Musim Dingin Dalam Jiwa: Pengajaran Tentang Kemurungan Daripada Mazmur 13

Dalam perjalanan hidup, bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila kita melalui musim yang terasa seperti musim dingin dalam jiwa iaitu musim yang dipenuhi rasa sunyi dan terdesak. Kehidupan tidak berhenti, tetapi seolah-olah terdapat cengkaman kebas dalam diri yang sukar dijelaskan. Matahari mungkin bersinar, langit nampaknya cerah, dan tiada apa yang membebankan kita secara jelas—namun segalanya kelihatan suram, dan hati terasa gelisah serta terbeban secara rohani.

Dalam Mazmur 13, kita melihat Daud berada dalam musim sedemikian:

“Berapa lamakah, ya TUHAN, akan Kaulupakan aku selama-lamanya? 
Berapa lamakah Engkau akan menyembunyikan wajah-Mu daripadaku? Berapa lamakah aku akan bergelut dengan fikiranku sendiri sedangkan hatiku duka setiap hari?
Berapa lamakah musuhku akan mengatasiku? (Mazmur‬ 13‬:1‬-2‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)"

Kesunyian. Diabaikan. Kehampaan. Daud sangat mengenali setiap unsur yang disenaraikan, yang sering mengiringi kemurungan. Lebih menghimpit lagi, dia merasa jauh daripada Tuhan yang menciptakannya.

Kita perlu belajar bagaimana untuk bersedia dan bagaimana untuk menghadapinya apabila kemurungan yang dahsyat melandai kita.

Ketika kemurungan melanda, pergolakan hati dan minda boleh menjadi begitu hebat sehingga persepsi kita terpisah daripada realiti, sama seperti yang dialami Daud. Kita tidak seharusnya menilai keadaan rohani diri sendiri (atau orang lain) pada saat-saat sedemikian. Beberapa hamba Tuhan yang terpilih seperti Daud, Elia, Yunus, dan Yeremia juga pernah melalui kesedihan yang mendalam, begitu juga ramai pengkhutbah dan penulis himne. Yang kita perlu tanyakan adalah: Apakah yang menyebabkan kemurungan, dan bagaimana kita boleh membebaskan diri daripada cengkamannya?

Punca-Punca Kemurungan

Punca kemurungan Daud dalam Mazmur 13 tidak dinyatakan secara jelas; dan berlainan dari bab-bab lain dalam kitab Mazmu, dia tidak memberi petunjuk tentang apa yang mendorongnya menulis sedemikian. Bagaimanapun, ketidakpastian ini boleh dirasakan oleh ramai yang bergelut dengan perasaan dilupakan dan diabaikan. Kita boleh sampai ke situasi tersebut atas pelbagai sebab, dan seringkali kita tidak mampu mengenal pasti puncanya.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa penyumbang lazim kepada situasi kemurungan yang suram. Walaupun kita tidak mampu menyenaraikan segala kemungkinan, kategori-kategori umum ini sekurang-kurangnya membantu kita sedar bahawa kemurungan boleh wujud dari pelbagai punca.

Sebahagian punca kemurungan berakar dalam bidang perubatan, seperti ketidakseimbangan kimia dan faktor-faktor fizikal tertentu. Untuk punca-punca ini, sangat penting untuk mengingati bahawa kita ialah jiwa yang berjasad. Kadangkala kita memerlukan doktor dan nasihat perubatan profesional yang lain untuk membantu membimbing kita keluar dari keadaan kemurungan.

Keletihan juga boleh mencetus kemurungan. Orang Kristian yang tekun beribadah pasti menjadi letih secara fizikal, dan mereka boleh menjadi lebih mudah diserang kemurungan rohani berbanding waktu-waktu lain. Kita tidak sepatutnya terperangkap dalam usaha untuk mengerjakan segala-galanya sehingga memerah diri sendiri. Mungkin rasa kekosongan itu timbul dan dapat ditangani selain daripada perkara sederhana seperti pulang ke rumah, berehat, berjalan secara santai sambil menghirup udara segar, menarik nafas secara mendalam, dan menstabilkan keadaan fizikal kita.

Perbezaan temperamen individu juga boleh menjadikan seseorang lebih terdedah kepada kemungkinan kemurungan. Inilah sebabnya mengapa ada yang kerap dilanda kesedihan berulang, sedangkan yang lain hampir tidak terganggu walaupun berada dalam keadaan yang paling mencabar. Kita menjalani hidup sebagai individu yang unik, dengan pengalaman, personaliti, dan sifat yang Tuhan kurniakan secara berlainan; semua ini menyebabkan sesetengah orang lebih mudah diserang kemurungan berbanding yang lain.

