Kedatangan Yesus Kristus yang kedua merupakan asas yang sangat penting dalam Injil. Injil bukan sahaja meliputi kelahiran, kehidupan, kematian, kebangkitan, dan kenaikan Tuhan Anak, tetapi juga kedatangan kedua kali-Nya. Peristiwa ini dan ajaran yang berkaitan dengannya adalah sebahagian daripada “iman yang telah disampaikan kepada orang-orang kudus” (Yudas 3).
Walaupun kedatangan Kristus diajarkan dengan jelas dalam Alkitab, pelbagai pandangan mengenai akhir zaman telah menimbulkan kekeliruan, bahkan perbalahan, sekalipun dalam kalangan mereka yang sama-sama percaya kepada ketepatan Alkitab dan kepastian kedatangan-Nya.
Renungan ini tidak bertujuan menilai atau membandingkan pandangan-pandangan tersebut, tetapi untuk menekankan perkara-perkara yang pasti benar tentang janji kedatangan Kristus.
Empat Kepastian tentang Kedatangan Yesus yang Kedua Kali
Dengan semua pandangan yang berbeza-beza itu, apakah yang Alkitab nyatakan dengan jelas tentang kedatangan Kristus yang kedua kali?
1. Harinya adalah rahsia.
Hari kedatangan Kristus yang kedua kali tidak pernah didedahkan; ia kekal rahsia sehingga “parousia”, iaitu kemunculan Kristus sekali lagi. Markus 13:32 menurut terjemahan AVB menjelaskan:
“Tetapi tentang hari atau waktunya tiada siapa yang tahu baik para malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.”
Jika Anak sendiri tidak mengetahui waktunya, bagaimana pula kita boleh meramalkan hari atau jamnya? Bila kajian mengenai akhir zaman berubah menjadi sensasi dan ramalan (siap dengan jualan buku sekali!), kita tahu batas Alkitab sudah dilampaui. Apa yang pasti ialah “...Anak Manusia akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.” (Lukas 12:40 AVB)
2. Kemunculan-Nya akan berlaku secara tiba-tiba.
Kemunculan kembali Yesus Kristus akan berlaku secara tiba-tiba, seperti kilat memancar di seluruh langit (Mat. 24:27) atau seperti pencuri yang datang pada waktu malam (Mat. 24:42–44; 1 Tes. 5:2; 2 Ptr. 3:10).
Kisah Para Rasul 1:11 merupakan teks penting yang menegaskan sifat mendadak kemunculan Kristus. Selepas kenaikan-Nya ke syurga, malaikat menampakkan diri kepada para murid yang terpaku memandang lalu berkata:
“Orang itu berkata, “Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Yesus telah diangkat ke syurga daripada kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.” (Kisah Para Rasul 1:11 AVB)
Kristus akan kembali secara fizikal, secara nyata, dan tiba-tiba. Sama seperti Dia naik ke syurga, demikian jugalah Dia akan kembali ke bumi. Mungkin bagi banyak orang, ia hanyalah hari biasa di pejabat, hari biasa di ladang. Ada yang sedang mengadakan majlis perkahwinan, menjalani pembedahan, menghantar anak ke sekolah, sama seperti hari sebelumnya dan seperti yang mereka jangka berlaku pada hari berikutnya (Mat. 24:37–41). Namun, pada hari itu, tidak akan ada hari esok seperti yang pernah kita kenal.
3. Peristiwa itu akan sangat mengagumkan.
Kedatangan Kristus yang kedua juga sangat berbeza daripada kedatangan-Nya yang pertama. Pada kali pertama, para gembala perlu mencari Bayi itu di dalam palungan (Luk. 2:15–16), dan tiga orang bijak perlu bertanya kepada Herodes, raja di Yerusalem (Mat. 2:1–2). Kedatangan-Nya yang kedua tidak akan seperti itu.
Dahulu, kedatangan-Nya sederhana dan tidak menonjol. Tetapi apabila Dia kembali, ia akan berlaku secara mengejut dan sangat mengagumkan:
“Pada waktu itu, Tuhan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang telah mati dalam Kristus akan dibangkitkan terlebih dahulu.” (1 Tesalonika 4:16 AVB)
Kedatangan Yesus pada hari tersebut tidak akan dapat disalah fahami, kerana ia akan melampaui batas ruang dan waktu seperti yang kita kenal. Walaupun kita tidak dapat menjangka waktunya, sudah pasti seluruh ciptaan akan menyedarinya apabila Tuhan atas segala tuan dan Raja atas segala raja datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan menaklukkan semua yang memberontak (Why. 17:14).
