Mulakan Tahun Anda Bersama Tuhan: 11 Azam Yang Patut Dihidupi

Pada permulaan tahun baharu, kita sering merasakan seolah-olah sedang berdiri di ambang satu bab kehidupan yang baharu. Dari satu sudut, peralihan daripada 31 Disember ke 1 Januari nampak biasa sahaja; ramai dalam kalangan kita memulakan tahun baharu dengan keadaan yang tidak jauh berbeza daripada penutup tahun sebelumnya. Namun begitu, ada sesuatu yang istimewa tentang “halaman kosong” iaitu janji tentang permulaan yang segar, kisah yang masih belum ditulis.

Seperti yang kita sudah biasa, perasaan berada di ambang sesuatu yang baharu ini memberi kita dorongan untuk menetapkan azam dan membentuk tabiat yang lebih baik sewaktu kita hidup di dalam dunia yang Tuhan ciptakan. Walaupun ramai kini memandang ringan akan azam tahun baharu, kita tidak seharusnya membiarkan kegagalan masa lalu melemahkan usaha kita untuk melangkah ke hadapan dengan pertolongan Tuhan. Malah, ketetapan untuk mengasihi Tuhan dan sesama dengan lebih tulus—dengan perubahan kalender sebagai peringatan—adalah satu doa dan usaha yang pasti menyenangkan hati Bapa di syurga, dan yang Dia ingin membolehkan.

Rasul Paulus berdoa sedemikian dalam 2 Tesalonika 1:11–12 menurut terjemahan AVB, “...supaya Allah kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat baik untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya. Dengan demikian, nama Yesus, Tuhan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah kita dan Tuhan Yesus Kristus..” 
Jika ayat ini memberi kita asas untuk memperbaharui azam melakukan kebaikan, dan untuk terus menetapkan azam selagi kita ingin hidup dalam kuasa Roh, maka surat Paulus yang satu lagi kepada jemaat di kota yang sama memberikan kita satu senarai perkara yang harus dikejar—bukan sahaja pada permulaan tahun ini, tetapi sepanjang hidup kita:

“Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu supaya menghormati orang yang berjerih payah dalam kalanganmu, memimpin dan menasihatimu dalam Tuhan. Layanilah mereka dengan sepenuh hormat dan kasihilah mereka kerana segala yang diusahakan oleh mereka. Hiduplah bersama-sama dalam aman damai. Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu, berilah amaran kepada orang yang melanggar peraturan, tetapkan hati orang yang takut, tolong orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua. Pastikan jangan sesiapa membalas kejahatan dengan kejahatan. Berusahalah ke arah kebaikan bagi dirimu dan semua orang. Bersukacitalah sentiasa. Berdoalah sepanjang masa. Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Kristus Yesus.” (1 Tesalonika‬ 5‬:12‬-18‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Di sini terdapat sebelas perintah yang masing-masing sebenarnya layak dibincangkan dengan panjang lebar. Namun, mari kita renungkan secara ringkas, dengan tujuan supaya kita boleh melangkah sedikit demi sedikit ke arah menjadi semakin serupa dengan Kristus pada permulaan tahun ini.

1. Hormatilah Pemimpinmu

“Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu supaya menghormati orang yang berjerih payah dalam kalanganmu, memimpin dan menasihatimu dalam Tuhan. Layanilah mereka dengan sepenuh hormat dan kasihilah mereka kerana segala yang diusahakan oleh mereka. Hiduplah bersama-sama dalam aman damai.” (1 Tesalonika‬ 5‬:12‬-13‬ AVB‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬)

Paulus memulakan senarai ini dengan perintah—atau “azam” mengikut pola pemikiran kita—supaya kita menghormati para pemimpin. Tidak ada pastor, penatua, atau pemimpin gereja yang akan memimpin dengan sempurna, kerana mereka bukan Yesus.
Namun menurut kitab Ibrani, para pemimpin kita layak untuk ditaati dan dihormati kerana merekalah yang menyampaikan Firman Tuhan kepada kita (Ibrani 13:7) dan yang menjaga jiwa kita (ayat 17). Sudah tentu, jika mereka gagal dalam tanggungjawab ini, itu adalah isu lain. Namun, jika para pemimpin kita benar-benar berusaha memimpin dengan hati yang serupa dengan Kristus menurut cara yang Alkitabiah, maka mereka layak menerima penghormatan kita.