Selain itu, peperangan rohani juga boleh memainkan peranan dalam pengalaman kemurungan kita. Iblis digambarkan sebagai “singa yang mengaum, mencari mangsa” (1 Petrus 5:8 AVB). Paulus mengingatkan bahawa kita mesti mengenakan seluruh senjata Allah supaya kita dapat bertahan terhadap tipu daya iblis  (Efesus 6:11 AVB), yang sentiasa cuba menembusi kita pada titik kelemahan kita. Ini bermaksud mereka yang lebih cenderung mengalami serangan kemurungan akan lebih kerap diserang di lembah-lembah tersebut. Tujuan Iblis ialah menghancurkan kita sehingga kita tersingkir daripada kesediaan dan kegunaan dalam pertempuran rohani.

Bagi Daud, jambatan yang membawanya daripada pergelutan kepada pujian adalah doa. Melalui persekutuannya dengan Tuhan, dia menemukan penghiburan.

Kemurungan juga boleh tercetus sebagai reaksi terhadap pengalaman rohani yang sangat luar biasa. Perkara ini dialami oleh Elia dalam 1 Raja-raja 18 - 19. Beberapa hari sahaja selepas berdepan dengan nabi-nabi Baal dan melihat bagaimana Tuhan memuliakan diri-Nya dengan cara yang begitu luar biasa, Elia menjadi sangat tertekan sehingga dia berdoa agar dirinya mati. Musim berkat yang berkelimpahan kadang-kadang boleh menjadi pendahulu kepada musim kemurungan yang amat berat. Kita perlu belajar bagaimana untuk bersedia dan bagaimana untuk menghadapinya apabila keadaan itu datang.

Belajar daripada Respons Daud

Seperti yang Mazmur 13 nyatakan, kita perhatikan bahawa Daud bukan sahaja menyatakan realiti kemurungannya, tetapi juga menunjukkan contoh respons rohani yang sihat. Sama ada pengalaman kita hanya kemurungan ringan selepas musim perayaan atau kesedihan yang berlarutan, sama ada kita sekadar keletihan kerana rentak hidup yang terlalu sibuk atau kita tidak dapat mengenal pasti punca kesedihan dan rasa terasing di dalam roh, adalah sangat bermanfaat untuk melihat bagaimana Daud bertindak terhadap perasaannya sendiri:

“Ya TUHAN, ya Allahku, pandanglah aku dan dengarlah doaku. 
Pulihkan sinar mataku, agar aku tidak lelap dalam maut, 
agar musuhku tidak berkata, “Aku telah berjaya menewaskannya,” 
dan musuhku bergembira dengan kejatuhanku.” (Mazmur‬ 13‬:3‬-4‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬)

Istilah yang digunakan mungkin berubah kerana psikologi moden meletakkan realiti manusia dalam bahasa dan kerangka yang baharu, tetapi pengalaman kemurungan tetap sama sejak dahulu. Oleh itu, apabila kita melihat pendekatan moden dalam menangani kemurungan, sama ada kejayaan atau kelemahannya, kita tidak perlu berasa bersalah untuk melihat kembali kaedah lama, khususnya pola Alkitabiah ini:

1. Berserulah kepada Tuhan dalam doa.

Daud bermula dengan berdoa. Walaupun dia berasa seolah-olah Tuhan menjauhi dirinya, hakikatnya kasih Tuhan tetap kekal dan Dia tidak akan melupakan kita (Yesaya 49:15–16). Bagi ramai orang, apabila gelombang kemurungan melanda dan menghumban kita, kehidupan doa biasanya menjadi perkara pertama yang dilucutkan. Tuhan menjadi pihak terakhir yang kita seru untuk pertolongan, tetapi itulah yang si Jahat mahukan. Perasaan terasing daripada Tuhan tidak sepatutnya melumpuhkan doa kita. Biarlah keadaan itu menimbulkan kerinduan yang lebih mendesak untuk datang kepada-Nya seperti yang dilakukan oleh Daud.

2. Berserulah kepada Tuhan dengan hati yang terbuka.

Ada kebaikannya apabila kita meluahkan isi hati yang paling terpendam kepada-Nya. Kita tetap memikul tanggungjawab terhadap keadaan diri kita, namun pada masa yang sama kita berhadapan kepada Tuhan dengan jujur. Daud pernah berasa seolah-olah Tuhan menyembunyikan Diri dan melupakannya, tetapi dia tetap mengarahkan doanya kepada syurga. Kita juga mungkin berasa marah kepada Tuhan atau kecewa lalu bertanya, “Mengapa Engkau menjadikan aku begini?” Tuhan memahami keadaan kita, dan adalah lebih baik kita mengakui segala perasaan itu kepada-Nya daripada memendamkannya atau meluahkan kepada orang lain.

