada iman.

Apabila kita bercakap tentang orang Kristian yang lahir baru, kita sebenarnya bukan berbicara tentang sebuah gerakan sementara, moden, atau satu identiti budaya. Kita berbicara tentang satu kebenaran alkitabiah yang kekal. 

Istilah ini tidak direka oleh para pengamal pengiklanan untuk menyesuaikan Injil kepada selera generasi baharu.

Perkataan “dilahirkan semula” adalah perkataan Yesus Kristus sendiri, dan ia relevan bagi setiap generasi. Apabila kita memahami apa maknanya, tiada pertanyaan yang lebih penting bagi setiap kita daripada “Adakah anda sudah dilahirkan semula?”

Yesus menggunakan frasa “dilahirkan semula” ketika berbicara dengan seorang ahli Taurat, Nikodemus, yang datang menemui-Nya secara rahsia pada waktu malam, seperti yang tercatat dalam Yohanes 3. Kita dapat memahami kata-kata ini sebagaimana Yesus maksudkannya dengan memerhatikan perbualan mereka dengan teliti.

Pertanyaan Nikodemus

“Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus. Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.” Nikodemus bertanya, “Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!” (Yohanes‬ 3‬:1‬-4,‬ AVB)‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Nikodemus ialah seorang yang taat beragama. Dia merupakan seorang tokoh terkemuka dalam kalangan orang Farisi iaitu golongan yang berada di barisan hadapan agama pada zamannya. 

Namun, orang Farisi telah melakukan satu kesilapan besar: mereka menjadikan agama sesuatu yang hanya luaran yang lebih menekankan peraturan dan amalan zahir daripada keadaan hati.

Malah, mereka menambah perintah mereka sendiri di atas hukum Tuhan, sehingga menjadikan ajaran mereka sukar difahami dan lebih sukar untuk ditaati.

Dalam Injil Matius, Yesus menggelar orang Farisi sebagai “seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang mayat dan segala macam kekotoran.” (Matius‬ 23‬:27,‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Nikodemus hanya mengakui bahawa Yesus ialah seorang “...guru yang datang daripada Allah.”  Oleh kerana Yesus “mengetahui niat dan perasaan setiap orang” (Yohanes‬ 2‬:25)‬ - Yesus mengetahui isi hati Nikodemus. Maka, Dia mengabaikan kata pengantar itu dan terus menjawab persoalan yang sebenarnya bergelora dalam hati ahli Taurat itu:‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬
Mengapa walaupun saya sangat beragama, walaupun ramai orang memandang tinggi kepada saya, walaupun saya tergolong dalam kelompok yang kononnya mengenal Tuhan, namun hatiku kosong dan tidak mengalami kepenuhan itu?

Jawapan Yesus sangat jelas;
“Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.”” (Yohanes,‬ 3‬:3‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Istilah “dilahirkan semula” bukan direka oleh para pengamal pengiklanan untuk menyesuaikan Injil kepada selera generasi baharu. Kata-kata ini berasal daripada Yesus Kristus sendiri, dan tetap relevan bagi setiap generasi.

Nikodemus telah salah faham, dan kesalah fahaman itu sangat ketara. Dia sepatutnya tahu lebih tahu. Ada dua jenis salah faham: satu yang berpunca daripada ketidakmampuan untuk memahami, dan satu lagi yang berpunca daripada keengganan untuk memahami. Apabila seseorang tidak mahu menerima kebenaran, walaupun fakta sudah jelas di hadapan matanya, dia tetap akan menolaknya. 

Sebagai seorang Farisi, Nikodemus sudah tentu sangat mengenal isi Perjanjian Lama. Dia tahu bahawa Tuhan pernah berfirman melalui nabi Yehezkiel:

“Kemudian Aku akan mengurniakan kepadamu hati yang baru dan menaruh roh yang baru dalam batinmu. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuhmu dan Kukurniakan hati yang lembut kepadamu. Aku akan menaruh Roh-Ku dalam batinmu serta membuat kamu hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku, berpegang teguh pada peraturan-peraturan-Ku, dan mematuhi kesemuanya.” (Yehezkiel‬ 36‬:26‬-27‬, AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Nikodemus sebenarnya mempunyai semua pengetahuan yang perlu untuk memahami bahawa Yesus tidak berbicara tentang kelahiran jasmani, tetapi tentang pembaharuan batiniah iaitu tentang Tuhan yang sanggup mengubah hati manusia sepenuhnya. Namun, dia memilih untuk tidak memahaminya.