2. Hiduplah Dalam Aman Damai

Hiduplah bersama-sama dalam aman damai. (Ay. 13)

Apabila kita memiliki penghormatan yang wajar terhadap para gembala yang menjaga kita, lebih mudah untuk mematuhi perintah seterusnya: hidup dalam aman damai. Jika “paksi menegak”—hubungan kita dengan pemimpin rohani—mencabar, maka “paksi mendatar”—hubungan kita sesama saudara seiman—akan mudah mengalami kekacauan.
Perhatikan kitab Ibrani sekali lagi, kita dapati penulis menasihati kita supaya “Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan.”  (Ibrani 12:14 AVB). Paulus pula menekankan: “Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia.” (Roma‬ 12‬:18‬ AVB‬‬). Perselisihan dalam tubuh Kristus menggugat kesaksian kita. Sebaliknya, kita harus melakukan apa sahaja yang termampu untuk mengejar keamanan yang luar biasa dengan semua orang.‬‬‬‬‬‬

3. Tegurlah Orang Yang Lalai

Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu, berilah amaran kepada orang yang melanggar peraturan.” (Ay. 14)
‬‬‬‬
Usaha untuk hidup dalam damai tidak bermaksud semuanya sentiasa berjalan lancar. Perkataan Yunani untuk “lalai” memberi gambaran seseorang yang keluar dari barisan, atau membentuk jalan mereka sendiri jauh daripada jalan Tuhan.
Orang yang lalai ialah mereka yang perlahan-lahan menyimpang daripada kehendak Tuhan. Kita semua pasti terfikir tentang seseorang dalam hidup kita yang memerlukan teguran (dan kita sendiri tidak terkecuali!). Walaupun kita mengejar damai pada tahun ini, ada kalanya sedikit ketegangan atau sedikit pemangkasan diperlukan untuk membawa seseorang kembali ke arah yang benar.

4. Galakkan Orang yang Gentar

“Tetapkan hati orang yang takut.” (Ay 14).

Ada saudara-saudari yang tidak dapat menerima teguran tegas, tetapi pendekatan yang lebih lembut. Mereka yang gentar tidak yakin dengan diri sendiri atau keadaan yang sedang mereka hadapi. Ada yang cemas, ada yang bergelut dengan kepastian penyelamatan, dan ada yang baru melalui kehilangan lalu hanya perlukan seseorang rakan yang sudi mendengar. Jika kita bertekad untuk lebih mendengar dan kurang bercakap (Yakobus 1:19), kita akan berada di tempat yang tepat untuk menggalakkan saudara-saudari dalam Kristus pada masa keperluan mereka.

5. Membantu Mereka yang Lemah

“Tolong orang yang lemah.” (Ay. 14)

Tuhan Yesus Kristus kita menjawab, “.... Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa” (Markus‬ 2‬:17‬ AVB)‬‬. Maka tidak hairanlah gereja kita dipenuhi orang yang lemah, kerana Yesus memang datang untuk mereka.‬‬‬
Seperti yang dikatakan Yesus:, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.” Mungkin ada seseorang di gereja yang merasa lemah secara rohani? Mungkin mereka rasa tidak layak berdoa atau tidak membaca Alkitab beberapa bulan terakhir. Kita tidak akan tahu jika kita tidak berbicara dengan mereka, tetapi setelah berbicara dan mengetahui pergelutan mereka, kita sepatutnya—setelah mendengar dengan ikhlas—melakukan apa sahaja yang mampu untuk menghulurkan pertolongan kepada mereka.

Jika kita bertekad untuk lebih mendengar dan kurang bercakap, kita akan berada di tempat yang tepat untuk menggalakkan saudara-saudari dalam Kristus pada masa keperluan mereka.

6. Bersabar

”Bersabar terhadap semua.” (Ay. 14)

Situasi yang telah kita bincangkan dengan orang yang lalai, gentar, dan lemah memerlukan kesabaran. Seperti yang ramai daripada kita tahu melalui pengalaman, pergelutan hidup sangat sukar. 
Menemani seseorang dalam keadaan sebegini memerlukan banyak tuntutan masa dan tenaga, malah mengecewakan. Kita tidak akan dapat menempuh perjalanan ini jika kita tidak bersabar. Salah satu cara terbaik untuk memupuk kesabaran ialah dengan membiarkan diri kita terkesan oleh kesabaran Tuhan terhadap kita. Berapa kalikah telah kita mengecewakan-Nya, bahkan hanya hari ini sahaja? Namun seperti yang ditegaskan Petrus: “Tuhan itu… amat bersabar terhadap kita” (2 Petrus 3:9 AVB). Dengan Kristus sebagai contoh dan Roh-Nya yang memperkasakan kita, kita boleh bertahan dalam kasih.

7. Jangan Membalas Dendam

“Pastikan jangan sesiapa membalas kejahatan dengan kejahatan.” (Ay. 15)

Jika kita dengan sabar mengejar aman, hal tersebut nampak jelas; namun tetap perlu diingat: jangan membalas dendam. Dalam erti kata tertentu, ini adalah asas Khotbah di Bukit.
Dengan Yesus sebagai teladan kita, kita belajar memaafkan orang, walaupun mereka jelas bersalah. Kita belajar memalingkan pipi yang  sebelah lagi dan berjalan dengan lebih jauh (Matius 5:39, 41 AVB). Mungkin tidak mudah untuk melupakan diri sendiri seperti yang diperlukan oleh pengampunan, tetapi dengan pertolongan Tuhan, kita belajar menerima kebenaran bahawa kasih “tidak memburu kepentingan sendiri” (1 Korintus 13:5 AVB)

8. Berlaku Baik

”Berusahalah ke arah kebaikan bagi dirimu dan semua orang.” (Ay. 15)

Pada pandangan pertama, perintah ini nampak terlalu umum. Apa yang perlu kita lakukan? Melakukan kebaikan. Untuk siapa? Semua orang. Bila? Sentiasa.
Itu memang banyak kebaikan untuk banyak orang pada banyak masa! Namun mungkin cara lebih tepat untuk memahaminya ialah: “Bermurah hati secara berlimpah-limpah.” Kita menyembah Allah yang memberi dan terus memberi tanpa henti.
Tidak kira berapa banyak kali kita mengecewakan-Nya, Dia tetap menyambut kita dengan kebaikan-Nya. Seperti Paulus bertanya, “Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima?” (1 Kor. 4:7 AVB).