Walaupun kita tidak dapat menjangka waktunya, sudah pasti seluruh ciptaan akan menyedarinya apabila Tuhan atas segala tuan dan Raja atas segala raja datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan menaklukkan semua yang memberontak.
4. Kedatangan-Nya akan membawa pemisahan.
Akhirnya, Kristus akan kembali untuk menghakimi, “untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati,” seperti yang dinyatakan dalam Pengakuan Iman Rasuli dan Pengakuan Nicea. Misi pertama Kristus bukanlah untuk menghukum tetapi untuk menyelamatkan (Yoh. 3:17).
Namun pada kedatangan-Nya nanti, Dia akan memisahkan yang setia daripada yang memberontak (Mat. 24:38–41). Domba-domba Kristus akan mewarisi “kerajaan yang telah disediakan bagi mereka sejak dunia dijadikan” (25:34–40), tetapi mereka yang tidak mengasihi Kristus dan sesama seperti yang Tuhan perintahkan akan dijatuhkan hukuman kekal (25:41–46).
Implikasi Kedatangan Kristus yang Semakin Hampir
Walaupun keempat-empat kebenaran ini pasti, ia bukan sekadar idea-idea untuk direnungkan. Prospek kedatangan Tuhan yang semakin hampir seharusnya mengubah cara kita hidup; ia sepatutnya memberi kesan pada kehidupan kita hari ini. Rasul Yohanes menyatakannya dengan jelas:
“Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar. Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada Kristus akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus itu suci.” (1 Yohanes 3:2-3 AVB)
Kita memang belum mencapai kesempurnaan yang akan diberi kepada kita kelak, tetapi sesiapa yang benar-benar menaruh pengharapannya kepada Kristus akan disempurnakan dalam hidupnya. Dengan kata lain, sesiapa yang mengaku percaya kepada Kristus dan yakin akan kedatangan-Nya akan semakin membentuk hidupnya supaya selaras dengan kehendak Tuhan.
Jika seseorang hidup dalam cara yang tidak bermoral tetapi mahu memberikan anda sebuah buku tentang segala drama berkaitan kedatangan Yesus, besar kemungkinan mereka sendiri sebenarnya tidak benar-benar percaya apa yang Alkitab katakan tentang kedatangan Yesus itu sendiri!
Kita memang belum mencapai kesempurnaan yang akan diberi kepada kita kelak, tetapi sesiapa yang benar-benar menaruh pengharapannya kepada Kristus akan disempurnakan dalam hidupnya.
Berhubung dengan cara kita hidup, kedatangan Kristus kali kedua juga menggerakkan kita untuk lebih bersungguh-sungguh dalam usaha penginjilan. Hari di mana Kristus datang dengan kuasa memanglah mulia, tetapi ia juga akan menjadi hari yang menggerunkan bagi mereka yang tidak mengenal Dia. Jadi, jika anda mempunyai rakan, jiran, rakan sekerja, atau ahli keluarga yang belum meletakkan pengharapan mereka kepada Kristus, alangkah baiknya anda berkongsi dengan mereka tentang hidup kekal dan sukacita yang terdapat dalam Dia?
Satu Pesanan Terakhir
Para rasul berbicara seolah-olah kedatangan Kristus yang kedua itu begitu hampir, namun selepas dua ribu tahun sejak peristiwa dan penulisan Perjanjian Baru, kita masih menantikan kedatangan Tuhan kita. Ketika kita mula berasa tidak sabar, kita perlu mengingat satu kebenaran penting ini:
“Tetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari. Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.” (2 Petrus 3:8-9 AVB)
Tuhan yang berdaulat tidak dikongkong oleh masa. Dua ribu tahun, apatah lagi kekekalan, sukar dibayangkan oleh akal manusia. Namun bagi Tuhan, ia mungkin hanya seperti hari kedua selepas kenaikan Kristus. Apabila kita berasa tidak sabar, ingatlah bahawa Tuhan, dalam kasih dan pemeliharaan-Nya yang tiada habisnya, sangat sabar—jauh lebih sabar daripada yang kita layak terima. Walau bila pun hari atau waktunya, Kristus sendiri telah bersaksi: “......., “Ya, Aku akan datang segera.” Sesungguhnya, marilah Engkau, ya Tuhan Yesus.” (Wahyu 22:20 AVB)
Artikel ini diadaptasi daripada khutbah “Be Patient, the Lord Is Coming — Part Two" oleh Alistair Begg.