Ramai yang mengaku diri mereka Kristian, tetapi sebenarnya lebih menyerupai Nikodemus daripada yang mereka sangka iaitu beragama, dihormati, tetapi tidak mengalami kehidupan rohani yang sejati bersama Tuhan. Mereka menyangka mereka ialah orang Kristian kerana gereja yang mereka hadiri, keluarga yang mereka pimpini, lagu-lagu pujian yang mereka nyanyikan, perbuatan baik yang mereka lakukan, atau baptisan yang mereka terima. Namun apabila mereka mendengar firman Kristus yang menegur keadaan hati mereka, mereka menutup telinga. Sama seperti Nikodemus, mereka berkata, “Lahir semula! Apa maksudnya?”

Jawapan yang diberikan Yesus

“Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah. Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus.”” (Yohanes‬ 3‬:5‬-8,‬ AVB)‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Sifat kelahiran baharu yang dimaksudkan oleh Yesus adalah ini: satu transformasi rohani yang berasal dari syurga dan dimulakan oleh Tuhan sendiri.

Yesus memakai gambaran tentang baptisan ketika Dia berbicara tentang “dilahirkan daripada air dan Roh.” Baptisan dengan air merupakan tanda penyucian, tetapi tanda tanpa hakikatnya tidak bermakna. Ramai orang telah “dilahirkan daripada air,” maksudnya mereka telah melalui upacara baptisan. Namun seperti yang Yesus katakan, tiada kelahiran semula tanpa kehadiran Roh Kudus TUHAN.

Nikodemus mungkin beranggapan bahawa kelayakan agamanya atau identiti bangsanya sudah cukup untuk memasuki kerajaan Allah, tetapi sebenarnya tidak.

Tiada perkembangan semula jadi daripada fizikal kepada rohani, dan tiada tahap di mana manusia boleh memanjat cukup tinggi untuk menyeberangi jurang menuju kepada Allah.

Kita mungkin dibesarkan dalam keluarga yang beriman, dididik “dalam didikan dan nasihat Tuhan” (Efesus 6:4, AVB), dan mengikuti kelas sekolah minggu. Kita mungkin menghadiri gereja yang baik, menjalankan perniagaan dengan jujur, dan berbuat baik kepada jiran. Kita seharusnya bersyukur untuk semua ini, tetapi semua itu tidak cukup untuk membawa kita ke hadirat Kristus. Apa yang kita perlukan ialah satu transformasi peribadi yang radikal dan dalaman, iaitu kelahiran semula.

Berita Baik ini ialah bahawa dalam Tuhan Yesus Kristus, Tuhan telah melintasi jurang / batas itu dan Dia mengumpulkan manusia ke dalam keluarga-Nya melalui kelahiran baru ini, iaitu kelahiran yang bersifat ajaib. 

Dalam istilah teologi, hal ini disebut sebagai kelahiran semula. Dia menjadikan kita baharu secara rohani dari dalam ke luar. Kita yang telah mati kerana pelanggaran dan dosa, dihidupkan-Nya semula (Efesus. 2:5 AVB).

Pekerjaan Roh Tuhan memungkinkan kita, dalam keadaan berdosa, untuk berpaling daripada dosa dan berbalik dalam iman kepada Tuhan Yesus Kristus, percaya kepada Yesus sebagai Penebus kita, serta menerima hidup rohani di mana sebelumnya hanya ada kematian rohani.

Jika hal ini kelihatan sukar diukur, memang begitulah adanya. Yesus membandingkan pekerjaan Roh dengan angin. Jika satu tiupan angin menerbangkan payung anda, anda mungkin bertanya dari mana datangnya, anda boleh menjejakinya sejauh mana kaki anda mampu, tetapi anda tidak akan menemukan sumbernya.

Namun anda akan melihat buktinya di sekeliling anda. Kita tidak dapat “membotolkan” kelahiran semula dan menjualnya di tepi jalan, sama seperti kita tidak dapat membotolkan angin. Namun kita boleh melihat pada kehidupan seseorang, melihat ke dalam hati kita sendiri, dan menyaksikan kesan nyata daripada pekerjaan transformasi Tuhan.

Salah satu kesesatan manusia yang berulang ialah berfikir bahawa kita boleh melayakkan diri kita ke dalam kerajaan Tuhan dengan usaha sendiri.

Dalam hal seperti inilah agama dapat menjauhkan kita daripada Kristus. Begitu banyak ajaran agama palsu yang mengatakan bahawa dengan usaha kita sendiri, kita dapat menjangkau Tuhan.