Jawapannya? Tiada apa-apa pun. Jadi, seperti Bapa Syurgawi kita, kita perlu dengan sedaya upaya memberi demi kebaikan orang lain, sambil mempercayai bahawa segala yang kita beri itu juga pernah kita terima daripada-Nya. Kita semua mengalami hari-hari yang mencabar, itu sudah nyata. Dan pasti akan tiba masanya kita mengecewakan, malah menyakiti, seseorang. Tetapi bagaimana jika pada tahun baharu ini, hati kita sentiasa cenderung untuk memberi dan memberi lagi demi kebaikan orang lain?

9. Bersukacita

”Bersukacitalah sentiasa.” (Ay. 16)

Kebahagiaan tidak boleh mengalir seperti sewaktu kita membuka paip air. Sukacita juga tidak muncul dengan serta-merta. Orang percaya mengalami lembah dan puncak seperti orang lain, tetapi kita juga dipanggil memiliki sukacita yang stabil.
Paulus menunjukkan keteguhan sukacita Kristian dalam Filipi 4:4 berdasarkan terjemahan AVB: ““Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!” Perintah ini sama dengan yang terdapat dalam 1 Tesalonika 5, tetapi kali ini Paulus menambah frasa “dalam Tuhan.”

Tiga perkataan tersebut yang membawa perbezaan besar! Jika sukacita kita naik turun mengikut keadaan, kita akan mudah goyah. Tetapi jika kita bersukacita dalam Tuhan yang “tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya” (Ibr. 13:8), maka sukacita kita berpaut pada yang tidak berubah. Sudah tentu, tidak seperti Tuhan, kita berubah-ubah, jadi tidak realistik untuk sentiasa berasa sukacita yang penuh setiap masa. Namun jika kita meletakkan harapan kepada-Nya dan sentiasa mengingat sifat-Nya yang tidak berubah, kita berada di jalan yang betul untuk bersukacita, walaupun dalam kesusahan.

10. Berdoa Sepanjang Masa

“Berdoalah sepanjang masa.” (Ay. 17)
‬‬

Seperti yang telah disentuh sebelum ini, kita tidak akan mempunyai kekuatan dalaman—dan akhirnya tiada azam yang berkekalan—tanpa pertolongan Tuhan. Yesus mengingatkan kita, “Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa” (Yohanes‬ 15‬:5‬ AVB)‬‬. Sebab itu kita perlu senantiasa menghadap Tuhan, memohon pertolongan dan berkat-Nya berulang kali.‬‬‬

Selain itu, kita juga harus terus berdoa untuk keperluan kerajaan Tuhan—untuk gereja, kesaksian kita, penyebaran Injil, misi ke wilayah yang belum dijangkau, golongan gelandangan, dan banyak lagi. Tanpa Tuhan, kita tidak akan ke mana-mana. Kita perlu bertekad untuk berdoa, tekun berdoa, dan terus berdoa.

11. Bersyukur

“Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Kristus Yesus.” (Ay. 18)

Akhir sekali, apa lagi yang tinggal selain mengucap syukur kepada Tuhan? Ramai di antara kita pernah berharap agar kita tahu apakah kehendak Tuhan dalam sesuatu perkara tertentu. Nah, di sini jawabannya: “Bersyukurlah dalam segala keadaan.” Sama seperti perintah untuk bersukacita, kesyukuran boleh berlaku pada bila-bila masa kerana Dia yang menjadi tujuan syukur kita tidak berubah dan tidak dipengaruhi oleh pergolakan dunia ini. Dia tetap benar ketika segala-galanya lain nampak rapuh. Dia tetap setia ketika orang lain mungkin meninggalkan kita. Dia layak menerima ucapan syukur kerana Dia berjanji membawa kebaikan melalui segala keadaan yang kita hadapi, tidak kira betapa sukarnya.

Apabila anda berpegang pada kesebelas azam ini untuk tahun baharu, anda akan melihat dengan segera bagaimana Tuhan boleh memakai anda dalam pelbagai cara yang indah, besar atau kecil. Mungkin hanya berfokus pada satu yang paling menyentuh hati anda sudah memadai sebagai permulaan. Di mana pun Roh Kudus memimpin anda untuk memberi tumpuan, lembaran baharu kini terbuka, dan satu bab baharu menanti. Apakah cerita yang akan Tuhan mengarang dalam hidup anda apabila anda kekal terbuka, sedia, dan rela menerima daripada-Nya serta memberi kepada orang lain, seperti mana Dia terus memberi kepada kita?

Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Resolutions Worth Keeping" oleh Alistair Begg.

Back to blog