3. Berserulah memohon perhatian dan belas kasihan Tuhan.

Daud juga merayu kepada belas kasihan Tuhan dengan memohon agar Tuhan memperhatikan keadaannya yang tidak berdaya. Kita juga seharusnya berbuat demikian. Seruan seperti ini tidak perlu panjang atau berbunga-bunga. Apabila kita datang menghadap Tuhan, ada kalanya kita hanya mampu mengucapkan satu perkataan sahaja, iaitu “Bapa”, sebelum air mata mula mengalir. Itu sudah memadai. Telinga Bapa Syurgawi kita sentiasa peka terhadap rayuan pertolongan anak-anak-Nya. Walaupun seperti yang ditulis oleh Paulus, bahawa kita tidak tahu bagaimana seharusnya berdoa, kita boleh percaya bahawa Roh sendiri berdoa bagi kita dengan keluhan yang tidak dapat disampaikan dengan kata-kata (Roma 8:26 AVB).

4. Berserulah memohon pencerahan rohani.

Akhirnya, Daud memohon kepada Tuhan agar diberikan mata iman untuk melihat di tengah-tengah kegelapan. Tuhan jarang membawa kita keluar melalui jalan yang paling mudah daripada keadaan yang suram, kerana Dia mempunyai rancangan yang lebih besar. Namun begitu, Tuhan tetap mengurniakan kasih kurnia untuk kita terus hidup sama ada dalam terang atau dalam gelap, sebagaimana yang dinyatakan dalam 2 Korintus 12:9. Hal ini berlaku apabila kita bersedia datang kepada-Nya dan berseru dengan penuh keikhlasan.

Perubahan Musim

Di penghujung Mazmur 13, kita melihat Daud berada dalam keadaan hati yang jauh berlainan berbanding pada permulaannya.

“Tetapi aku yakin akan kasih setia-Mu;
aku bersukacita dalam penyelamatan-Mu.
Aku akan menyanyi memuji TUHAN,
kerana limpah rahmat-Nya kepadaku.” (Mazmur‬ 13‬:5‬-6‬ AVB)‬‬‬‬‬‬‬‬

Bagi Daud, sukacita dan keringanan hati mula kembali. Jambatan yang membawanya daripada pergelutan kepada pujian adalah doa. Melalui persekutuannya dengan Tuhan, dia menemukan penghiburan. Tidak ada sebab untuk menganggap bahawa keadaannya telah berubah. Tuhan sebenarnya mengubah cara dia memandang keadaan tersebut. Dia diubahkan melalui pembaharuan akalnya, seperti yang dinyatakan dalam Roma 12:2, dan kita melihat Daud kini berehat dalam kasih Tuhan yang tidak pernah gagal.

Apabila Daud menyatakan bahawa hatinya akan bersukacita dalam keselamatan Tuhan, dia tidak lagi bertindak semata-mata berdasarkan perasaan, tetapi berdasarkan kehendak dan kepercayaannya kepada Tuhan. Daud mengambil keadaan hidupnya yang suram dan menekan lalu menafsirkannya melalui perbuatan Tuhan di masa lalu serta janji Tuhan untuk masa depan. Penambat daripada masa lalu dan pengharapan untuk masa depan inilah yang membolehkannya menemukan sukacita pada masa kini.

Jika Daud mampu melakukan hal ini sebelum kedatangan Kristus, dengan iman dan menantikan apa yang akan datang, betapa lebih lagi kita seharusnya mampu merenungkan karya Kristus di Kalvari dan bersukacita dalam penyelamatan daripada Tuhan?

Daud mengambil keadaan hidupnya yang suram dan menekan lalu menafsirkannya melalui perbuatan Tuhan di masa lalu serta janji Tuhan untuk masa depan. Penambat daripada masa lalu dan pengharapan untuk masa depan inilah yang membolehkannya menemukan sukacita pada masa kini.

Hanya di syurga kelak segala air mata akan dihapuskan dan kepenuhan hidup yang sempurna akan direalisasikan sepenuhnya, seperti yang dinyatakan dalam Wahyu 21:1–4. Sementara itu, kita perlu memastikan bahawa hidup kita berakar di dalam Yesus yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok. Dia sanggup menangani setiap episod kemurungan, mengisi kekosongan kita, dan memulihkan kita ketika kita paling terluka. Di dalam Yesuslah kita menemukan kelegaan bagi jiwa kita, seperti yang dijanjikan dalam Matius 11:29, serta pembebasan daripada trauma terdalam dalam pengalaman hidup kita di dunia ini. Peribadi-Nya dan karya kasih kurnia-Nya menjadi satu-satunya dasar yang pasti dan kekal bagi hidup kita.

Apabila kita mendapati diri kita muram dan kesepian seperti Daud, kita boleh berseru kepada Tuhan memohon belas kasihan dan iman. Dia pasti akan mendengar seruan kita. Apabila kita menilai keadaan hidup kita berdasarkan kesetiaan Tuhan yang mencukupi dalam segala hal, pengharapan dan sukacita kita akan dikuatkan dan dipulihkan semula.


Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Dealing with Depression" oleh Alistair Begg.

Back to blog