Tetapi Kristus berkata bahawa jika Tuhan tidak menjangkau hidup kita dan mengubah hati kita, segala usaha adalah sia-sia. Kita mesti dilahirkan semula.

Tanggapan yang diperlukan daripada kita

Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.

Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah.” (Yohanes‬ 3‬:14‬-18‬, AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Kelahiran baru amat perlu kerana manusia mempunyai masalah yang mendasar. Dalam ayat 19 -20 masalah itu dijelaskan: “Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.” (Yohanes‬ 3‬:19‬-20‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Golongan ahli kemanusiaan, idealis, dermawan, dan orang Kristian mungkin sependapat bahawa walau apa pun yang boleh dipersoalkan, manusia sebenarnya tidak seperti sepatutnya yang sepertinya ada sesuatu yang tidak kena.

Kita semua boleh duduk bersama di meja rundingan dan bersetuju bahawa penderitaan, kesengsaraan, dan keburukan yang jelas kelihatan di dunia ini merupakan aib bagi umat manusia dan cela bagi peradaban.

Tetapi titik di mana perjanjian itu terhenti sangat penting: Apakah yang salah secara khusus?

Apa yang kita perlukan ialah satu perubahan peribadi yang mendalam dan menyeluruh dari dalam diri iaitu satu kelahiran baharu.

Yesus memberitahu kita bahawa masalah manusia bukanlah masalah moral, bukan masalah intelektual, dan bukan juga masalah keagamaan luaran, tetapi masalah rohani yang merupakan masalah yang terletak di tengah – tengah komuniti kita.

Masalahnya ialah manusia diciptakan untuk hidup di dalam terang Sang Pencipta, tetapi kita lebih mengasihi kegelapan. Itulah hakikat dosa. Itulah sebab utama mengapa perbuatan kita jahat dan kita berdiri di bawah hukuman di hadapan takhta penghakiman tuhan.

Tiada usaha moral, kemajuan pendidikan, atau kegiatan keagamaan luaran yang dapat memperbaikinya. Hanya Roh Tuhan yang dapat melakukannya dengan memperbaharui batin kita dan menjadikan kita ciptaan yang baharu.

Namun Tuhan tidak membiarkan kita sendirian. Dia telah menyatakan diri-Nya kepada kita melalui Yesus, “Anak-Nya yang tunggal,” dengan kasih yang menuntut pengorbanan yang besar.

Sebelum Yesus disalibkan, Dia telah memberitahu Nikodemus bahawa Dia akan “ditinggikan” untuk menanggung dosa kita menggantikan tempat kita, supaya segala dosa hati kita diselesaikan di sana.

Perbuatan jahat dan kecenderungan untuk membuat jahat kita dapat diampuni kerana Tuhan Yesus telah menanggung hukuman itu bagi pihak kita. Maka kita dapat diubah oleh Roh Kudus dari dalam diri apabila Dia datang membawa kelahiran baharu kepada kita.

Namun Yesus tidak berkata bahawa kerana Tuhan telah memberikan Anak-Nya, “semua orang tidak akan binasa.” Tidak, Yesus berkata, “setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa.”

Ini menuntut satu tindak balas yang jujur dan mendesak: “Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.”” (Kisah Para Rasul‬ 16‬:31‬, AVB)‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Untuk percaya kepada Yesus bukan sekadar percaya bahawa Dia wujud, dan bukan hanya memahami siapa Dia dan apa yang telah dilakukan-Nya, tetapi mempercayakan seluruh hidup kita kepada-Nya “ tubuh dan jiwa, dalam hidup dan dalam mati”1 dengan keyakinan bahawa Dia akan menebus kita daripada dosa dan mengubah kita menjadi serupa dengan-Nya.

Kita boleh datang kepada Yesus hari ini dan berkata, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah” (Yohanes‬ 3‬:2‬ AVB). Namun‬‬, kita akan menerima jawapan yang sama seperti Nikodemus: “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.”‬‬‬‬‬‬ (Yohanes‬ 3‬:3‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Inilah firman Kristus kepada kita. Sudahkah anda menyerahkan diri anda kepada Anak Manusia dan dilahirkan semula untuk memperoleh hidup yang kekal?

Artikel asal diterbitkan di https://blog.truthforlife.org/born-again-what-do-you-mean dan telah diterbitkan semula dengan kebenaran. 

1.  Katekismus Heidelberg, S. 1. 

Back to blog